Hilda (kiri) beri tabik hormat dalam aksi persembahan khas unit K9 di Pulapol
KUALA LUMPUR - Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali seorang anggota polis wanita dipilih sebagai pengendali anjing wanita pertama.
Koperal Hilda AK Wilson, 29, berkata. minat membela anjing sejak kecil antara faktor anak bongsu dari empat beradik itu menyertai unit K9 PDRM.
“Saya menjalani kursus selama empat bulan di bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk mengendali anjing K9 jenis Labrador bernama Da Hei, sebelum menjalankan tugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol),” katanya.
Wanita berasal dari Saratok, Sarawak itu dijangka memberi dorongan dan perangsang kepada lebih ramai anggota polis wanita untuk menceburkan diri bertugas dalam Unit K9 PDRM.
“Cabaran dihadapi untuk mengendali anjing K9 adalah memastikan haiwan itu patuh pada arahan.
“Anjing berkenaan perlu menjalani latihan kemahiran seperti duduk, baring dan mengesan dadah,” katanya ketika ditemui selepas Persembahan Khas unit K9 di Pulapol, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Bantuan Teknik (D6) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ibrahim Chim berkata, unit K9 secara keseluruhannya mempunyai kira-kira 145 anjing pengesan di seluruh negara.
“Kita kini memiliki 88 anjing jenis German Shepherd, Belgian Sheperd (1), Labrador (54), Border Collie (1) dan seekor anjing jenis Weimaraner yang ditempatkan di 21 formasi di seluruh negara," katanya.