|
Buah tangan Khadijah Hashim di Istana BudayaSEBUT saja nama Khadijah Hashim, pasti khalayak terbayang di mata novelis hebat yang mencipta gelombang menerusi Badai Semalam pada 1968 dan kini dipentaskan di Istana Budaya dari 11 November lalu hingga 20 November ini.\n\n\n\nHakikatnya, tidak ramai yang mengetahui penulis kelahiran Batu Pahat ini bukan saja hebat dalam ‘gelanggang’ penulisan, malahan turut berbakat dalam dunia seni visual khususnya dalam lukisan berus China.\n\n\n\n\nJusteru, bersempena dengan pementasan teater Badai Semalam, Mingguan Malaysia dengan kerjasama Istana Budaya menganjurkan Pameran Solo Lukisan Khadijah Hashim yang dapat disaksikan sepanjang tempoh pementasan hingga 20 November ini di Salasar Bayu, Istana Budaya. Bertema Warna Alam, pameran solo kedua beliau menampilkan 20 karya cetusan imaginasi terhadap alam, dengan kesemua subjek yang ditonjolkan ialah flora dan fauna serta digarap dengan warna terang, sekali gus mampu membangkitkan perasaan ceria lagi tenang. Istimewanya karya Khadijah pada pameran ini terletak pada permainan warna cat air yang kesemuanya digarap menggunakan berus Cina, namun diberi sentuhan penuh kemelayuan, ringkas dan jujur dalam menterjemah imaginasi lewat kanvas. Menjadikan melukis sebagai hobi waktu senggang, beliau memilih alam semula jadi kerana baginya alam wahana penting untuk manusia mendekatkan diri dengan Sang Pencipta, di samping memupuk sikap agar manusia lebih menghargai alam. \n\n\n\n“Memang kesemua karya adalah cetusan imaginasi bersumberkan alam, terutama motif flora dan fauna. Sesiapa pun pasti sukakan bunga dan pemandangan yang cantik lagi bersih. Justeru, saya rakamkan di atas kanvas dengan harapan pengunjung menyelami sama mesej menghargai alam.“Penggunaan warna terang dan ceria juga memainkan peranan penting kerana mampu membangkitkan perasaan yang tenang. Secara tidak langsung, ia mampu menjadi terapi mengatasi kekusutan fikiran selepas seharian menempuh pelbagai tekanan kerja,” katanya kepada Galeri semasa majlis pelancaran pameran tersebut baru-baru ini. Siri Bunga Matahari menjadi kegemarannya, dihasilkan selepas melawat Muzium Van Gough di Amsterdam kerana beliau begitu tertarik dan mengagumi garapan beberapa karya di muzium terbabit yang tampak indah dan ceria. Siri Hutan yang dihasilkan pada tahun ini tidak hanya mempamerkan keindahan dan kehijauan semata-mata, namun menghantar makna mendalam untuk ditafsirkan khususnya sifat rakus manusia yang dahagakan pembangunan sehingga memusnahkan hutan.“Kerakusan itu saya abadikan di atas kanvas dalam siri ini untuk tatapan generasi akan datang yang mungkin tidak sempat melihat khazanah alam negara,” ujarnya.Jambangan Kasih, Tulip, Kamunting Cina, Tasik, Batik, Kolam Biru, Ros Kuning dan Orkid pada pameran ini pasti mampu menggamit perhatian pengunjung, terutamanya penggemar lukisan bertemakan flora. Apa yang boleh dikatakan, tidak sukar untuk jatuh cinta dengan karya buah tangan penulis tersohor ini, pertamanya kerana alam sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan manusia dan keduanya adalah cara garapan yang sangat jujur, ringkas lagi ceria.INFOPameran Solo Khadijah Hashim: Warna AlamTarikh: sehingga 20 November 2011Jumlah Karya: 20Tempat: Salasar Bayu, Istana Budaya.Masa: Dibuka bermula 10 pagi hingga 11 malam.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|