YAP - Gambar Penerangan
KUCHING: Rakyat Sarawak mahukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada hasil dan penyelesaian sebenar bukannya drama politik atau sensasi media sosial semata-mata.
Wilfred Yap (GPS-Kota Sentosa) berkata, rakyat biasa yang bekerja keras setiap hari hanya mahu kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka, termasuk kemudahan asas yang sempurna, peluang pekerjaan serta pembangunan yang dirancang secara mampan.
“Rakyat tidak meminta drama politik. Rakyat tidak meminta sidang media tanpa henti atau kemarahan media sosial yang direka demi kepentingan politik. Rakyat mahukan hasil.
“Rakyat mahu jalan raya yang tidak rosak selepas hujan lebat, sistem perparitan yang berfungsi dengan baik, perumahan mampu milik, perkhidmatan kesihatan berkualiti, bekalan air bersih yang stabil serta peluang pekerjaan untuk anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Penghargaan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
Yap berkata, perkara itu membezakan antara tadbir urus sebenar dan ‘teater politik’.
Beliau turut mengkritik pembangkang yang menurutnya lebih gemar memainkan sentimen politik melalui media sosial dan kenyataan media berbanding menawarkan penyelesaian konkrit kepada rakyat.
“Jika masalah boleh diselesaikan hanya melalui kenyataan media dan video Facebook, Sarawak sudah lama menjadi wilayah paling maju di Asia,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat Sarawak memilih wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah, mengurus sumber secara bertanggungjawab dan melaksanakan pembangunan secara konsisten, bukannya sekadar mencipta sensasi politik.
Katanya, itulah sebab rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“GPS bukan sempurna dan kami tidak pernah menganggap diri kami kebal daripada kritikan. Tetapi yang membezakan GPS ialah kami tidak lari daripada tanggungjawab.
“Kami mentadbir, melaksanakan projek, membina institusi dan mempertahankan hak Sarawak. Paling penting, kami meletakkan Sarawak sebagai keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan cadangan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang menurutnya sengaja diputar belit oleh pembangkang demi kepentingan politik.
Menurut beliau, pembangkang cuba menggambarkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya sebagai ancaman terhadap demokrasi, sedangkan proses itu berada di bawah bidang kuasa bebas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut membangkitkan hakikat bahawa kerajaan persekutuan ketika ini diterajui Pakatan Harapan yang turut dianggotai Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Apabila DAP menuduh GPS memanipulasi persempadanan, mereka sebenarnya menuduh rakan mereka sendiri di peringkat persekutuan melakukan salah laku,” katanya.
Yap berkata, GPS menyokong pertambahan kerusi bukan kerana mahu bermain politik angka, tetapi demi memperkukuh kedudukan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, Sarawak dan Sabah sekian lama berdepan isu ketidakseimbangan perwakilan di Parlimen sehingga suara kedua-dua wilayah itu sering terpinggir dalam penentuan dasar nasional.
“Perjuangan mendapatkan lebih banyak perwakilan Parlimen bukan isu partisan. Ini isu perlembagaan, isu sejarah dan soal melindungi masa depan Sarawak,” tegasnya.
Beliau berkata, Sarawak perlu memperkukuh kedudukan institusi politiknya sekarang agar generasi akan datang tidak sekali lagi berdepan risiko dipinggirkan dalam Persekutuan Malaysia.
Sumber : Utusan Borneo