
PENEMUAN sebatang gigi yang dipercayai berusia lebih 55,000 tahun, dalam keadaan baik dan sempurna jelas memberikan dimensi baharu kepada pelancongan gua dan arkeologi di Kompleks Taman Negara Niah.
Penemuan ini dilakukan oleh pakar arkeologi Australia, Profesor Madya Dr Darren Curnoe, yang kini menjawat Felo Adjung di Western Sydney University.
Sebelum itu, beliau bertugas di University New South Wales, Australia ketika bekerjasama dengan Jabatan Muzium Sarawak untuk melaksanakan tiga eskavasi di tapak Gua Dagang pada 2017 hingga 2019.
Menurut Dr Darren, penemuan ini menunjukkan bahawa telah wujud di sini satu kumpulan manusia arkaik atau manusia kuno yang menyerupai Java Man atau Peking Man – yang masih bertahan sehingga sekitar 55,000 tahun atau mungkin lebih lama lagi.
Bukti arkeologi yang ditemukan di Gua Dagang malah membuka pintu tafsiran, bahawa manusia yang dipercayai dari era Homo erectus (Java Man) telah mendiami kawasan tersebut sejak sebelum 65,000 tahun dahulu, malah mungkin lebih awal.
Ia mendahului kedatangan manusia moden, Homo sapiens di rantau ini, yang didokumentasikan di kawasan Great Mouth, Niah pada tahun 1950-an oleh Tom Harrisson dan Barbara Harrisson melalui penemuan terkenal Deep Skull serta bukti lain pada 1958.
Gigi daripada Gua Dagang ini memiliki kepentingan antarabangsa kerana ia menunjukkan kewujudan kumpulan manusia arkaik (yang belum dikenal pasti) yang tinggal menetap di kawasan tersebut sejurus sebelum manusia moden menetap di kawasan berdekatan, West Mouth.
Penemuan ini juga menonjolkan bagaimana Sarawak menyediakan persekitaran unik yang membolehkan manusia arkaik bertahan lebih lama berbanding di tempat lain di Asia Tenggara.
Justeru, ini mengukuhkan kepentingan saintifik dan warisan global Kompleks Gua Taman Negara Niah, yang merupakan sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kata Dr Darren, penemuan sangat berkualiti ini didorong oleh permukaan gua yang tidak terganggu dan ia diyakini akan terus memberikan penemuan baharu tentang evolusi manusia, peralihan budaya, serta keadaan yang membawa kepada kepupusan populasi manusia purba tersebut.
Untuk rekod, eskavasi yang dilaksanakan oleh Dr Darren bermula sejak 2011, bertujuan menilai potensi arkeologi dan paleo-persekitaran gua-gua di Kompleks Taman Negara Niah, di luar kawasan yang pernah dikaji oleh pasangan Harrisson.
Gua Dagang merupakan gua kedua terbesar di taman negara tersebut dan terletak kira-kira 150 meter ke utara West Mouth, dalam menara batuan Bukit Bekajang.
Pasangan Harrisson pernah melaksanakan satu penggalian kecil di pintu masuk pelancong di bahagian utara gua tersebut pada tahun 1956, tetapi tidak pernah menerbitkan hasilnya, atau kembali ke lokasi tersebut untuk penyelidikan lanjut.
Sehingga projek Dr Darren bermula, tiada aktiviti arkeologi dijalankan di ruang utama Gua Dagang walaupun saiznya besar, dengan panjang maksimum sekitar 200 meter, lebar maksimum kira-kira 30 meter dan ketinggian melebihi 15 meter.
Sejak kajian lapangan pertamanya, Dr Darren dan pasukannya telah melengkapkan dua musim lapangan tambahan dengan jumlah keseluruhan 16 minggu penyelidikan di antara tahun 2017 hingga 2019, dengan penggalian lanjut dirancang bagi tempoh tahun 2020–2022, namun tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Kata Dr Darren, menjalankan penggalian arkeologi di gua tropika seperti Gua Dagang merupakan tugas yang mencabar disebabkan pelbagai kerumitan dan potensi ralat.
Ini termasuk persekitaran speleologi yang kompleks dan sejarah pembentukan gua; rejim geohidrologi yang rumit berkaitan sistem paleoklimat dinamik seperti monsun.
Cabaran lain kesan pengangkatan, sesar dan aktiviti seismik tempatan; bioturbasi sedimen oleh serangga atau rodensia; gangguan manusia terhadap sedimen akibat sejarah pengumpulan guano (tahi kelawar dan burung), pendudukan gua dan vandalisme oleh pelawat.
Jujukan sedimen yang kompleks katanya, termasuk kemungkinan hakisan dan pemendapan semula selepas pemendapan dan speleogenesis aktif serta luluhawa kimia.
Yang pasti, selama lebih 60 tahun, Gua Niah di utara Borneo menjadi pusat penting untuk memahami penempatan Asia Tenggara pada zaman Pleistosen Akhir oleh manusia moden secara anatomi.
Tom dan Barbara Harrisson menemui tengkorak wanita dewasa yang dikenali sebagai Deep Skull pada tahun 1958, yang kini dianggarkan berusia sekitar 38,000 ke 45,000 tahun atau 30,000 ke 39,000 tahun, bergantung kepada cara pengebumiannya.
Manakala artifak batu tertua dari West Mouth yang digali oleh pasangan Harrisson berasal daripada sedimen yang kini dianggarkan bertarikh sekitar 46,000 ke 49,000 tahun.
Ini menjadikan West Mouth di Kompleks Taman Negara Niah masih dianggap oleh ramai ahli arkeologi sebagai deposit paling dipercayai mengenai kehadiran awal manusia moden di Asia Tenggara, walaupun penyelidikan terkini di Lida Ajer mencadangkan kemungkinan tarikh yang lebih awal bagi peristiwa ini.
Apa-apa pun, penyelidikan di Gua Dagang telah melanjutkan rekod arkeologi di Gua Niah sehingga lebih 75,000 tahun dahulu.
Tempoh ini sangat penting kerana ia mendahului kedatangan manusia moden di West Mouth dan hampir sama dengan era penemuan sisa manusia moden di Lida Ajer di Sumatera.
Oleh itu, masih tidak jelas sama ada manusia yang menggunakan Gua Dagang merupakan manusia moden yang sangat awal atau kumpulan manusia arkaik yang masih bertahan.
Artifak batu daripada tapak ini semuanya diperbuat daripada batu kapur dan menyerupai industri Zaman Pleistosen Akhir lain di rantau ini, namun setakat ini tidak memberikan petunjuk jelas tentang identiti pembuatnya.
Sisa fauna yang ditemui menunjukkan kedekatan dengan kawasan pantai atau muara, serta membuktikan bahawa manusia tersebut memanfaatkan sumber makanan laut secara meluas, termasuk mengumpul kerangkerangan dan memburu haiwan besar seperti buaya, penyu dan ikan pari.
Menariknya kata Dr Darren lagi, pihaknya hanya menemui peralatan batu, dan tidak tandatanda kewujudan api untuk pembakaran.
Ini melengkapkan hipotesis mereka bahawa manusia pada zaman itu membawa haiwan yang diburu ke dalam gua, dan melapah sebelum memakannya secara mentah.
Mereka belum mahir menggunakan api untuk memasak. Projek Dr Darren menggunakan kaedah penggalian terkawal dengan pengumpulan data spatial terperinci serta pemetaan sedimen dan penemuan.
Ia kemudian disokong oleh analisis makmal terhadap artifak dan fosil termasuk kajian tafonomi dan zooarkeologi.
Turut dilakukan kajian menyeluruh terhadap persekitaran gua dan sedimen, termasuk warna, tekstur, saiz butiran, komposisi pasir, tanah liat, komposisi geokimia dan mineralogi, analisis mikromorfologi, serta kajian isotop dan mikroskopik speleotem.
Penentuan umur dilakukan menggunakan pelbagai kaedah seperti radiocarbon, luminesens, rangsangan optik dan siri uranium. Mengenai penemuan bukti fosil sebatang gigi manusia yang ditentukan secara saintifik berusia sekitar 52,000 ke 55,000 tahun ini, Dr Darren berkata, ia membuktikan kumpulan manusia purba bukan moden telah hidup di Sarawak semasa Zaman Ais.
Kumpulan ini dipercayai hidup sejurus sebelum atau pada masa yang sama dengan manusia moden pertama di Borneo utara.
Penemuan ini malah telah mengubah secara asas pemahaman kita tentang sejarah manusia di Sarawak, Asia Tenggara, dan dunia.
Paling menarik, Sarawak kini disahkan sebagai kawasan teras dalam evolusi manusia global, bukan sekadar kawasan pinggiran.
Dan, ia menjadikan Sarawak sebagai lokasi arkeologi bertaraf dunia, setanding dengan Jawa, Flores dan China.
Di peringkat global, ia mengisi jurang geografi penting berkait penyebaran manusia di Asia, dan membuktikan teori bahawa pelbagai spesies manusia bertahan lebih lama di Asia Tenggara berbanding yang dipercayai sebelum ini.
Penemuan ini juga “mencabar” teori bahawa manusia moden hanya menggantikan manusia terdahulu “tanpa pertindihan”, atau menggantikan spesies terdahulu yang pupus.
Paling penting penemuan ini membentuk semula pemikiran global tentang siapa nenek moyang kita, di mana mereka hidup dan bagaimana mereka berinteraksi.
Diharap, hasil kerja hebat Dr Darren ini akan menyokong usaha lebih kukuh untuk melindungi warisan dan meningkatkan pelaburan untuk penyelidikan dan arkeologi di Sarawak.
Lebih penting ia juga mengukuhkan keputusan tepat untuk mengiktiraf Warisan Arkeologi Kompleks Taman Negara Gua Niah, termasuk Gua Dagang sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.