KUALA LUMPUR, 19 APRIL 2013: Drama bersiri terbaru terbitan Global Station Sdn Bhd berjudul Dahlia, nampaknya mempertaruhkan nama-nama besar dalam bidang lakonan tempatan iaitu Hans Issac, Dira Abu Zahar, Faizal Hussein dan Raja Ilya.
Penerbit syarikat tersebut, Datin Zaiton Mohd Jiwa berkata, dia telah berjaya mengumpulkan nama-nama besar berkenaan sesuai dengan karakter yang dicipta khas dalam drama itu.
"Kami bernasib baik kerana berjaya mendapatkan pelakon-pelakon terkenal.
"Bagaimanapun, pemilihan pelakon ini dibuat kerana mereka sesuai dengan watak dalam drama ini.
" Saya yakin ianya pasti menjadi gabungan yang sangat hebat
"Lagipun penonton pasti tidak sabar untuk melihat Hans Isaac, Faizal dan Dira yang sudah lama tidak muncul di televisyen terutamanya untuk drama bersiri,"katanya.
Siri 40 episod yang menjalankan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Phuket, Thailad itu merupakan sebuah drama yang mengangkat martabat kekuatan wanita yang bergelar isteri dalam menempuhi kehidupan rumah tangga.
Sementara itu, Pengurus Saluran Mustika HD, Natasha Hashim berkata dia yakin drama terbaru di saluran tersebut akan mendapat sambutan yang menggalakan bukan sahaja kerana pelakonnya tetapi seluruh produksi yang berpengalaman
"Bagi saya, kami bukan hanya membariskan pelakon terbaik tanah air, namun hadir dengan karya terhebat dan produksi yang berpengalaman bagi memenuhi keingin penonton," jelasnya
Dahlia lakonan Dira Abu Zahar mengisahkan kehidupan seorang wanita terpaksa berhadapan dengan suaminya, Razman (Hans Issac) yang curang dengan mempunyai hubungan sulit bersama wanita lain.
Dahlia akhirnya bercerai dan hilang segalanya tetapi dia bertekad untuk membuktikan kepada Razman yang dia tidak semudah itu untuk memperdayakannya.
Saksikan kisah selanjutnya Dahlia di saluran Mustika HD (134) setiap hari Isnin hingga Rabu jam 10 malam, bermula 22 April ini. Last edited by lotionmilo on 22-4-2013 08:38 PM