Isu Semasa
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

CARI-MRO Lv.24

Fav
Editor CARI | Credits 211045   





Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, akan bertanding semula dalam pilihan raya umum akan datang, menurut pengumuman parti Likud pada Rabu, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara terbuka mempersoalkan sama ada pemimpin berusia 76 tahun itu akan terus bertanding.


Netanyahu, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, memimpin negara itu sepanjang tiga tahun peperangan dan kini sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah.


Sejak beberapa bulan lalu, beliau berdepan kritikan yang semakin memuncak daripada pemimpin pembangkang yang menuduhnya gagal mencapai matlamat perang yang ditetapkan susulan serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023.


"erdana Menteri Netanyahu akan bertanding dalam pilihan raya akan datang dan, dengan izin Tuhan, beliau akan menang," kata parti Likud menerusi Telegram.


Pengumuman itu dibuat selepas Trump memberitahu ABC News bahawa beliau tidak pasti mengenai hasrat Netanyahu.


"Saya tidak tahu, beliau mempunyai kerjaya yang luar biasa. Adakah beliau mahu teruskan? Kerana beliau adalah perdana menteri ketika perang," kata Trump.


Netanyahu sebelum ini sudah menyatakan hasrat untuk bertanding semula dalam pilihan raya yang dijadualkan diadakan selewat-lewatnya pada Oktober ini. Beliau telah berkhidmat hampir dua dekad sebagai perdana menteri menerusi beberapa penggal.


Kenyataan Trump itu dibuat beberapa hari selepas berlaku pertukaran pandangan tegang antara kedua-dua pemimpin, apabila presiden AS itu dilaporkan menegur sekutu rapatnya itu dalam perbualan yang penuh kemarahan.


Netanyahu bagaimanapun meremehkan insiden itu ketika ditemu bual oleh CNBC.


Masa depan politik Netanyahu turut dibayangi hubungan yang semakin tegang dengan Washington serta kritikan berterusan daripada pihak pembangkang berhubung cara beliau mengendalikan beberapa konflik serentak.


Ketika ini, Netanyahu sedang mengendalikan peperangan di tiga medan yang saling berkaitan.


Di Gaza, Israel meneruskan operasi ketenteraan terhadap Hamas walaupun gencatan senjata rasmi telah berkuat kuasa sejak Oktober tahun lalu.


Di Lubnan, Israel meneruskan kempen ketenteraan terhadap Hizbullah.


Sementara itu di Iran, Israel menyertai sekutunya, Amerika Syarikat, dalam siri serangan yang mengorbankan sebahagian besar kepimpinan negara itu dan mencetuskan peperangan yang merebak ke seluruh rantau tersebut.


Tokoh pembangkang semakin lantang mempersoalkan kepimpinan Netanyahu ketika perang.


Ketua pembangkang utama Israel, Yair Lapid, menyifatkan keputusan kerajaan pada April lalu untuk bersetuju dengan gencatan senjata bersama Iran sebagai "bencana politik".


Pengkritik berpendapat Netanyahu berulang kali menetapkan sasaran ketenteraan yang bercita-cita tinggi tetapi gagal menterjemahkan kejayaan di medan perang kepada hasil strategik yang jelas.


Walaupun Netanyahu menonjolkan operasi terhadap Hamas, Hizbullah dan Iran sebagai kejayaan besar, pihak pembangkang mendakwa pencapaian ketenteraan itu tidak menghasilkan penyelesaian politik atau keselamatan yang berkekalan.


Mereka juga mendakwa kerajaan berulang kali mengumumkan kemajuan ke arah matlamat seperti memusnahkan Hamas, melemahkan Hezbollah dan mengekang Iran, namun objektif itu masih belum dicapai sepenuhnya.


Tinjauan yang diterbitkan pada Selasa oleh Institut Demokrasi Israel mendapati 61 peratus rakyat Israel, termasuk 57 peratus daripada warga Yahudi Israel, berpendapat Netanyahu tidak sepatutnya bertanding semula.


Hubungan Netanyahu dengan Trump turut menjadi perhatian selepas media AS melaporkan bahawa Trump memberi amaran kepada pemimpin Israel itu bahawa beliau mungkin perlu "berjuang sendiri" jika Israel terus melancarkan serangan ke atas Iran.


Selain cabaran politik, Netanyahu juga berdepan beberapa masalah kesihatan sejak kebelakangan ini.


Awal tahun ini, beliau mendedahkan bahawa doktor berjaya membuang tumor malignan kecil peringkat awal daripada prostatnya.


Menurut pejabatnya, Netanyahu beberapa kali dimasukkan ke hospital sejak kembali memegang jawatan pada Disember 2022.


Pada Mac 2024, beliau menjalani pembedahan hernia sebelum menjalani pembedahan pembesaran prostat pada Disember tahun yang sama.


Pada Julai 2023, kurang tiga bulan sebelum perang Gaza tercetus, Netanyahu dipasang alat perentak jantung selepas dimasukkan ke hospital akibat mengalami masalah pening.

Sumber – Harian Metro
244 Views
2 Reply Reverse order

ADVERTISEMENT


pinkpunk Lv.8 2#

Honour | Credits 2794   
ingatkan dah mampos

Decaffeinated Lv.18 3#

Master | Credits 65369   
'Beliau telah berkhidmat hampir dua dekad sebagai perdana menteri menerusi beberapa penggal.'

Masih tak boleh lawan atuk.

Parti Likud ni liberal secular. Pembangkang tu konservatif.

All contents are displayed