|
Meninggal di sisi keluarga
Melaka: “Memang niat saya hendak menjaga arwah bapa sehingga hembusan nafasnya yang terakhir. Alhamdulillah, Tuhan memberi saya peluang itu dan kami sekeluarga berada di sisinya ketika dia dijemput Ilahi.”
Itu kata pelakon dan pengacara Khaidhirah atau lebih dikenali sebagai Dira, 29, anak bongsu kepada bekas Ketua Menteri Datuk Seri Abu Zahar Ithnin yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang dan kencing manis, petang kelmarin.
Menurut Dira, dia sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham ketika Ramadan ini selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapi bekas Ketua Menteri Melaka kelapan itu.
Beliau berkata, lebih bermakna, hasrat bapanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Gleneagles, Ampang sejak hujung Mei lalu dan dipindahkan ke Hospital Melaka 8 Julai lalu untuk pulang ke kediaman sendiri di Merlimau Pasir, Jasin, tercapai.
“Selama lima minggu ayah dirawat di Kuala Lumpur dan setiap hari tanpa gagal saya ke hospital untuk menjaganya bersama adik-beradik lain. Saya lega Allahyarham pergi di hari dan bulan baik. “Beliau pergi dengan mudah dan terasa baru lima minit saya melihat dia bernafas, tetapi semuanya ketentuan-Nya. Saya tidak ralat kerana pelbagai usaha dilakukan untuk menyembuhkannya selama ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Terdahulu, jenazah Abu Zahar, 74, yang dibawa dari kediamannya selamat dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Al-Azim di sini, jam 11.30 pagi dengan bacaan talkin oleh Mufti negeri Datuk Rashid Redza Md Saleh.
Antara yang hadir bersama 500 rakyat ialah Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim serta Ketua Menteri Datuk Idris Haron dan isteri Datin Fadilah Abdullah.
Abu Zahar meninggal dunia di kediamannya akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang, jam 5.50 petang kelmarin.HM |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|