Borneo
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

Vellfire Lv.24

Fav
Super Moderator | Credits 1087453   


Abang Johari (tiga kiri) disaksikan Tiong (dua kiri) serta pemimpin parti yang lain melakukan simbolik perasmian TGA PDP 2026 di Sibu, hari ini.

SIBU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru semua parti politik di negeri ini agar terus memperkukuh perpaduan dalam mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi memastikan suara negeri kekal dihormati dan diberi perhatian di peringkat persekutuan.

Beliau berkata, kekuatan Sarawak pada hari ini bukan sahaja terletak pada kemajuan ekonominya, malah kesepaduan parti-parti komponen di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa berdiri teguh dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri.

Menurutnya, perjuangan menuntut semula hak-hak Sarawak yang termaktub dalam MA63 yang diasaskan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem kini diteruskan dengan komitmen padu semua parti komponen GPS.

“Kita tidak meminta lebih dan tidak juga meminta kurang. Apa yang kita tuntut hanyalah hak yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu ketika pembentukan Malaysia,” ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) Parti Demokratik Progresif (PDP) 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menegaskan, kestabilan politik dan perpaduan kukuh dalam GPS telah membolehkan Sarawak memainkan peranan penting dalam landskap politik negara, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan politik di Putrajaya.

“Dalam keadaan politik negara yang tidak menentu, pihak yang bersatu akan menjadi penentu kepada hala tuju masa depan Malaysia.

“Jika kita mahu suara Sarawak terus didengari, maka rakyat dan kepimpinan negeri ini mesti kekal bersatu,” katanya.

Beliau turut berkata, kekuatan politik yang dimiliki GPS memberi keyakinan kepada Kerajaan Sarawak untuk berunding secara tegas berhubung hak negeri terhadap sumber asli termasuk minyak dan gas.



Abang Johari (tengah) bersama para pemimpin komponen GPS serta delegasi yang hadir menyanyikan lagu parti pada TGA PDP 2026 di Sibu, hari ini.

Katanya, hasil negeri yang meningkat daripada RM5 bilion kepada RM14 bilion membuktikan keberkesanan dasar pembangunan strategik yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak dengan sokongan rakyat.

“Saya berani membuat keputusan kerana rakyat berdiri bersama GPS - bersama PDP, PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), PRS (Parti Rakyat Sarawak) dan SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak).

“Jika kita berpecah, keyakinan untuk membawa Sarawak lebih maju akan terjejas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengibaratkan hubungan dalam sesebuah gabungan politik seperti sebuah institusi keluarga yang tidak dapat lari daripada perbezaan pendapat, namun perpaduan tetap menjadi keutamaan demi kesejahteraan bersama.

“Suami isteri pun ada kala berselisih faham, tetapi mereka tetap bersama demi keluarga dan anak-anak.

“Begitu juga dengan kita. Kita tidak mahu rakyat Sarawak menderita. Sebab itu kita mesti terus belayar dalam satu kapal yang sama iaitu GPS,” katanya.

Menyentuh mengenai dasar pembangunan negeri, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak akan terus mengamalkan pendekatan inklusif yang memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) untuk anak Sarawak yang layak menjadi bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

“Bukan hanya Melayu, Iban atau Bidayuh sahaja, tetapi semua rakyat Sarawak yang mempunyai identiti Sarawak akan menikmati manfaat tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan terdapat pihak tertentu yang cemburu terhadap kestabilan politik dan kemajuan ekonomi Sarawak, lalu cuba menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Satu-satunya cara untuk melemahkan Sarawak adalah dengan memecahbelahkan rakyatnya. Namun selagi kita bersatu, tiada siapa mampu menggugat kekuatan kita,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan masa depan Sarawak kini sedang dipacu menerusi pelbagai sektor berteknologi tinggi termasuk ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, teknologi hidrogen, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan pembangunan satelit.

“Kita sudah mempunyai anak Sarawak yang melanjutkan pengajian dalam bidang aeroangkasa di Amerika Syarikat. Masa depan Sarawak berada dalam bidang-bidang baharu ini, tetapi syarat utamanya ialah kita mesti terus bersatu,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PDP atas sumbangan dan sokongan berterusan parti itu dalam memperkukuh GPS serta menjayakan agenda pembangunan Sarawak.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden PRS Dato Sri John Sikie Tayai, Naib Presiden SUPP Datuk Michael Tiang, Timbalan Presiden PDP Datuk Henry Harry Jinep, Naib Presiden Kanan I PDP Datuk Dr Penguang Manggil, Setiausaha Agung PDP Dato Anyi Ngau serta ahli-ahli parti yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Rate
There are 1 People reward the building owner
161 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch