CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4957|Reply: 6

Pandu Uji: Suzuki Kizashi Sport

[Copy link]
Post time 27-5-2012 12:54 AM | Show all posts |Read mode


Kizashi berahi untuk yang berani!

Oleh Yanti Zolidia Kassim, Auto Anda/Funtastickodesign

DUA puluh tahun dahulu, sebut sahaja Suzuki dan akan terbayang model Jimny SJ410 dan kemudian SJ413. Diibaratkan sebagai lipas kudung di kalangan pemain off-road, Jimny memang hebat dibandingkan dengan saiznya. Sesuai dikatakan, ia adalah ikon dalam arena 4X4.


Kemudian datang model Vitara, sati lagi SUV tetapi lebih kepada mereka yang memandu di sekitar bandar. Saya berani rumuskan model pertama Vitara itu yang memulakan kegilaan orang muda untuk menggunakan SUV yang stylo menggantikan kereta.


Sejak kebelakangan ini, Suzuki lebih menempa nama di dalam segmen kereta kecil – Swift contohnya yang sungguh popular sehinggakan ia dipasang di Pekan. Wakil Suzuki di Malaysia, Suzuki Malaysia Automobile (SMA) turut menawarkan model-model Grand Vitara, SX4 dan SX4 sedan, namun Swift menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan sebuah kenderaan yang lebih menarik berbanding dengan Perodua Myvi.


Baru-baru ini, SMA melakukan kejutan dengan melancarkan model Kizashi yang bersaing dengan pemain segmen D yang lain seperti Toyota Camry, Nissan Teana dan Honda Accord. Melompat segmen C dan terus ke D, ramai yang merasakan sedikit terkejut tetapi sebenarnya, model Kizashi ini sudah lama dilancarkan di tempat lain.


Ia mula diperkenalkan semasa pameran automotif New York pada tahun 2009. Malah, SMA sudah membawa Kizashi ini untuk kajian pasaran dalam tahun 2010 lagi. Apa yang saya dengar, rundingan dengan Kementerian Kewangan mengenai cukai untuk Kizashi ini berlarutan sehinggalah ke tahun ini.




Apa pun, pada firasat saya, rundingan itu tidak begitu berhasil kerana Kizashi masih dijual pada harga yang sedikit mahal, RM147,888 untuk model SDLX dan RM158,188 untuk model Sport. Walaupun kapasiti enjinnya besar (2.4 liter), saiz Kizashi ini lebih menyamai model di dalam segmen C. Contohnya, jarak roda ialah pada 2,700mm, sama dengan panjang jarak roda Honda Civic. Namun, Kizashi mempunyai badan yang lebih panjang dan lebar dari Civic ataupun Toyota Altis, cuma masih kecil berbanding dengan Toyota Camry dan  sebagainya.


Suzuki menggunakan resipi Eropah yang digabungkan dengan tradisi Jepun untuk penciptaan Kizashi ini. Menurut Suzuki, Kizashi direka untuk memberikan pemanduan gaya Eropah tetapi dengan kejuruteraan dan kualiti pembinaan Jepun. Ini satu resipi yang pada asasnya kukuh – kereta yang boleh dipandu sesedap sebuah kereta Eropah tetapi lasak seperti sebuah kenderaan Jepun!


Dari segi luaran, Kizashi nyata lebih garang dari Camry dan Teana. Mungkin boleh dicabar oleh Mazda6 tetapi dengan saiz yang lebih kompak dan rim aloi 18-inci (model pandu uji ialah dari versi Sport) yang nampak memenuhi ruang roda, Kizashi seperti sebuah muscle-car Amerika!


Tidak seperti Toyota, Nissan dan Honda, Kizashi menggunakan beberapa panel krom yang menarik perhatian. Dari pandangan sisi, depan dan belakang, Kizashi nyata agresif dan memang nampak menggiurkan! Bahagian kabin turut menampilkan rekaan yang kemas dan segak. Tiada kelihatan warna-warna pastel lembut yang lebih menarik minat guru pencen. Plastik berkualiti tinggi warna hitam dengan inserts besi aloi memang menaikkan ciri Eropah. Inilah yang dimaksudkan dengan premium kerana tiada plastic bercat (painted plastics) yang digunakan secara meluas. Apa yang kelihatan seperti besi memang besi, dan susun atur suis dan butang serta alat kawalan lain dapat dicapai mudah oleh pemandu.




Walaupun moden, tolok meter pula diberikan sentuhan ala klasik – memang terpukau saya jadinya. Dari segi teknikal, Suzuki Kizashi ini dijana oleh enjin J24B dengan sesaran 2,393cc, 4-silinder dengan 16 injap DOHC. Menghasilkan 176hp dan 230Nm, ia lebih berkuasa dari Mazda6 2.5L tetapi berbanding dengan Toyota Camry 2.5L yang bakal dilancarkan kelak, Kizashi mempunyai tenaga yang sedikit berkurangan (tetapi Camry jauh lebih besar DAN, lebih berat!).


Untuk model Sport, SMA memberikan senarai aksesori yang boleh dikatakan menarik – kerusi dengan balutan kulit mewah, sistem keyless start/stop, sistem audio dengan subwoofer, alatan keselamatan seperti ABS, ESP, EBD, BA, Isofix dan Hill Hold Control.


Pemanduan saya bersama Kizashi boleh dikatakan lengkap. Ia dibawa bermain di celahan bangunan konkrit di sekitar Kuala Lumpur, kemudian menyusuri jalan lama dari Dengkil hingga ke Port Dickson dan kemudia bermain di lebuhraya PLUS dari Pedas/Linggi kembali ke ibukota. Laluan lebuhraya bandar seperti Kesas, Elite, Sprint turut digunakan dan selepas empat hari, saya yakin ini ialah sebuah kereta sedan yang sesuai untuk eksekutif muda yang masih bujang, ataupun yang baru mula berkeluarga.




Ruang but sebesar 461 liter memadai untuk empat sekeluarga, walaupun pada firasat saya, Proton Prevé mempunyai ruang but yang lebih besar. Kabin selesa dan senyap, walaupun tayar berprestasi tinggi digunakan. Kadar keselesaan dari segi ruang pada hemat saya boleh dikatakan mencukupi. Ia nyata lebih luas dari Civic tetapi tidak mampu menyaingi Camry atau Accord. Ruang kaki belakang cukup luas – saya mampu bersila di atas lantai, tapi mungkin kerana saiz saya yang sedikit comel.


Untuk mereka yang kaki memandu, stereng Kizashi memberikan keyakinan untuk mengambil selekoh dengan laju. Suspensi depan mungkin akan menjunam sedikit tetapi ia tidak mudah untuk understeer. Brek, pusing stereng dan ekornya akan mengikut dengan selamba. Tiada buaian atau olengan, dan jika jalan tidak begitu rata, ekornya tidak memantul-mantul seperti kereta yang menggunakan suspensi torsion beam. Kizashi menggunakan suspensi belakang dari jenis multilink yang selalunya terdapat di dalam kereta kereta prestasi.


Prestasi brek turut membuatkan saya rasa teruja. Pedal brek mudah dikawal dan memberikan tindak balas yang linear. Saya cuba membrek kuat di dalam garisan lurus dan ekornya tidak terasa hendak membuai. Di selekoh, saya berani membuat late and trail braking, hanya kerana suspensi yang begitu mantap dan brek Akebono yang dirasakan amat ideal.




Transmisi CVT ini diberikan pilihan manual 6-kelajuan (preset speeds), namun seperti transmisi CVT dengan nisbah palsu yang lain, saya rasa lebih sesuai diletakkan ke mod D sahaja dan biarkan transmisi itu bekerja sendiri. Ia tidak sebising CVT yang digunakan oleh Mitsubishi dan secara jujur, tidak ramai yang akan mengecam ia adalah sistem CVT kerana terasa cukup senyap dan lancar.


Tahniah untuk Suzuki kerana berjaya mencapai tahap global yang membuka mata ramai pemain lain. Di Malaysia, harganya mungkin tinggi untuk membolehkan SMA mencapai jualan yang memberangsangkan tetapi bagi anda yang mahukan sebuah sedan prestasi, cuba pandu uji Kizashi – saya pasti anda akan tersenyum di akhir sesi tersebut.


Wallahuallam.


Credit: funtasticko design

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-6-2012 09:31 PM | Show all posts
smart gak. tp mhl ckt ler..
Reply

Use magic Report

Post time 14-6-2012 10:00 PM | Show all posts
belakang nye hodoh...
Reply

Use magic Report

Post time 14-6-2012 11:30 PM | Show all posts
terbaek..harap prestasi berbaloi dgn harganya
Reply

Use magic Report

Post time 15-6-2012 07:55 AM | Show all posts
mate aku tgk cantik plak....
Reply

Use magic Report

Post time 15-6-2012 09:13 AM | Show all posts
untuk kelainan mungkin ok...
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 16-6-2012 11:30 AM | Show all posts
dh tgk real...depan cantek..blkg mmg x canteq....heheheh
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-12-2024 06:00 PM GMT+8 , Processed in 0.071870 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list