Sultan Nazrin berkenan berangkat ke majlis santapan malam sambutan Hari Guru di Ipoh
Sultan Nazrin Shah (kanan) berkenan beramah mesra bersama Saarani (tiga kanan) dan Fadhlina (empat kanan) ketika baginda berangkat ke majlis makan malam sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026 di Hotel Casuarina, Ipoh malam ini. Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (dua kanan). - Foto BERNAMA
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, hari ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55, di Hotel Casuarina, di sini.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada 8.36 malam itu, diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim Wan Rahim.
Fadhlina dalam sembah ucapannya berkata dalam mendepani perubahan dunia yang begitu pantas, pendidikan negara juga perlu bergerak dengan keberanian dan pandangan jauh agar kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan masa hadapan.
Maka, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 merupakan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan untuk membawa sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih baik dan lebih bersedia menghadapi cabaran baharu.
Rangka Pelan Malaysia 2026-2035 memberi penekanan kepada penguasaan ilmu, pembinaan sahsiah, penguasaan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI), serta pengukuhan dwibahasa," katanya.
Fadhlina berkata melalui Kurikulum Persekolahan 2027 yang progresif, bahasa Melayu dan Sejarah terus diperkukuh sebagai asas identiti bangsa, di samping memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak seawal usia lima tahun.
Segala usaha ini digerakkan dengan tekad memastikan pendidikan negara kekal relevan, progresif dan mampu membuka peluang yang saksama kepada seluruh rakyat Malaysia, agar cahaya ilmu terus menyinari masa depan bangsa," katanya.
– BERNAMA