Sik: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah melaksanakan program pemindahan seramai 99 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
JIM Kedah dalam kenyataannya berkata, semua PATI yang dihantar pulang terdiri daripada 64 lelaki dan 35 wanita warganegara Myanmar, Indonesia, Bangladesh, China, Nepal, Vietnam, Pakistan dan India yang sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, di sini.
Menurut kenyataan itu, semua PATI terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana memasuki negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
"Tahanan sudah selesai menjalani hukuman sebelum proses pemindahan dilaksanakan.
"Selain itu, semua tahanan yang dihantar pulang memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala sebahagian daripada mereka turut dibekalkan Dokumen Perjalanan Sementara (Emergency Travel Document) yang dikeluarkan oleh kedutaan negara masing-masing bagi melancarkan proses penghantaran pulang," katanya.
Dalam pada itu, JIM Kedah turut menegaskan bahawa semua PATI yang dihantar pulang disenarai hitamkan dan dilarang memasuki semula Malaysia bagi apa jua tujuan dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, operasi pemindahan adalah antara fokus utama Depot Tahanan Imigresen Belantik yang dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahanan yang selesai menjalani hukuman dihantar pulang dengan segera selaras dengan komitmen JIM dalam membanteras kebanjiran PATI di negara ini.