Peluang yang ada
Rebut dengan berusaha
Amalan terbaik diperaga
Kemenjadian sasaran agenda
Anak-anak fokus utama
Rancang hala bangsa
Sempurnakan akhlak teguhkan jiwa
Ampuh di mata dunia.
Sungguh tak disangka
Insan butakan telinga pekakan mata
Lantunan keegoaan melata
Emosi yang terduga
Nampak belang yang nyata
Gagal melaksana seperti diperkata
Angkuh melabel sesuka
Hakikat yang dilupa.
Musim Malaysia memilih
Ambil peluang tentukan pemimpin
Langkah bijak guna kuasa undi
Aturkan yang layak tadbir urus
Yang memperjuangkan rakyat diangkat
Susah senang rakyat didahulukan
InsyaAllah dipilih ke dewan
Ambil peluang bekhidmat penuh keikhlasan
Musim mengharap sokongan
Era bekerja demi rakyat bawahan
Menabur bakti segenap lapisan
Idea masa tenaga dikorban
Lantunan keprihatinan
Imbuhan diangkat ke medan
Harus syukur dengan pilihan.
Ke hulu ke hilir
Era yang makin getir
Menagih calitan walau sebutir
Peluh ke keting menanti keputusan dikelir
Entah menang entah dipinggir
Nasib di tangan khalayak yang mengukir.
Anakanda di sini menitis air mata
Yakin dari dulu kebenaran akan tiba
Allah Maha Berkuasa
Hanya Dia mengetahui rasa
Ayahanda, harapan kami martabatkan negara
Nakhoda disayangi rakyat jelata
Dekati rakyat menangi hatinya
Akan makmur sejahtera
Tiba masa
Ubah cacat cela
Nasib rakyat akan terbela
Hutang piutang
Urusan yang perlu diselesaikan
Tangguh menangguh menyulitkan
Akhirnya terjerat kesusahan
Natijah tiada perancangan
Gagal mengukur kemampuan.
Mansuh itu ini
Ambillah masa renung kaji
Nak buat bukan senang pening pak menteri
Silap langkah memakan diri
Urusan mentadbir tugas diperhati
Harus teliti segenap segi.
Kerana penghulu tersungkur
Eh! Jadi malu nak muncul
Rakyat tertanya kenapa mundur
Laungan bernada pahlawan selalu terpancul
Usai PRU berubah catur
Kelibat mereka tidak menyusul.
Sejarah tercatat
Era BN disiat
Malaysia Baharu dicatat
Bangsa mengubah niat
Integriti diperhebat
Liabiliti negara disiasat
Angka diperdebat
Natijah tadbir urus ralat.
Malaysia Baharu
Era pacu ke mercu
InsyaAllah dengan doa restu.
Politik tidak pernah menyatukan bangsa
Angkara agenda berbeza
Neraca keadilan terbinasa
Gagal membela rakyat jelata
Lalai dek tamak haloba
Iblis galak menghasut mereka
Mabuk dalam nafsu ingin kaya raya
Amanah hilang dari jiwa.