Borneo
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

Vellfire Lv.24

Fav
Super Moderator | Credits 1087453   


Seorang penyelam memeriksa kerosakan pada terumbu karang selepas tongkang terkandas di Eve’s Garden.

MIRI: Sekumpulan penyelam dari sini, melahirkan rasa kecewa dan marah selepas sebuah tongkang yang tersalah masuk ke zon menyelam di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti hujung minggu lalu, telah menyebabkan kerosakan teruk pada sebahagian besar terumbu karang di kawasan itu.

Jurulatih penyelam, Jimmy Yong yang menyertai kumpulan penyelam berkenaan berkata, insiden yang berlaku pada 9 Mei sekitar jam 8 pagi itu telah mengakibatkan kerosakan serius terhadap terumbu karang dan ekosistem marin sejauh lebih 50 meter.

Mengimbas kejadian itu, Yong berkata beliau bersama beberapa penyelam sedang menjalankan selaman pertama pada hari tersebut di salah satu lokasi selaman terkenal dikenali sebagai Eve’s Garden apabila mereka ternampak sebuah tongkang besar memasuki zon menyelam sebelum terkandas di atas kawasan terumbu karang.

“Tapak selaman itu hanya sedalam kira-kira empat hingga lima meter dan merupakan kawasan menyelam popular.

“Kapal besar sepatutnya menggunakan laluan perkapalan yang telah ditetapkan dan tidak memasuki zon menyelam.

“Kapten kapal dipercayai tersilap menggunakan laluan menyelam itu sehingga menyebabkan tongkang itu melanggar kawasan terumbu karang secara langsung,” katanya.

Selepas kejadian itu, katanya lagi, sebuah bot tunda lain cuba menarik keluar tongkang yang terkandas secara paksa, sekali gus menyebabkan kerosakan tambahan pada kawasan terumbu tersebut.

“Sehingga tengah hari pada hari sama, tongkang itu masih berada dalam kawasan tapak selaman,” katanya.

Yong berkata beliau kembali ke lokasi itu pada 10 Mei bagi memeriksa keadaan karang dan mendapati tapak selaman tersebut mengalami kerosakan teruk apabila sejumlah besar karang keras telah hancur, sekali gus memusnahkan ekosistem dasar laut di kawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa Eve’s Garden terkenal dengan ekosistem karang keras serta hidupan marin mikro yang kaya, menjadikannya lokasi pilihan penyelam baharu dan penggemar fotografi makro.

“Kemusnahan terumbu karang itu amat menyedihkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa insiden tersebut telah dilaporkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang menjaga taman terumbu karang itu dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut Yong, beliau dimaklumkan bahawa SFC akan menghantar pasukan penyelam ke lokasi terjejas bagi menjalankan siasatan dan penilaian di tapak kejadian.

Yong menegaskan insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku di zon menyelam memandangkan ekosistem karang memerlukan tempoh yang sangat lama untuk membesar dan pulih semula.

“Apabila musnah, proses pemulihan mengambil masa yang amat panjang. Diharap pihak berkuasa berkaitan serta komuniti perikanan dapat mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang demi melindungi sumber ekosistem marin berharga di Miri,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Rate
There are 1 People reward the building owner
150 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch