|
|
Ferdinand diketepikan daripada Three Lions

Rio Ferdinand diketepikan daripada skuad England ke Euro 2012.- REUTERS
LONDON - Pertahanan veteran Rio Ferdinand, pemain berprofil tinggi diketepikan daripada pasukan kebangsaan England, selepas pengurus, Roy Hodgson mengumumkan skuadnya yang akan beraksi dalam Kejuaraan Eropah (Euro 2012).
Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan spekulasi mengenai Hodgson yang mungkin mengambil risiko dengan memilih Ferdinand dan kapten Chelsea, John Terry dalam skuad yang sama.
Terry sebelum ini dikatakan bakal disingkirkan Hodgson selepas timbul pertikaian sama ada pemain pertahanan tengah itu mampu bergandingan dengan Ferdinand, yang memiliki 81 penampilan sejak 1997.
Terry bakal dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bersikap perkauman terhadap adik Ferdinand, Anton sewaktu perlawanan Liga Perdana, Chelsea menentang Queens Park Rangers, Oktober tahun lalu, yang mana tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya pemain berkenaan.
Bagaimanapun, kemampuan Ferdinand untuk menghadapi jadual pertandingan yang ketat diragui pengurus Manchester United, Alex Ferguson yang mempersoalkan keupayaan pemain pertahanan itu beraksi dua perlawanan dalam tempoh empat hari.
Hodgson berkata kepada pemberita, keputusan mengetepikan Ferdinand dibuat di atas alasan bola sepak semata-mata.
"Ia merupakan satu keputusan yang berkaitan dengan bola sepak semata-mata. Dia merupakan pemain yang saya hormati. Tetapi, saya perlu membuat keputusan bersandarkan apa yang saya lihat beberapa bulan kebelakangan ini.
"Rio hanya bermain sekali untuk England, tahun lalu. Dalam bola sepak, saya juga mahu pemain seperti (Phil) Jones dalam skuad. Ini merupakan satu panggilan telefon yang amat sukar untuk saya lakukan. Saya berharap Rio dapat menerima keputusan saya," kata Hodgson.
Sementara itu, Hodgson mempertahankan keputusannya memilih Terry dan kes mahkamah yang dihadapi pemain itu tidak boleh diambil kira.
Hodgson turut mengesahkan bintang Liverpool, Steven Gerrard dilantik menjadi kapten England pada Euro nanti. - AFP |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|