SPAN: Catuan air diteruskan di 3 negeri, KL dan Putrajaya
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
APRIL 01, 2014
Catuan bekalan air terpaksa diteruskan di tiga negeri oleh kerana bekalan air di kawasan tadahan air semakin susut, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 April, 2014. Catuan bekalan air terpaksa diteruskan di tiga negeri termasuk Johor, Selangor dan Perak serta Kuala Lumpur dan Putrajaya disebabkan bekalan air di kawasan tadahan air semakin susut meskipun hujan mula turun sejak dua minggu lalu, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).Pengerusi SPAN, Datuk Ismail Kasim, berkata beberapa negeri masih mencatat paras sungai yang rendah khususnya beberapa sungai yang membekalkan air mentah ke loji-loji rawatan air (LRA). Ismail ketika sidang media di ibu pejabat SPAN di Cyberjaya hari ini berkata, catuan air peringkat keempat yang akan dilaksanakan di sembilan wilayah di Selangor bermula 4 April turut mengalami penambahan sebanyak 620,237 pintu rumah.
"Secara keseluruhannya, wilayah yang terlibat adalah Gombak, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. "Jumlah besar pintu rumah terlibat adalah 1.34 juta atau 6.7 juta orang," katanya kepada pemberita. Kawasan terlibat dalam catuan air peringkat awal katanya masih kekal dengan kaedah catuan dua hari menerima bekalan air dan dua hari catuan. Kerajaan Selangor katanya sedang mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah kekurangan air mentah termasuk pembenihan awam dan juga mengepam air mentah daripada beberapa kolam dan bekas lombong untuk meningkatkan aliran air di Sungai Selangor. "Dalam keadaan sekarang di mana paras air empangan adalah rendah, kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai pilihan selain mengurangkan pelepasan air empangan Sungai Selangor," katanya. "Sekiranya pengeluaran tidak dikawal rapi, dikhuatiri simpanan menjadi kosong dan impaknya krisis bekalan air di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan menjadi lebih teruk," katanya. Selain itu, beliau berkata, catuan air di Johor, terutamanya Mersing dan Kota Tinggi juga akan bermula pada 1 April. Ismail berkata, daerah Mersing melibatkan 6,418 akaun, manakala daerah Kota Tinggi melibatkan jumlah akaun pengguna sebanyak 6,595. "Kawasan terlibat dibahagikan kepada dua zon dan setiap zon menerima bekalan air secara berselang-seli iaitu 24 jam bekalan diikuti 24 jam catuan.” SPAN juga katanya meluluskan permohonan Lembaga Air Perak (LAP) untuk melaksanakan catuan air di Taiping bermula 3 April yang melibatkan 27,982 akaun pengguna. Kawasan terlibat katanya akan menerima bekalan selama dua hari diikuti dua hari catuan. – 1 April, 2014.
Last edited by atira on 3-4-2014 11:29 AM
|