Kuala Lumpur: “Ben sedih apabila orang kata (tuduh) saya koma sedangkan saya sihat saja,” luah penyanyi dan pelakon cilik, Muhammad Benladin Munshi Shaihan atau Ben yang menjadi mangsa fitnah media sosial terbaru apabila didakwa berada dalam keadaan koma akibat penyakit paru-paru berair, beberapa hari lalu.
Ben, 13, difitnah menerusi sebuah akaun palsu di Facebook menggunakan namanya dan mengemas kini status kononnya dia koma di hospital berikutan komplikasi penyakit terbabit.
Kemas kini itu mula menimbulkan panik dan kebimbangan dalam kalangan peminat cilik, rakan dan sanak-saudara penyanyi kelahiran program Idola Kecil musim kelima itu sejak dua hari lalu.
Ketika dihubungi Harian Metro semalam, Ben berkata, fitnah yang bukan kali pertama berlaku itu adalah paling besar dan serius dihadapinya sejak menceburi bidang seni lebih setahun lalu.
“Perkara ini mula jadi serius dan tersebar dua hari lalu, (Ahad) tapi Ben sendiri tak tahu mana asal-usulnya. Entah dari mana dan siapa mulakan fitnah itu.
“Bayangkan, Ben dapat panggilan bertalu-talu daripada kawan-kawan dan saudara-mara bertanyakan hal ini. Ada yang bagi ucapan dan doa serta mahu melawat Ben di hospital.
“Masalahnya, Ben sendiri terperanjat dikatakan koma kerana paru-paru berair secara tiba-tiba,” katanya.
Penyanyi lagu Permata (duet bersama Alyah) ini berkata, fitnah itu dipercayai berpunca daripada kemas kini satu akaun palsu menggunakan namanya di Facebook yang berkongsi mesej terbabit sehingga tersebar dengan pantas.
“Kalau tengok di laman atau aplikasi sosial sekarang memang banyak sangat akaun palsu menggunakan nama Ben. Itu satu hal, tapi yang tak sedap apabila ada pihak memfitnah benda macam ini sampai buat orang lain keliru.
“Ben tak faham kenapa dan apa tujuan orang buat macam itu? Janganlah suka buat cerita kalau tak tahu keadaan Ben sebenar. Ben minta sangat berhenti memfitnah orang dan buat cerita palsu,” katanya.
Bagaimanapun, Ben menambah, dia tidak mahu melatah dengan penyebaran fitnah itu walaupun mengakui ia mengganggu rutin hariannya.
“Saya hanya rileks saja dan tak mahu kecoh-kecohkan lagi benda ini. Mudah-mudahan dengan penjelasan ini kekeliruan orang akan berakhir.
“Saya berharap Allah ampunkan dosa orang yang memfitnah itu,” katanya yang akan muncul dengan lagu single terbaru, Februari depan.
Sumber: Harian Metro
Ini adalah Ben yg berduet dgn Aliyah lagu Permata
|