Kuala Lumpur: Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, memaklumkan peletakan jawatan mereka masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Setiawangsa.
Rafizi dan Nik Nazmi dalam satu kenyataan bersama berkata, pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat berikutan hasrat mereka berdua untuk meneroka hala tuju politik baharu.
Dengan pengosongan kerusi itu, mereka menegaskan akan kembali bertanding di Parlimen sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun kali ini berbeza di bawah Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) bukannya Pakatan Harapan (PH).
"Sebentar tadi, kami telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memaklumkan peletakan jawatan kami sebagai Ahli Parlimen.
"Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pandan dan Setiawangsa, memandangkan kami dipilih di atas tiket PH pada PRU yang lalu.
"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang telah memilih kami mewakili mereka di Parlimen untuk dua penggal.
"

usat Khidmat kami akan beroperasi seperti biasa untuk terus memberi bantuan dan khidmat kepada pengundi-pengundi," kata mereka dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Nik Nazmi hari ini.
Dalam hantaran sama, Nik Nazmi turut memuatnaik surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat yang dihantar ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, bertarikh 18 Mei 2026.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi umum keluar dari PKR dan akan menyertai BERSAMA esok.
Berikutan itu, PKR menggugurkan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi mereka mengisytiharkan keluar parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan dibuat mengikut Fasal 9(1)(c) dalam Perlembagaan parti selepas menerima hasrat keluar parti daripada bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden itu.
Sementara itu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat sebentar tadi mengesahkan pihaknya menerima notis peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen daripada Rafizi dan Nik Nazmi.
Sumber: Harian Metro