Sagah menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak pada Persidangan DUN Sarawak hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Mata pelajaran Sains Komputer dan Reka Bentuk akan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris (BI) kepada pelajar Program Dwi-Bahasa (DLP) Sarawak bermula tahun 2029.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata perkara ini telah dipersetujui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini merupakan satu pencapaian penting yang memperkukuh kesinambungan laluan DLP Sarawak serta menyokong pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
“Kementerian saya kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan KPM bagi memastikan kesiapsiagaan penuh untuk pelaksanaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Mengenai Ujian Penilaian DLP Sarawak (UP-DLPS) Tahun 6, Sagah berkata kementeriannya telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap keputusan pentaksiran tersebut.
Sehubungan itu katanya, kementeriannya bersama JPNS sedang memperkukuh program intervensi yang disesuakan untuk sekolah dan pelajar yang memerlukan sokongan tambahan.
Selain itu katanya, UP-DLPS Tahun 6 pada tahun ini akan menggunakan sistem pemarkahan secara dalam talian bagi meningkatkan kecekapan, konsistensi serta integriti dalam pengurusan pentaksiran.
Berhubung Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP), Sagah berkata ia telah diperluaskan melibatkan pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2, selain Tingkatan 3, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, susulan permintaan tinggi daripada pihak sekolah.
Peluasan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap intervensi awal, khususnya dalam memperkukuh kompetensi asas dan meningkatkan kesiapsiagaan pelajar ke peringkat menengah atas serta seterusnya menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sumber : Utusan Borneo