Kuala Lumpur: Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, berangkat mengadakan lawatan rasmi ke Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 11 pagi itu disambut pihak pengurusan kanan MPB termasuk Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid sebelum berangkat ke Studio Sri Pentas.
Di Studio Sri Pentas, Sultan Sallehuddin berkenan menandatangani buku lawatan Diraja dan plak peringatan.
Baginda berdua kemudiannya diberikan taklimat oleh Syed Hussian dan pembentangan korporat oleh Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNIA Datuk Mohd Efendi Omar sebelum dipertontonkan montaj memaparkan sorotan istiadat pertabalan baginda.
Sultan Sallehuddin turut menerima cendera kenangan berupa naskhah muka hadapan akhbar Berita Harian yang diterbitkan sempena pertabalan baginda.
Ketika di Studio A, rombongan Diraja turut berkenan mencemar duli membaca berita di TV3 dan diberikan taklimat mengenai proses penerbitan berita televisyen.
Lawatan kemudian diteruskan ke Pusat Arkib New Straits Times Press (NSTP), KLIK dan melihat koleksi arkib dan bahan penerbitan yang menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan media negara.
Sultan Sallehuddin dan Tunku Shazuddin Ariff turut berkenan melawat Konti Radio, Media Prima Audio yang menempatkan rangkaian Hot FM, Kool 101, Molek FM, Fly FM dan Eight FM termasuk diberikan penerangan mengenai operasinya.
Sementara itu, Syed Hussian berkata, pihaknya menjunjung kasih di atas lawatan kedua-dua baginda yang sudah mencemar duli di MPB.
"Kunjungan hari ini amat bermakna bagi MPB kerana mengeratkan hubungan di antara Institusi Diraja Negeri Kedah dengan MPB," katanya di sidang media selepas keberangkatan pulang Sultan Sallehuddin dan Tunku Shazuddin Ariff.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio Nazri Noran, Ketua Pegawai Operasi Big Tree Muhamad Fariz Mustafa, Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa MPB Jasbant Singh dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan MPB dan Pengarang Kumpulan New Straits Times Farrah Naz Abd Karim.
Selain itu, hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Zulkifli Jalil.