Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (KLIBF2013) bakal menampilkan pelbagai elemen baru yang mampu menarik lebih ramai pengunjung terutama generasi muda. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dalam program seumpama itu, penganjur bukan sahaja perlu memikirkan strategi meramaikan pengunjung, namun perlu juga membudayakan minat membaca di kalangan masyarakat Malaysia. Beliau berkata, dunia hari ini terdedah dengan pelbagai kemajuan teknologi, sehubungan itu penganjur juga perlu bawakan kelainan untuk menarik minat orang ramai khususnya generasi muda.
"Penerbit-penerbit buku juga perlu mendekati kumpulan ini dengan mengenal pasti kehendak semasa, contohnya menterjemahkan buku terbitan mereka secara atas talian seperti e-book dan sebaginya," katanya ketika berucap di Majlis Pra Pelancaran KLIBF2013 semalam.
Beliau berpendapat, terbitan buku hari ini perlu lebih kontemporari sejajar dengan tuntutan zaman. "Dengan cara itu bukan saja dapat melahirkan buku tersebut tetapi mampu menarik minat lebih ramai pembaca," katanya. Saifuddin turut mengumumkan akan bekerjasama dengan KLIBF2013 untuk mempromosikan pesta buku itu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada program debat di institut pengajian tinggi (IPT) dan di pertandingan bola keranjang. Pada majlis itu, Saifuddin turut melancarkan hashtag #KLIBF2013 di Twitter sebagai satu trend dan promosi awal program ini. Sementara itu Pengarah Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abd Wahab Ibrahim berkata, pihaknya mensasarkan 1.7juta pengunjung akan memeriahkan KLIBF2013. "Pada pesta buku yang lalu kita telah berjaya mencatatkan 1.6 juta pengunjung dan saya yakin pada tahun hadapan akan lebih ramai dan meriah. "Kita tampilkan pelbagai unsur-unsur baru seperti ruang pameran warisan, program pengkaryaan dan akan ada satu dewan khas untuk jualan e-book," katanya. Abd Wahab juga optimis yang KLIBF akan menarik lebih ramai peserta antarabangsa mengambil bahagian, sekaligus menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat ilmu dan buku di rantau Asia Tenggara seperti ibu kota Frankfurt bagi rantau Eropah. Pada Pesta buku kali ini, Arab Saudi dipilih sebagai negara kehormat (country of honour) bagi mempromosikan lagi KLIBF2013.
SINAR HARIAN
|