Miami: Pengadil Somalia, Omar Abdulkadir Artan tetap akan menerima bayaran penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) walaupun gagal bertugas pada Piala Dunia selepas dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat (AS).
Pentadbiran Presiden Donald Trump sebelum ini memaklumkan Omar tidak dibenarkan memasuki negara itu kerana didakwa mempunyai kaitan dengan individu yang disyaki terbabit dengan organisasi pengganas.
Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, FIFA komited untuk membayar keseluruhan yuran kejohanan kepada Omar meskipun dia tidak akan mengendalikan sebarang perlawanan sepanjang saingan berlangsung.
Omar yang dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Afrika 2025 sepatutnya mencipta sejarah sebagai rakyat Somalia pertama yang dipilih mengadili perlawanan di pentas Piala Dunia.
Bagaimanapun, impian itu tidak kesampaian apabila dia ditahan dan diarahkan pulang oleh pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS sebaik tiba di negara berkenaan.
Kepulangannya ke Somalia tetap disambut meriah apabila dia menerima sambutan sebagai wira oleh rakyat negara itu yang berbangga dengan pencapaiannya di arena bola sepak antarabangsa.
Dalam perkembangan positif buat Omar, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) melantiknya sebagai pengadil untuk aksi Piala Super Eropah yang menemukan Paris Saint-Germain dan Aston Villa pada Ogos depan.
Pelantikan itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kredibiliti serta reputasi pengadil berusia 31 tahun itu yang terus mendapat kepercayaan badan bola sepak antarabangsa meskipun berdepan episod mengecewakan menjelang Piala Dunia.