|
PARIT BUNTAR - Seorang pekerja kontrak maut selepas ditetak rakan karibnya dalam satu kejadian di Pekan Baru, di sini selepas mereka pergi berhibur bersama-sama rakan-rakan lain di sebuah kelab malam, awal pagi semalam.
Abang mangsa, H’ng Peng Joo, 47, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi, mangsa, H’ng Peng Kang, 39, yang mempunyai tiga anak ditemui rakan dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya setelah lengan kirinya ditetak dengan menggunakan parang di hadapan rumah suspek.
Menurutnya, mangsa dikatakan berselisih faham dengan suspek dan mula bertelagah di premis kelab malam sebelum dileraikan rakan-rakan lain lalu pulang ke rumah masing-masing.
“Bagaimanapun, mereka kembali bertelagah di hadapan rumah suspek sejurus selepas itu dan pergaduhan itu akhirnya membawa kepada keganasan setelah suspek bertindak menetak lengan kiri adik saya dengan menggunakan parang.
“Adik saya sempat memandu pulang ke rumah selepas kejadian itu sebelum dikejarkan ke Hospital Parit Buntar oleh beberapa rakannya lebih kurang jam 3.30 pagi kerana mendiang mengalami pendarahan teruk,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di hadapan bangunan Unit Forensik, Hospital Parit Buntar, di sini semalam.
Peng Joo berkata, mangsa mengalami pendarahan kritikal akibat kecederaan dialami dan disahkan meninggal dunia di unit rawatan kecemasan hospital itu pada jam 4.30 pagi semalam.
Menurutnya, pemergian mangsa amat mengejutnya memandangkan mendiang masih mampu berjalan sendiri mendapatkan rawatan di unit rawatan kecemasan tanpa perlu dipapah sewaktu tiba di hospital.
“Saya tak sangka mendiang adik dibunuh rakan karibnya sendiri. Hubungan mereka berdua sebelum ini amat rapat sehinggakan suspek pernah berhasrat mengambil salah seorang anak adik sebagai anak angkatnya.
“Sebelum ini, mendiang tak pernah mengadu mengenai sebarang masalah dengan suspek, malah saya sendiri menemui dia dan suspek minum bersama sehari sebelum kejadian. Saya kasihan mengenang nasib tiga anaknya yang masih kecil dan bersekolah, lebih-lebih
lagi isteri mendiang sudah meninggalkan mereka sejak perayaan Tahun Baru Cina lalu,” katanya.
Peng Joo turut mendedahkan mendiang adiknya pernah meluahkan hasrat untuk bekerja di luar negara setelah diajak rakan-rakan selain ingin memiliki rumah sendiri memandangkan rumah yang diduduki sebelum ini merupakan rumah sewa.
“Beberapa minggu sebelum ini, mendiang kerap pulang ke rumah keluarga setelah mendapat projek membina tempat parkir kenderaan terletak di hadapan rumah itu.
“Pemergian mendiang menyebabkan projek berkenaan tidak dapat disiapkan dan kami sekeluarga benar-benar meratapi kehilangannya memandangkan dia merupakan seorang anak yang baik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurutnya, polis masih mengesan suspek yang merupakan orang tempatan setelah dipercayai menghilangkan diri sejurus selepas mangsa ditetak.
“Pada masa sama, kami masih menyiasat motif sebenar suspek menetak mangsa sehingga menyebabkan kematian setelah difahamkan kedua-duanya merupakan rakan karib,” katanya.
Ahli keluarga mangsa sugul mendengar berita kematian Peng Kang,39, di rumah keluarga, Parit Buntar semalam
Kereta mangsa dipenuhi kesan darah akibat pendarahan kritikal sewaktu dia dikejarkan ke Hospital Parit Buntar awal pagi semalam.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|