Penyakit seperti Hantavirus berkemungkinan menular di luar bandar, penempatan berhampiran hutan di Sarawak
Royston ketika membahaskan Usul Ucapan Penghargaan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Kerajaan digesa memperkukuh tahap kesiapsiagaan kesihatan awam negeri dalam menghadapi kemungkinan penularan penyakit zoonotik seperti Hantavirus, khususnya di kawasan luar bandar dan penempatan berhampiran hutan di Sarawak.
Royston Valentine (GPS-Tellian) berkata, walaupun kes Hantavirus jarang dilaporkan di Malaysia berbanding beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan China, risiko penularan tetap wujud terutama di kawasan yang mempunyai populasi tikus yang tinggi.
“Saya juga ingin mendapatkan penjelasan berkaitan tahap kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam menghadapi kemungkinan penularan penyakit zoonotik seperti Hantavirus.
“Walaupun kes Hantavirus di Malaysia jarang dilaporkan berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat dan China, namun ia tidak bermakna risiko tersebut tiada, khususnya di kawasan luar bandar, penempatan berhampiran hutan dan kawasan yang mempunyai populasi tikus yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Penghargaan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
Royston berkata, sehubungan itu beliau ingin mengetahui tentang sistem pemantauan awal dan langkah pencegahan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan penularan penyakit tersebut di Sarawak.
Katanya adakah ia sama seperti pendekatan agresif yang dilaksanakan terhadap wabak rabies sebelum ini.
“Dalam soal keselamatan kesihatan awam, langkah pencegahan sentiasa lebih baik daripada merawat apabila keadaan sudah menjadi parah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Royston turut merakamkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), SKUAD ANTIDADAH dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) atas komitmen berterusan membanteras penyalahgunaan dadah di Sarawak.
Bagaimanapun katanya, situasi di Mukah ketika ini membimbangkan susulan aduan orang awam yang mendakwa aktiviti pengedaran dadah banyak melibatkan warga asing atau bukan warganegara yang bergerak bebas di kawasan pasar Mukah dan menjalankan kegiatan tersebut secara terbuka.
Beliau berkata, isu judi online juga semakin membimbangkan apabila kedai runcit dan premis serbaneka yang beroperasi 24 jam tumbuh bagai cendawan selepas hujan, sekali gus dikhuatiri menjadi medium kepada aktiviti perjudian haram.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan pencegahan di peringkat awal termasuk terhadap pemilik premis yang menyewakan bangunan untuk tujuan berkenaan.
“Saya harap tiada premis milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat memberi sewa kepada kumpulan ini.
“Sila semak secara mendalam sebelum membenarkan premis disewa untuk tujuan yang menjurus kepada gejala ini,” tegasnya.
Royston turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan perlu memberi tumpuan kepada dalang serta sindiket utama di sebalik aktiviti pengedaran dadah dan judi online, bukannya hanya tertumpu kepada penagih atau pemain semata-mata.
“Dadah dan judi online ibarat api dalam sekam. Jika tidak dibendung dari awal, kesannya mampu menghancurkan masyarakat secara perlahan-lahan tanpa disedari,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo