Ketika ini Pak Hid berkata demikian, perempuan muda itu tertunduk menahan perasaan sebak di dadanya. Dia kelihatan sedih bila Pak Hid menyebut satu persatu rahsia dirinya. “Cukuplah bang, jangan sebut lagi. Malu saya bang....”rayunya meminta belas kasihan dari Pak Hid.
Belum sempat Pak Hid menjawab katanya itu, sekonyong-konyongnya kawasan gua bergegar seperti dilanda ribut. Satu kepulan asap hitam menjelma di antara tempat Pak Hid berdiri dengan perempuan muda itu tertiarap. Kepulan asap itu bertukar menjadi manusia yang hodoh serta bermuka bengis. Dia mengancam mahu mencekik Pak Hid.
“Hus, jembalang tanah, cemburu kau ye!” ejek Pak Hid meludah kepulan asap yang membentuk lembaga manusia itu. Asap hitam itu menerpa ke arah Pak Hid menyebabkan Pak Hid jatuh terlentang. Dia memukul Pak Hid dengan gada di tangannya, tetapi cepat-cepat Pak Hid mengelak. Lembaga itu terus menyerang Pak Hid dengan tidak memberi peluang langsung untuk bertahan.
“Kau yang jahat.....!” jerkah Pak Hid marah. Berpeluh-peluh dia mengelak serangan lembaga berkenaan.
Ketika ini perempuan muda tadi mencapai anak kecilnya sambil mengilai kuat setiap kali lembaga dari kepulan asap hitam itu menerkam ke arah Pak Hid.
Melihatkan keadan Pak Hid benar-benar terancam, saya membacakan Surah Al-Ikhlas tiga kali kemudian menghembuskan ke arah asap berkepul hitam itu. Tiba-tiba dia terpelanting sambil memekik bila api membakar di sekelilingnya.
“Kau memukul curi.... “ jeritnya marah. Saya berhenti dari membaca Surah Al-Ikhlas lalu saya menuding jari telunjuk ke arahnya. “Sekarang aku mahu kau bersedia...! cabar saya dengan suara keras.
Dia berdiri menghadap saya. Ketika ini Pak Hid berlindung di belakang saya dalam keadaan termengah-mengah. Kemudian cepat-cepat dia mengawal perempuan muda tadi yang masih mengilai nyaring. Tetapi ilaiannya terhenti bila Pak Hid kembali mengasak dia ke dinding gua. “Apa kau mau sekarang?” ulangi saya mencabar lembaga hodoh dari kepulan asap tadi. Jelaslah lembaga itu bertubuh tegap sasa sebagai lelaki. Kulitnya hitam dengan mata merah menyala. Kult yang hitamitu pula berkedut-kedut seperti bekas terbakar.
Dia tidak menyahut tetapi melontarkan gadanya ke arah saya menjadi ribut kencang berputar-putar. Tetapi ribut berputar-putar itu tidak dapat memutar tubuh saya, kerana zikir saya tidak berhenti. Untuk melawan ribut kencang itu saya segera azan berulang kali.
Ribut itu berhenti serta merta. Lembaga itu menekup kedua telinganya. Semakin ditekup kuat, tiba-tiba kepalanya retak. Dia menjerit-jerit kesakitan.
“Pecah kepala aku...!” laungnya terlalu marah. Saya terus azan. Gema azan itu meretakkan kepalanya. Dia cuba menekupkan tangan supaya retak di kepalanya dapat ditahan. Tetapi ternyata dia tidak bertahan dari gema azan itu.
“Aku tak mahu lawan dengan kau, aku nak lawan dengan Pak Hid...” dia berguling-guling di tanah seperti cacing kepanasan. “Cukup, jangan pecahkan kepala aku. Sakit, aku tak tahan....” suaranya terketar-ketar.
“Apa pasal kau nak lawan Pak Hid?” tanya saya menduganya. “Dia nak kawin dengan bini aku” katanya. “Mana Pak Hid mau, bini kau tu syaitan macam kau juga...” saya mengejeknya supaya dia bertambah marah.
Dia tidak menyahut. Cepat-cepat dia bangun mahu menerkam Pak Hid. Tetapi belum sempat dia mahu menerkam, saya lihat tubuh Pak Hid sudah menjadi besar. Tangan Pak Hid mencengkam tengkuknya seperti kucing mencengkam tengkuk tikus. “Kau fikir kau cukup kuat nak lawan aku...” kata Pak Hid.
Baru saya tahu Pak Hid bukannya tidak berdaya menentang lembaga itu pada mulanya. Dia sengaja mempermain-main lembaga berkenaan. Bila Pak Hid sudah boleh membesarkan dirinya, bererti kekuatannya memang tidak boleh dikalahkan oleh mana-mana syaitan.
Memang Pak Hid bukanlah orang sembarangan. Kalau dilihat dari segi zahir memang dia tidak ada apa-apa keistimewaan, kecuali berani membabi buta. Tetapi pandangan batin ini ternyata dia dapat mengecam semua makhluk halus yang sukar dilihat manusia melalui mata zahir kita.
“Tunjukkan jantan kau sekarang !” bentaknya tidak melepaskan leher lembaga berkenaan dari cengkamannya. Dia membacakan sesuatu doa kerana saya lihat mulutnya kumat kamit. Tiba-tiba tubuh lembaga iu mengerekot seperti kena bakar. Menjerit-jerit dia kesakitan.
“Tunjukkan jantan kau !” suara keras Pak Hid semakin marah. “Ampun Pak Hid, ampun...” lembaga itu menjadi gementar. “Menanglah awak, menanglah awak Pak Hid” katanya terketar-ketar.
“Awak nak ganggu lagi ternakan orang kampung?” gertak Pak Hid. “Bukan aku yang ganggu, tapi dia...” ujarnya menunjuk ke arah perempuan muda yang tersedu-sedu mengendong anak. Lembaga itu terkial-kial juga kerana lehernya dicengkam oleh Pak Hid. Tubuh Pak Hid menjadi sepuluh kali ganda lebih besar dari tubuh lembaga berkenaan.
Pak Hid memasukkan tubuh lembaga tersebut dalam genggaman tangannya.Kemudian dihembuskannya. Lembaga tersebut terpekik kuat dan lenyap dalam genggaman.
Kemudian asap hitam didalam gengamannya bertukar menjadi debu. Dia melemparkan debu itu ke udara hingga menjadi titik-titk percikan darah.
“Aku tak percaya kau, kenapa kau cari aku...! rungut Pak Hid. Setelah lembaga lelaki hodoh itu hilang dalam percikan darah, perempuan muda itu bertambah gementar. Dia tidak dapat melepaskan diri dari pukauan Pak Hid.
“Kau pun pandai nak minta tolong...” Pak Hid memarahi perempuan muda tersebut. “ Kau fikir aku nak sangat nikah dengan kau” katanya meludah ke tanah.
Perempuan itu tunduk memeluk anaknya erat-erat. Dia tahu Pak Hid terlalu besar sepuluh kali ganda dari tubuhnya. Memang dari awal lagi dia sudah di pukau oleh Pak Hid. Seluruh tubuhnya bagaikan dicucuk jarum apabila Pak Hid mendedahkan satu persatu rahsia dirinya.
“Kau datang dari bencah mahang, balik kau ke bencah mahang. Kalau datang dari rimba sekampung, balik kau ke rimba sekampung. Jangan kau ganggu lagi anak cucu Malim Kerimun di sini...” seru Pak Hid nyaring.
Perempuan muda itu mengangguk. Kemudian dia mengilai panjang bila angin kencang menerbangkan dia akibat dihembus oleh Pak Hid. Kemudian kawasan tersebut dibakar oleh Pak Hid. Selepas semua itu selesai dia terus mendapatkan saya.
“Terima kasihlah ustaz membantu. Saya terlalai tadi...” dia mengaku kepada saya. Semasa saya membuka mata, saya dapati Pak Hid sudah pun duduk. Dia sudah pulih dari tidak sedar diri. Apa yang saya alami bersama Pak Hid memang tidak diketahui oleh jiran-jiran yang berkumpul di rumah Pak Tek Akin. Mereka hanya tahu Pak Hid tidak sedarkan diri, manakala saya duduk bertafakur beberapa lama mengadap Pak hid yang berbaring tidak bergerak.
“Ada bunyi macam orang mengilai..” Pak Teh Akin menjelaskan. “Di mana ?” tanya saya. “Tak taulah.....” ujarnya “Tapi jauh sayup-sayup dari arah kubur” dia memberitahu selanjutnya.
Semua orang yang berkumpul di situ mengaku seperti apa yang didengar oleh Pak Teh Akin. Ketika saya dan Pak Hid mereka anggap tidak sedar diri tadi, memang jelas kepada mereka bunyi mengilai sayup-sayup dari arah tanah perkuburan. Gerun juga mereka mendengar bunyi ilaian nyaring itu.
“Lama dengarnya orang mengilai tu?” Pak Hid pula bertanya. Dia sudah pulih segar seperti orang yang tidak mengalami apa-apa keadaaan tidak sedar diri. Pak Hid seolah-olah baru bangun dari tidur saja, “Sekejap timbul, sekejap hilang...” beritahu Jali yang duduk di sebelah saya. “Kalau diizinkan Allah, tak ada lagi gangguan macam malam sudah-sudah,” kata Pak Hid meminta air sejuk untuk membasahkan tekak.
Masing-masing heran dengan keadaan Pak Hid. Orang tua itu tidak kelihatan langsung keletihan akibat tidak sedarkan diri tadi. Sekali sekala dia tersenyum mengerling ke arah saya . Sukar juga saya mahu memberitahu mereka yang ada di situ bahawa Pak Hid bukannya diserang penyakit pitam hingga tidak sedarkan diri.
Tentulah mereka tidak percaya kalau saya katakan Pak Hid tidak sakit. Sebenarnya Pak Hid sedang bertarung dengan syaitan, setelah berjaya memerangkap rakannya. “Memang ustaz kita ni hebat...” Pak Hid tersengih-sengih menampar bahu saya.
Semua orang heran dengan kelakuan Pak Hid. Saya terdiam tidak dapat bercakap apa-apa, kerana rahsia kami berdua tadi hanya kami berdua sahaja yang memahaminya. Mereka semua yang menyangka Pak Hid benar-benar tidak sedarkan diri akibat pitam tadi, bertambah heran melihat Pak Hid berkali-kali menepuk bahu saya. Seolah-olah Pak Hid tahu apa yang berlaku kepadanya ketika tidak sedarkan diri tadi. Sebenarnya memang Pak Hid tahu............................
|