Borneo
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

Vellfire Lv.24

Fav
Super Moderator | Credits 1102590   
Edited by Vellfire at 29-5-2026 03:38 PM



UGIK

SIBU: Masyarakat Dayak di seluruh negara diingatkan supaya meraikan sambutan Hari Gawai Dayak 2026 dengan penuh bermakna, sederhana serta berjimat cermat memandangkan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak menentu.

Ketua-ketua Perguruan Muntat Gamang dari seluruh Sarawak, Sabah, Brunei dan Johor dalam temu ramah khas sempena sambutan Hari Gawai hari ini turut menyeru masyarakat agar terus mengekalkan adat, budaya dan permainan tradisional kaum Dayak supaya tidak hilang ditelan arus pemodenan.

Mahaguru Ugik Jalit selaku pemimpin tertinggi Perguruan Muntat Gamang berkata, sambutan Hari Gawai seharusnya diraikan mengikut kemampuan masing-masing tanpa perlu bersaing dari segi perbelanjaan.

“Sambutlah perayaan ini dengan seadanya mengikut kemampuan sendiri dan tidak perlu berlumba-lumba dengan jiran ketika berbelanja.

"Apa yang lebih penting ialah keselamatan dan kebersamaan keluarga,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol serta memastikan perjalanan pulang ke kampung dirancang dengan baik termasuk mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi.

“Kita ada adat dan budaya yang harus dipelihara.

"Ketika musim Gawai ini, kekalkan permainan tradisi serta tarian asal masyarakat Dayak dan jangan terlalu leka dengan hiburan moden yang menyimpang daripada budaya asal kita,” ujarnya.



ENDUN

Sementara itu, 'Panglima' Endun Lenta dari Perguruan Muntat Gamang Bahagian Sibu turut mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Dayak sambil mendoakan kesejahteraan dan kemurahan rezeki buat semua.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu agar selamat tiba di destinasi masing-masing.



MUSA

'Panglima' Musa Anggau dari Perguruan Muntat Gamang Limbang yang juga 'Tuai Kayau' Perguruan Muntat Gamang Sabah pula berharap golongan muda mengambil peluang semasa sambutan Gawai dan Kaamatan untuk mempelajari seni budaya tradisional masyarakat Dayak.

Menurutnya, warisan seperti ngajat, kuntau, 'bepantun', 'beramban' dan 'besanggai' perlu diwarisi generasi baharu agar tidak pupus pada masa akan datang.
“Perayaan ini disambut setahun sekali untuk meraikan pesta menuai.

"Gunakan peluang ini untuk mendalami budaya sendiri dan menghargai identiti masyarakat Dayak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mengelakkan pengambilan alkohol ketika memandu demi keselamatan bersama.


BULANG

Dalam pada itu, 'Panglima' Bulang Vera dari Perguruan Muntat Gamang Sri Aman yang juga 'Panglima' Penyatuan menyeru masyarakat Dayak agar terus hidup bersatu-padu dan saling menghormati antara satu sama lain.

Beliau turut berharap agar masyarakat Dayak sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kemakmuran dan kehidupan yang aman.

'Panglima' Dominic Kelundek dari Perguruan Muntat Gamang Kuching pula menekankan kepentingan memelihara hutan serta hidupan liar di Borneo sebagai warisan untuk generasi akan datang.


DOMINIC

Katanya, sambutan Hari Gawai juga harus dijadikan platform untuk menyampaikan kesedaran kepada anak cucu tentang pentingnya menjaga alam sekitar.
“Kalau bukan kita siapa lagi?

"Kalau bukan sekarang bila lagi?

"Hutan dan hidupan liar kita perlu terus dipelihara supaya kekal untuk generasi akan datang,” katanya.


LAWRANCE

Sementara itu, 'Tuai Kayau' Lawrance Clement Ashey dari Perguruan Muntat Gamang Kuching mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga budi bahasa dan tingkah laku sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata, masyarakat perlu bijak mengawal diri terutama ketika menikmati minuman beralkohol supaya tidak membawa kepada perkara yang tidak diingini.
“Biar kita yang mengawal alkohol, jangan sampai alkohol mengawal hidup kita,” katanya.

Dalam kesempatan itu, semua pemimpin Perguruan Muntat Gamang turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Gawai Dayak 2026 kepada seluruh masyarakat Dayak di Malaysia, Sarawak, Sabah serta seluruh Kepulauan Borneo dengan harapan sambutan tahun ini akan terus mengukuhkan perpaduan, budaya dan jati diri masyarakat Dayak.


Sumber : Utusan Borneo
Rate
There are 1 People reward the building owner
201 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch