KUALA LUMPUR 26 Feb. - Fenomena jerebu yang melanda ketika ini dikenal pasti berpunca daripada sumber dalaman seperti pembakaran hutan, pembebasan asap kilang dan kenderaan serta pembakaran terbuka. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, fenomena itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan kejadian letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara baru-baru ini atau berdasarkan faktor luaran lain. Beliau berkata, cuaca panas dan kering tanpa kehadiran hujan untuk beberapa hari memburukkan lagi keadaan. "Sumber-sumber dalaman itu beserta dengan ketiadaan hujan menyebabkan partikel seperti gas, debu, habuk dan zarah terkumpul di udara dan tidak dapat turun ke bumi," katanya kepada Bernama. Mengikut rekod JMM, jerebu kini tertumpu di kawasan bandar besar yang aktif dengan aktiviti ekonomi dan perindustrian serta memiliki jumlah kenderaan yang banyak seperti Kuala Lumpur (Lembah Klang), Selangor (Subang) dan Pulau Pinang (Seberang Perai). Che Gayah berkata, cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini agak tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan ia dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac. "Bagaimanapun keadaan jerebu masih terkawal namun langkah pencegahan awal bagi mengelak ia menjadi lebih teruk perlu dilakukan, antaranya mengelak pembakaran terbuka dan mengurangkan jumlah kenderaan awam di jalan raya," katanya. Menurut bacaan Indeks Pencemaran Udara yang direkod Jabatan Alam Sekitar pada tengah hari ini, sebanyak 23 kawasan mencatat status kualiti udara tahap baik dan 26 kawasan tahap sederhana. - BERNAMA
|