Utara
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

sfhzuraz Lv.22

Fav
Moderator | Credits 1841470   
22 tahun mengejar impian, pesara MBAS akhirnya bergelar 'Ar' bersama anak

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
11 Julai 2026 05:10pm





Izahar (dua dari kiri) dan anaknya, Muhammad Nushi (kanan) menerima pengiktirafan sebagai Arkitek Profesional daripada Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) pada Majlis Pentauliahan Arkitek dan Pereka Bentuk Dalaman Baharu di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur.






ALOR SETAR – Impian seorang pesara Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk bergelar Arkitek Profesional (Ar) akhirnya menjadi kenyataan selepas menanti lebih dua dekad.

Bekas arkitek berusia 61 tahun itu, Ar Izahar Shaari akhirnya berjaya menamatkan Peperiksaan Profesional Bahagian III selepas kira-kira 22 tahun berusaha melengkapkan laluan profesional dalam bidang seni bina.


Lebih membanggakan, anak keduanya, Ar Muhammad Nushi Izahar, 32, turut menerima pengiktirafan yang sama pada 4 Julai lalu selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Seni Bina di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dua beranak itu menjadi antara calon dari Kedah yang menerima pengiktirafan sebagai Arkitek Profesional daripada Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) pada Majlis Pentauliahan Arkitek dan Pereka Bentuk Dalaman Baharu di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur.


Berasal dari Felda Lubuk Merbau, Izahar berkata, gelaran tersebut merupakan impian yang tidak pernah dilupakan sejak pertama kali melangkah ke dunia seni bina ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada era 1980-an.

Menurutnya, walaupun sudah berkhidmat sebagai arkitek dan memikul tanggungjawab membesarkan tujuh orang anak, hasrat untuk melengkapkan kelayakan profesional sentiasa menjadi keutamaan.

“Ramai yang bertanya mengapa saya masih mahu terus mencuba sedangkan saya sudah bekerja sebagai arkitek.

“Bagi saya, selagi ada peluang, saya akan terus berusaha.

Gelaran Ar ini ialah cita-cita yang saya simpan sejak mula belajar seni bina dahulu,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau mengakui telah lama melepasi peperiksaan lisan dan Kertas I, namun terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang sebelum akhirnya berjaya melengkapkan keseluruhan peperiksaan berkenaan.

Katanya, cabaran terbesar yang dihadapi adalah untuk melepasi Kertas II dan mengulang peperiksaan itu beberapa kali sebelum akhirnya berjaya.

Izahar yang kini menetap di Kampung Kuala Alor di sini menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa impian tidak mengenal usia dan kegagalan bukan alasan untuk menyerah kalah.


Sementara itu, Muhammad Nushi berkata, pengalaman melihat kesungguhan bapanya selama bertahun-tahun menjadi sumber inspirasi terbesar dalam melengkapkan laluan profesionalnya.

Menurutnya, mereka sama-sama menghadiri bengkel peperiksaan, mengikuti kelas dalam talian serta mendapatkan bimbingan arkitek kanan sebagai persediaan menghadapi Peperiksaan Profesional Bahagian III.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat berkongsi detik bersejarah ini bersama ayah.

Selepas melihat pengorbanannya selama lebih 20 tahun, saya memahami bahawa kejayaan bukan hanya bergantung pada kepandaian, tetapi juga kesabaran dan kegigihan,” ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja milik mereka berdua, sebaliknya merupakan hadiah istimewa buat seluruh keluarga yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan mereka.

Untuk bergelar Arkitek Profesional, seseorang perlu melalui tiga peringkat kelayakan, iaitu Bahagian I, Bahagian II dan Peperiksaan Profesional Bahagian III sebelum layak berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia serta menggunakan gelaran ‘Ar’.

https://www.sinarharian.com.my/article/787380/edisi/utara/22-tahun-mengejar-impian-pesara-mbas-akhirnya-bergelar-ar-bersama-anak



98 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch