Teheran: Patung Buddha kini menjadi barang terbaru diharamkan di Iran selepas anak patung Barbie dan watak siri kartun televisyen, The Simpsons. Akhbar bebas harian Arman melaporkan, pihak berkuasa merampas patung Buddha itu dari kedai di Teheran bagi menghentikan aktiviti mempromosi agama berkenaan. Memetik pegawai perlindungan kebudayaan Iran, Saeed Jaberi Ansari, Arman melaporkan, patung Buddha melambangkan “penjajahan budaya” di negara itu.
“Kerajaan tidak membenarkan kepercayaan tertentu dipromosi melalui objek seperti patung berkenaan,” katanya. Bagaimanapun, tidak dinyatakan jumlah patung Buddha yang dirampas, tetapi Saeed berkata, usaha “pembersihan” itu akan diteruskan. Sesetengah penduduk Iran membeli patung Buddha untuk menghias rumah dan kenderaan mereka. Kebanyakan patung itu dibuat di China yang dijual di zon perdagangan bebas Iran. - AP
|