Kecoh seketika di dalam Twitter tentang sebuah pesawat syarikat penerbangan Air Asia dikatakan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di dalam kawasan Putrajaya. Pemeriksaan lanjut mendapati tweet dibuat oleh Timbalan Setiausaha Agung PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi melalui twitter beliau @syedazman. “Air Asia AK5110 dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur terhempas beberapa minit lepas di KLIA dalam kawasan Putrajaya,” menurut tweet berkenaan. Pada tweet kedua, barulah beliau bertanyakan sama ada ia berita yang benar atau sudah disahkan atau tidak kesahihannya. Selepas diperiksa dengan pihak Perhubungan Korporat Air Asia, ia ternyata hanya sebuah berita palsu dan tiada pesawat yang terhempas di KLIA. Soalnya, Syed Azman memperolehi sumber awal dari mana berkenaan nahas pesawat itu tanpa memeriksanya terlebih dahulu sebelum mahu membuat tweet berkenaannya. Kejadian pesawat terhempas bukannya sesuatu yang boleh diperlekeh dan dibuat main-main kerana ia melibatkan ratusan nyawa. Pada 16 Mei tahun lepas, Syed Azman turut dilaporkan pernah menyebarkan satu berita palsu berkaitan kenaikan harga barang namun sebenarnya ia tidak berlaku. Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok sebelum ini turut dikaitkan sebagai penyebar dakyah berhubung kenaikan harga barang termasuk gas memasak selepas Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-13 tahun lepas. – KUMBANG WIRA/Mynewshub.my
|