Ciri keselamatan MyKad terancam?
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Sebuah syarikat yang diberi tanggungjawab mengeluarkan MyKad kini disiasat kerana disyaki menggunakan sistem data yang tidak menepati spesifikasi sehingga menyebabkan kerajaan bakal menanggung kerugian RM300 juta dalam tempoh lima tahun. Syarikat itu yang diberi tender untuk mengeluarkan MyKad mulai tahun ini dipercayai hanya mampu menyediakan lima daripada lapan aplikasi ciri-ciri keselamatan dalam kad pintar dan pasport rakyat Malaysia. Menurut sumber, kualiti MyKad dan pasport yang dikeluarkan syarikat berkenaan amat rendah dan boleh memudahkan sindiket pemalsuan dokumen mengambil peluang tersebut menghasilkan dokumen perjalanan dan pengenalan diri palsu. Katanya, syarikat berkenaan yang dikatakan tidak memiliki kepakaran dan pengalaman dalam industri dokumen pengenalan diri (e-id) dan e-pasport turut dikesan gagal mengeluarkan dua jenis dokumen itu dalam tempoh ditetapkan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai. "Sebelum ini, MyKad boleh dikeluarkan dalam tempoh dua hari sahaja namun kini tempoh pengeluaran antara 30 hari hingga tiga bulan. Malah, ada kaunter agensi terlibat terpaksa ditutup kerana kelemahan tersebut. "Pengeluaran pasport dan MyKad yang tidak memiliki ciri keselamatan ditetapkan boleh menjejaskan keselamatan negara kerana ia melibatkan kepentingan rakyat. Malah kerajaan bakal menanggung kerugian jika masalah tersebut tidak diatasi segera," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia hari ini. Sumber itu menjelaskan, lapan ciri-ciri keselamatan yang perlu ada dalam setiap MyKad adalah kad pengenalan, lesen memandu, maklumat pasport, data asas perubatan, kad transit, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), E-Cash (Meps),Public Key Infrastucture (PKI) dan Frequent Traveller selain satu ciri keselamatan tambahan dikenali sebagai Card Authentication Applet (CAA). Bagaimanapun, kad pintar yang dikeluarkan syarikat terbabit tidak memiliki tiga ciri keselamatan iaitu ATM, PKI dan MEPS. Malah kerja-kerja pembangunan sistem dan pengeluaran menggunakan sumber luar di negara China yang memberi implikasi keselamatan negara jika terdapat kebocoran maklumat sulit. Sementara itu menurut sumber Jabatan Imigresen, kaunter pengeluaran pasport ada ketikanya terpaksa ditutup berikutan kegagalan pihak pembekal menyediakan kad mentah dalam tempoh yang ditetapkan. Malah, sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula memberitahu, sebelum ini pihaknya tidak pernah mengalami kelewatan membekalkan MyKad kepada orang ramai. "Orang ramai dijamin memperoleh MyKad dalam tempoh dua jam di JPN Putrajaya atau dua hari di cawangan JPN di peringkat negeri sebelum ini. "Bagaimanapun, wujud beberapa kes berlaku kelewatan pengeluaran kad sehingga tiga bulan yang menyusahkan orang ramai," katanya.
|