CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12Next
Return to list New
View: 16015|Reply: 20

SEMUA MENGENAI JABATAN BOMBA & PENYELAMAT MALAYSIA

[Copy link]
Post time 3-4-2014 12:56 PM | Show all posts |Read mode
Saya perasan bahawa belum ada thread khusus berkenaan berita2 atau isu2 berkaitan Jabatan Bomba & Penyelamat. Jadi sebarang update & perkembangan Bomba akan di-posting dalam thread ini.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-4-2014 12:59 PM | Show all posts
Nurliyana wanita pertama sertai unit RIM bomba


Nurliyana Nasir menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam unit motosikal gerak cepat (rim).

JIKA dulu kewibawaan wanita dalam pasukan beruniform kurang diberi perhatian dan pengiktirafan, namun kini mereka sudah menjadi orang penting dalam sesebuah organisasi terbabit setaraf dengan lelaki.

Buktinya, satu per satu berita dilaporkan media mengenai kejayaan wanita apatah lagi apabila kaum hawa itu dinobatkan sebagai ‘pertama’ dalam bidang masing-masing termasuk kerjaya lasak.

Itulah yang dilalui oleh Pegawai Penyiasat Cawangan Pendakwaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurliyana Nasir, 33, yang dipilih sebagai wanita pertama menyertai Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut Nurliyana, sejak 14 tahun berkhidmat dalam pasukan, itulah antara pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan kerana ia benar-benar memenuhi minat dan kepuasan dirinya.

"Sejak kecil lagi saya memang meminati aktiviti lasak dan badan beruniform. Selepas itu, ketika meningkat remaja saya mula meminati motosikal berkuasa tinggi.

"Jadi apabila diberi peluang menyertai pasukan RIM, saya merasakan ia adalah sesuatu yang amat menggembirakan kerana selari dengan impian saya," katanya ketika di temui Gaya Wira baru-baru ini.

Bercerita mengenai tugasannya dalam unit RIM itu, Nurliyana berkata, motosikal jenis Honda ST 1,300cc yang ditunggangnya dilengkapi dengan peralatan menyelamat dan memadam kebakaran dan merupakan ‘first responder’ bagi sesuatu keadaan kecemasan.

Beliau berkata, anggota RIM bukan sahaja berkemahiran mengendalikan motosikal berkuasa tinggi dan peralatan yang dibekalkan, malah mampu memberi bantuan kecemasan seperti memadam kebakaran peringkat awal dan bantuan kemalangan jalan raya.

"Dalam sesuatu operasi, ketiga-tiga buah motosikal ini akan bergerak pada masa yang sama dengan masing-masing mempunyai spesifikasi tugas yang berlainan.

"Setibanya di tempat kejadian, kita akan mengumpulkan maklumat seperti saiz kejadian, jenis kejadian, bangunan, bahan dan mangsa terlibat jika ada," ujar anak jati Tangkak, Johor ini.

Selain berpengalaman sebagai anggota RIM, Nurliyana juga pernah menjadi pegawai penyiasat kebakaran serta berdepan dengan detik yang menyedihkan ketika mengendalikan kes.

"Ketika itu terdapat satu kes kebakaran di sebuah kondominium, ketika siasatan dilakukan kami menemukan mayat seorang gadis di balkoni.

"Hasil siasatan mendapati gadis tersebut terperangkap di dalam unit kondominium itu ketika kebakaran berlaku namun sempat menelefon ibunya yang telah pun menyelamatkan diri ke bawah.

"Saya berasa amat sedih mengenangkan keadaan gadis itu yang menemui ajal dalam keadaan sempat bercakap dengan ibunya malah telefon juga ditemui berhampiran mayatnya," ujarnya.

Tegasnya, bukanlah satu tugas mudah bagi seorang wanita sepertinya berdepan dengan situasi mencabar tanpa berbekalkan semangat tinggi serta kekuatan fizikal dan mental.

Kehidupan sebagai anggota badan beruniform, sememangnya sudah menjadi lumrah serta sebati dalam diri Nurliyana.

Apa tidaknya, selain suaminya, Mohd. Syazwan Saidy, 33, yang juga merupakan pegawai bomba, bapa Nurliyana, Nasir Saptu, 63, pula merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, dua adik lelakinya masing-masing anggota bomba dan polis malah bapa mentuanya, Saidy Salaksy juga adalah pesara anggota bomba.

Nurliyana berkata, disebabkan beliau, suami, bapa mentua dan adiknya merupakan anggota bomba, ada kenalan yang berseloroh mencadangkan mereka ‘membuka’ balai bomba sendiri.

"Dalam kerjaya ini, walaupun lasak serta tidak tentu masa, namun keluarga amat memahami kerana rata-rata kami adalah anggota badan beruniform.

"Malah anak kedua saya, sudah menunjukkan minat untuk menjadi bomba dan kebanyakan permainan miliknya berupa peralatan bomba," ujar ibu kepada tiga anak ini.

Bercerita mengenai jodohnya bersama suami, Nurliyana berkata, mereka mula berkenalan semasa beliau bertugas di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu sementara suaminya menjalani kursus di situ.

"Selepas kira-kira sebulan berkenalan, keluarga suami datang meminang saya seterusnya kami melangsungkan perkahwinan pada 2004," ujarnya.

Katanya, suaminya kini bertugas sebagai jurulatih di Akademi Bomba Dan Penyelamat Wakaf Tapai, Terengganu dan akan pulang sebulan sekali bagi bersama keluarga.

Menurut Nurliyana, beliau dan suami bukan sahaja berkongsi kerjaya yang sama malah mereka juga mempunyai minat yang sama iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi.

"Bagaimanapun setelah mempunyai anak-anak yang masih kecil, kami terpaksa menjual motosikal dan banyak menghabiskan masa bersama pada waktu terluang," ujarnya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... rtai-unit-RIM-bomba
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-4-2014 01:01 PM | Show all posts
90 bomba wanita KL


Kira-kira 20 daripada 50 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur bersiap sedia menjalani latihan fizikal baru-baru ini.

Walaupun dilahirkan sebagai wanita yang secara zahirnya mempunyai naluri yang lemah lembut, tetapi bagi kira-kira 90 anggota bomba wanita yang berkhidmat di Kuala Lumpur, kecekalan dalam melaksanakan tugas menjadi tonggak kekuatan.

Jika dilihat bentuk fizikal masing-masing, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana seorang wanita bertubuh kecil dan cilik mampu mengangkat hos bomba seberat 20 kilogram malah tangkas dalam setiap pergerakan mereka.

Jurulatih Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Muji Selamat berkata, tiada perbezaan di antara anggota lelaki mahupun wanita dalam menjalani latihan.

“Jika anggota lelaki perlu mengangkat hos seberat 20 kilogram sambil berlari di dalam kebakaran, wanita juga akan melakukan perkara yang sama.

“Begitu juga jika mereka diperlukan untuk masuk ke kawasan-kawasan berisiko sebagai contoh di dalam bangunan yang api sedang marak, anggota wanita akan turut sama dikerah," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Taman Desa, di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui di balai bomba berkenaan untuk mengetuai latihan fizikal dan kecerdasan anggota wanita yang diadakan setiap bulan.

Menurut Muji, beliau bangga dengan kesungguhan anggota-anggotanya yang tidak pernah sekali pun merungut keletihan walaupun latihan tersebut diadakan pada sebelah malam dan kebiasaannya akan tamat sebelum subuh keesokan harinya.

“Ada di antara mereka yang terpaksa meninggalkan suami serta anak-anak di rumah bagi menghadiri latihan fizikal yang hanya tamat pada pukul 5 pagi.

“Bagaimanapun, mereka sanggup berkorban demi menajamkan skil dan kemahiran yang diperlukan di dalam rutin tugasan mereka," katanya lagi.

Menyentuh mengenai bentuk latihan yang perlu dijalani oleh mereka, Muji mengakui, latihan dijalani agak sukar dan mencabar khususnya bagi mereka yang tidak biasa dengan tugasan berat.

Antaranya, mereka perlu berjalan di celah-celah api yang sedang marak dan asap tebal dan perlu memadamkan kebakaran tersebut dalam tempoh jangka masa yang diberikan oleh jurulatih.

Jika tidak, mereka dianggap gagal dan perlu menjalani latihan fizikal dari semasa ke semasa secara konsisten.

“Bukan itu sahaja, malah banyak lagi bentuk latihan fizikal dan mental yang perlu dilakukan oleh mereka," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, penyertaan bomba wanita ketika ini amat memberangsangkan tetapi beliau amat menggalakkan jika lebih ramai menunjukkan minat menyertai pasukan itu.

“Jumlah seramai 90 anggota bomba di sekitar ibu negara boleh dikatakan agak membanggakan tetapi sekiranya jumlah tersebut bertambah, saya percaya pasukan ini akan semakin mantap.

“Rata-rata wanita yang menyertai pasukan ini menunjukkan minat dalam misi-misi menyelamat dan membantu mereka yang memerlukan walaupun melibatkan operasi yang mencabar," kata beliau.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... /90-bomba-wanita-KL
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-4-2014 01:03 PM | Show all posts
Bomba terima lebih 6,000 panggilan kebakaran hutan

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima lebih 6,000 panggilan kecemasan seluruh negara berkaitan kebakaran hutan sejak 1 Februari tahun ini berbanding purata 600 panggilan sebulan tahun lepas.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata peningkatan jumlah secara mendadak itu dijangka bertambah pada Mac depan berikutan perubahan cuaca panas dan kering yang diramal akan berlarutan.

Katanya setakat ini, jumlah kebakaran hutan tidak banyak berubah dan JBPM sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan terutamanya kebakaran hutan tanah gambut berikutan cuaca yang semakin kering.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Wan Mohd Nor berkata kebakaran tanah gambut adalah lebih buruk berbanding kebakaran hutan lain kerana ia mampu menghasilkan asap tebal sehingga menjejas kesihatan orang ramai.

"Kita jangkakan sekiranya panas berterusan, keadaan akan jadi lebih serius dan mampu mengeringkan lebih banyak kawasan tanah gambut.

"Maka bomba sentiasa bersedia untuk menghadapi situasi ini dan kami mengingatkan orang ramai tidak cuba melakukan pembakaran terbuka lain kerana dalam cuaca panas begini, ia lebih mudah merebak," katanya.

- Bernama
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-4-2014 01:04 PM | Show all posts
Tindakan pantas bomba dihargai

KUALA PILAH – Mangsa kebakaran premis di Perindustrian Dioh mengucap terima kasih kepada anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah kerana bertindak pantas memadamkan kebakaran daripada merebak ke premis berdekatan pada 2 Mac lalu.

Mangsa, Tee Tan Hoke, 56, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di rumahnya di Taman Nesa Jaya, Melang sebelum dikejutkan dengan panggilan kecemasan daripada rakannya kira-kira jam 2 pagi.

"Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan ketika itu, anggota bomba sedang memadamkan kebakaran dan berjaya mengawal api daripada merebak ke tiga premis berhampiran.

"Kejadian itu memusnahkan tiga premis termasuklah bengkel saya hangus terbakar 100 peratus. Bomba maklumkan, punca kebakaran dari sebuah kedai bersebelahan bengkel ini, namun ianya masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya yang berniaga dekat sini sejak 1982 melahirkan rasa sedih ekoran bengkel diusahakan itu hangus sekelip mata.

"Kerugian memang tidak dapat diucap dengan kata-kata kerana semasa kebakaran, sebuah kereta pelanggan turut terbakar.

“Kini saya terpaksa membayar ganti rugi kepada pelanggan termasuk kerugian barang-barang bengkel,” katanya.

Sementara itu, atas keprihatinan, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek, menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa kebakaran .

“Saya ucapkan takziah kepada mangsa dan diharap mereka terus tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/ed ... a-dihargai-1.258708
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-4-2014 01:05 PM | Show all posts
Bomba Malaysia tubuh Storm bantu usaha cari MH370

KEPALA BATAS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) telah menubuhkan pasukan khas yang dikenali sebagai Storm (Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia) bagi menghulurkan kerjasama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pasukan itu yang terdiri daripada 100 pegawai dan anggota pelbagai unit telah menjalani latihan khas dan kini dalam keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan bagi operasi SAR.

"Pasukan yang terdiri daripada anggota unit udara, unit penyelam dan unit mencari serta menyelamat itu telah diberikan latihan khas dan kita bersiap sedia untuk memberi bantuan dari pelbagai aspek termasuk peralatan, kemahiran dan kepakaran.

"Ketika ini operasi tersebut dikendalikan beberapa pihak termasuk Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan pihak kami akan terus mengikuti perkembangan kehilangan pesawat setiap masa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM 2013 peringkat Wilayah Utara di sini hari ini yang sebanyak 142 pegawai dan anggota dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menerima sijil masing-masing.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah JBPM Pulau Pinang Azmi Tamat.

- Bernama
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 3-4-2014 01:07 PM | Show all posts
Bomba kawal kebakaran 9 lokasi di Perak

14 Mac 2014

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak mengawal kebakaran hutan di sembilan lokasi berasingan di sekitar negeri itu hari ini.
   
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Perak Mohd Fadli Nik Abu berkata kebakaran melibatkan kawasan di Kilometer 16 Jalan Raya Timur Barat, Kilometer 16 Gerik, Kilometer 16 Gerik atas bukit, Tanjung Rambai di Gerik, Estet Ganda di Teluk Intan, Perlop di Sungai Siput, Bukit Bintang di Selama, Gunung Lang di Ipoh dan Kampung Sinju Jalan Cameron Highlands.
   
"Keluasan kawasan kebakaran yang terlibat semakin mengecil dan keadaan akan semakin pulih sepenuhnya," katanya di sini hari ini.
   
Beliau berkata, bomba telah memadam kebakaran sepenuhnya di tiga lokasi iaitu Kilometer 11 Gerik, Kilometer 11 atas bukit jalan ke Jeli dan tapak pelupusan sampah di Changkat Jong. Bagaimanapun pemantauan dan penempatan anggota masih dilakukan di kawasan berkenaan.
   
Dalam operasi hari ini, sebanyak 181 anggota termasuk anggota dari Jabatan Pertahanan Awam terbabit dalam operasi memadam dan mengawal kebakaran di lokasi berkenaan, katanya.  

- Bernama
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-4-2014 01:08 PM | Show all posts
Lori bomba terbakar berhampiran kebakaran hutan

5 Mac 2014


Keadaan lori bomba yang hanya tinggal rangka dibakar api.

ROMPIN – Sebuah lori bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin terbakar sekitar jam 1 petang semalam, ketika operasi pemadaman di Ladang Sungai Endau sedang dijalankan.

Difahamkan, ketika kejadian, lori yang dinaiki dua anggota itu dalam perjalanan untuk mengambil makanan di pejabat pengurusan ladang untuk diberi kepada anggota bomba yang bertugas dan pekerja ladang yang turut terlibat membantu operasi pemadaman.

Pegawai Bomba Kanan I dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Md Yunus Isnin yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

“Ketika kejadian, dua anggota yang menaiki lori tersebut dalam perjalanan ke pejabat pengurusan ladang untuk mengambil makanan tengah hari.

“Tiba di satu lokasi, tiba-tiba anggota yang memandu lori tersebut rasa bahang panas di bahagian belakang dan menoleh lalu melihat api sedang marak. Kedua-dua anggota terus terjun dari lori,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Yunus, anggota tersebut hanya mampu melihat lori tersebut terbakar kerana tiada bekalan air dan jarak kumpulan anggota yang sedang dalam operasi memadam juga jauh.

“Buat masa ini anggota forensik sudah ke sana dan siasatan sedang dilakukan. Punca kebakaran masih belum diketahui,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/se ... aran-hutan-1.257277
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-4-2014 01:10 PM | Show all posts
Bomba henti operasi pemadaman

16 Mac 2014


Mohd Zamri Omar

HULU TERENGGANU - Tempat pelupusan sampah di Batu 22, Kuala Berang yang terbakar seluas kira-kira 1.2 hektar petang Khamis lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi pemadaman secara berterusan hampir 25 jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, operasi yang turut dibantu Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Hulu Terengganu itu ditamatkan jam 6.55 petang, kelmarin.

“Panggilan kecemasan diterima 6.35 petang Khamis lalu dan sejurus selepas itu operasi memadam kebakaran terus dijalankan melibatkan anggota yang bertugas secara shif. Kita gunakan enam pancutan dengan sumber air terbuka serta daripada jentera.

“Kaedah mengaut timbunan sampah ternyata berkesan bagi membantu serta memastikan kesan semburan dilakukan anggota lebih maksimum. Ketika operasi dilakukan semalam (kelmarin), panggilan kes kebakaran di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) turut diterima,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan tempat pelupusan sampah di Batu 22 terbakar petang Khamis lalu hingga menarik perhatian ramai berikutan asap hitam dan tebal jelas dapat dilihat dari jauh.

Difahamkan, ini kejadian kedua berlaku sejak kawasan pelupusan sampah itu beroperasi lebih 30 tahun lalu dan kes pertama dilaporkan pada 1990.

Mengulas kebakaran di LPT, Mohd Zamri yang mengetuai operasi berkata, kes berlaku di Kilometer 385 Bukit Besi-Ajil (kawasan Jerangau Barat) melibatkan timbunan hampas kelapa sawit berhampiran pagar ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.

“Panggilan diterima jam 11.43 pagi semalam (kelmarin) dan seramai enam anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian.

"Kebakaran tidak merebak dan operasi tamat jam 7.55 petang hari yang sama,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/ed ... -pemadaman-1.260600
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-4-2014 01:12 PM | Show all posts
Tambah bomba sukarelawan


Halimah menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Amer di Kampung Jawa.

SEGAMAT - Kerajaan menggalakkan lebih banyak pasukan bomba sukarela terutama di kawasan kampung dan pekan kecil diwujudkan memandangkan peranannya dilihat membantu pihak bomba menjaga kesejahteraan nyawa dan harta benda.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, tanggungjawab ini perlu digalas bersama, tambahan tugasan anggota bomba bukan setakat memadamkan kebakaran.

“Apabila berlaku kebakaran atau sebagainya, anggota bomba mengambil masa untuk tiba di tempat kejadian dan ini akan menyebabkan banyak kemusnahan harta benda.

"Disebabkan itu, penting bomba sukarela sebagai pasukan sokongan sementara menunggu bantuan tiba.

“Sebelum itu, kami akan menitikberatkan keperluan pasukan sukarela dalam kawasan berkenaan sebelum usaha mewujudkan pasukan baru diteruskan," katanya.

Menurutnya, untuk menubuhkan pasukan sukarela dalam kawasan kawasan tertentu, penilaian perlu dilakukan selain mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Setelah layak ditubuhkan, kerajaan melalui kementeriannya dan JBPM akan membantu dari segi kelengkapan peralatan sepatutnya dan lain-lain," katanya.

Beliau ditemui ketika majlis penyerahan kunci rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke-7 (NBOS7) di Kampung Jawa, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Amer Yusof dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Abdul Ghani Daud.

Menurutnya, peranan anggota bomba akan diperkembangkan dan diletak di tengah-tengah masyarakat supaya kehadirannya dirasai, seterusnya memberi kesan kepada kemajuan masyarakat.

“Saya yakin JBPM dapat melakukan tugas diamanahkan rakyat dan ini merupakan gambaran struktur masyarakat itu sendiri kerana semua perkara sama ada di darat, laut dan udara dapat diuruskan dengan baik oleh pihak bomba.

“Melalui NBOS7 seperti hari ini (kelmarin), ini membuktikan tanggungjawab sosial bomba membantu melaksanakan peranannya dengan masyarakat dan merupakan inisiatif kerajaan menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang ditimpa bencana bagi meringankan beban dihadapi mangsa kebakaran,” katanya.

Menurutnya, tahun ini sahaja, 22 rumah di seluruh negara berjaya disiapkan di bawah program ini yang menelan belanja RM732,745 dan dijangka pada tahun hadapan sebanyak 30 rumah yang sama akan disiapkan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/tambah-bomba-sukarelawan-1.234627
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-4-2014 01:13 PM | Show all posts
Kebakaran: Bomba terdedah ancaman buaya, ular

SETIU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berdepan risiko ancaman binatang berbisa semasa mengawal kebakaran hutan paya gambut berhampiran Ladang Rakyat, di Lembah Bidong di sini.
   
Haiwan berbisa seperti ular tedung selar, ular sawa dan buaya sering berkeliaran di kawasan berhampiran sungai tersebut dan menyukarkan operasi pemadaman dilakukan.
   
Komandan Operasi Kamerul Bieza Mohd Kassim berkata sehubungan itu pasukan bomba terpaksa lebih peka dan berhati-hati dalam usaha memadamkan kebakaran yang berlaku sejak tujuh hari lalu.
   
Katanya sehingga hari ini pihaknya telah berjaya memadamkan seluas 84 hektar daripada keseluruhan keluasan yang kini mencecah 200 hektar. Operasi pemadaman turut dibantu pelatih Akademi Bomba Wakaf Tapai, pekerja ladang dan kakitangan Pejabat Daerah Setiu.
   
Pihak bomba juga sedang memantau beberapa kawasan lagi membabitkan hutan tanah gambut di kawasan Kampung Pecah Rotan yang didapati turut terbakar, katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

- Bernama
Reply

Use magic Report

Post time 6-4-2014 08:05 AM | Show all posts

Hmmm...



Jika askar memakai baju celoreng bertujuang untok camouflage... Hapa perlunya bomba pong pakai baju celoreng jugak...? Dia nak men nyenyorok dalam api ke...?


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-4-2014 09:20 AM | Show all posts
Ini rasanya disebabkan pada pertghan 2000an, semua agensi kerajaan yg beruniform tiba2 nak pakai baju celoreng ikut stail camo harimau belang ATM. Sampaikan uniform PLKN pun sama.

Yg saya nampak, hanya RELA je perlahan2 mempersiapkan pemakaian pakaian camo bercorak digital itupun setelah tahun lepas.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-4-2014 11:25 AM | Show all posts
Pemilik bangunan diminta buat latihan kebakaran sekali setahun

KUALA LUMPUR 10 April - Semua pemilik bangunan diminta supaya meningkatkan aspek keselamatan dengan mengadakan latihan kebakaran sekurang-kurangnya sekali setahun ekoran sesetengah bangunan di sekitar ibu negara terdedah kepada risiko kebakaran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, sekalipun kebanyakan bangunan terutamanya baharu mempunyai aspek kualiti binaan yang tinggi namun masih terdedah kepada berlakunya tragedi kebakaran jika langkah-langkah keselamatan tidak diberi perhatian.

"Semakin tinggi sesuatu bangunan, lebih tinggi risikonya dan jika berlaku kejadian yang tidak diingini akan mengancam nyawa.

"Tanpa sebarang latihan kebakaran sememangnya boleh me-ngundang tragedi yang sangat buruk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pe-nyampaian Pingat Kebesaran Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji 2013 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur di Hotel Hilton KL Sentral di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman. Pada majlis itu, seramai 142 anggota Bomba dan Penyelamat dari Wilayah Kuala Lumpur pelbagai pangkat dan jawatan serta pesara menerima anugerah masing-masing.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Nor berkata, sebanyak 408 bangunan di sekitar Kuala Lumpur memiliki Sijil Keselamatan Bangunan dari Jabatan Bomba yang perlu diperbaharui setiap tahun.

"Untuk memperbaharuinya pihak Jabatan akan melakukan pemeriksaan dan jika pemilik bangunan mempunyai pasukan khas bomba mereka sendiri dan mengadakan latihan kebakaran sekurang-kurangnya setahun sekali akan memudahkan pembaharuan sijil itu," jelasnya.

Sebelum itu dalam ucapan pe-rasmiannya, beliau melahirkan rasa puas hati dengan rekod pencapaian dan kemajuan perkhidmatan anggota bomba yang disifatkan sebagai sangat profesional, cekap dan mengukir banyak kejayaan.

"Oleh kerana umur persaraan pada masa ini ialah 60 tahun, saya berharap kesemua anggota bomba sentiasa menjaga dan meningkatkan taraf kesihatan masing-masing agar khidmat dan tenaga mereka dapat digunakan dalam tugas-tugas yang sangat mencabar ini.

"Begitu juga tidak dinafikan dengan pendapatan dan gaji yang kecil dalam kalangan kakitangan yang sebenarnya membolehkan kita hidup secara sederhana dan tidak terjejas teruk akibat peningkatan kos hidup," katanya.

Dalam pada itu, menurut Khi-ruddin, jumlah panggilan palsu yang diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur semakin berkurangan iaitu 32 panggilan pada tahun lalu berbanding 72 pada tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun, jumlah aduan atau panggilan kebakaran yang diterima semakin tinggi, iaitu 1,905 kes pada tahun lalu berbanding 1,629 pada tahun 2012," katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... aran-sekali-setahun
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-4-2014 11:26 AM | Show all posts
Mayat remaja lemas ditemukan


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengusung mayat mangsa yang ditemukan di Sungai Pegalan di Keningau, Sabah, semalam.

KENINGAU 11 April - Mayat seorang pelajar yang hilang semasa memancing di Sungai Pegalan di sini, Ahad lalu, ditemukan semalam, kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Robert Salisip berkata, mangsa, Mohd. Sukri Salimin, 13, ditemukan oleh penduduk kampung pada pukul 1.30 petang yang kemudian memaklumkan kepada polis.

Katanya, sehubungan itu, satu operasi mencari dijalankan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Semasa kejadian, mangsa dikatakan cuba mengambil kasutnya yang terjatuh ke dalam sungai, tetapi tergelincir, kira-kira pukul 3 petang," katanya di sini hari ini.

Tambah Robert, mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan dan pengesahan sebelum dituntut oleh ahli keluarga dan dikebumikan di kampungnya, Kampung Gaulan, malam tadi.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... aja-lemas-ditemukan
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-4-2014 11:28 AM | Show all posts
Bomba pinjam lori hantar wanita obesiti ke HTAR


Anggota Bomba dan Penyelamat KLIA mengangkat Norfaizah Mohammad Rashid yang dirawat di Hospital Banting untuk dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Sepang, semalam.

SEPANG 13 April - Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) meminjamkan sebuah lori untuk menghantar seorang pesakit obesiti bagi mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Pesakit wanita tersebut, Norfaizah Mohammad Rashid, 31, yang mempunyai berat badan 200 kilogram (kg) dan mengalami pendarahan paru-paru pada mulanya dirawat di Hospital Banting tetapi perlu menerima rawatan lanjut di HTAR.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Yahya Mohd. Sham berkata, sebuah lori lima tan dikerahkan untuk menghantar Norfaizah ke HTAR kerana saiz badannya yang besar menyebabkan dia tidak boleh menaiki ambulans.

Beliau berkata, seramai tiga anggota bomba selain seorang doktor dari Hospital Banting serta dua pembantu hospital telah ditugaskan untuk menghantar Norfaizah ke HTAR.

“Ini merupakan kali pertama Balai Bomba dan Penyelamat KLIA melakukan tugas seperti ini, ia menunjukkan bahawa tanggungjawab kita tidak terhad kepada usaha memadam api sahaja.

“Kita akan memberikan bantuan selagi mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... ita-obesiti-ke-HTAR
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-4-2014 11:29 AM | Show all posts
Mayat kanak-kanak lemas ditemui


Anggota Bomba dan Penyelamat Gua Musang menjumpai mayat Lim Wai Hong selepas satu jam operasi mencari di Sungai Ketil, Gua Musang. Kelantan,kelmarin.

GUA MUSANG 13 April - Tindakan lima sekawan merahsiakan mengenai rakan mereka yang lemas ketika mandi di Sungai Ketil, Kampung Kerinting pada Sabtu lalu terbongkar apabila mayat kanak-kanak itu ditemui, petang semalam.

Kesemua murid tahun enam terbabit berbuat demikian kerana takut dimarahi keluarga masing-masing dan mereka berjanji untuk tidak menceritakan apa yang sebenarnya berlaku selepas gagal menyelamatkan Lim Wai Hong, 12, yang merupakan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gua Musang itu.

Akhirnya, selepas 15 jam, salah seorang daripada mereka yang berasa gelisah dan tidak sedap hati, nekad menceritakan kejadian tersebut kepada ibu mangsa, Yong Kong Kap, 41, pada pukul 8 pagi keesokan harinya.

Mengikut cerita bapa mangsa, Lim Kian Guan, 59, dia dan isterinya mengesyaki sesuatu selepas Wai Hong yang merupakan anak tunggal mereka tidak menjawab telefon dan tidak pulang ke rumah seperti biasa.

&#147ada pukul 2 petang saya pergi kerja dan pada pukul 5 petang isteri cakap Wai Hong tidak pulang ke rumah.

“Kami bertanyakan kepada rakan anak kami dan mereka mengatakan Wai Hong menaiki motosikal bersama individu yang tidak dikenali," katanya.

Tambah Kian Guan, dia mengesyaki yang rakan-rakan anaknya itu bercakap bohong apabila kawan isterinya memaklumkan melihat Wai Hong bersama beberapa rakannya sedang menikmati nasi di Kampung Baru, Bandar Lama sebelum kejadian malang itu berlaku.

Katanya, setelah beberapa kali didesak, akhirnya rakan anaknya itu membuka mulut dengan menceritakan kejadian sebenar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ahmad Nordin Ibrahim, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya menerima laporan pukul 9.21 pagi dan menjumpai mayat mangsa pada pukul 10.35 pagi semalam.

“Kedalaman sungai dan keadaan air yang keruh serta berkeladak menyukarkan operasi lapan anggota kami mencari mangsa," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Katanya, antara agensi yang terlibat dalam operasi mencari mangsa lemas adalah pasukan Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan polis.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... kanak-lemas-ditemui
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-4-2014 11:31 AM | Show all posts
Bomba dipanggil bantu mandi jenazah


Fakaruddin Berahim (kiri) bersama anggotanya mengisi air ke dalam tangki bagi pengurusan jenazah Zakari Mat Hassan di Kampung Kubang Telaga, Bachok, Kelantan, semalam.

BACHOK 13 April - Ketiadaan bekalan air di Kampung Kubang Telaga di sini sejak lebih tiga bulan lalu menyebabkan sebuah keluarga terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menguruskan jenazah anggota keluarga mereka yang meninggal semalam.

Jenazah Zakari Mat Hassan, 66, yang meninggal dunia kira- kira pukul 3.15 petang itu dimandikan selepas tiga jam dengan bantuan bekalan air daripada pihak bomba.

Menurut abang iparnya, Mohd. Salleh Zakaria, 63, Zakari sebelum itu bermain wau di padang berdekatan dan mandi di parit berhampiran memandangkan ketiadaan bekalan air di rumahnya.

“Dia (Zakari) yang tiba di rumah kemudiannya mengadu sakit dada sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Telaga, Rosle Abdul Kadir berkata, dia yang dimaklumkan me-ngenai kejadian itu terpaksa mengadakan perbincangan dengan penduduk apabila sukar mendapatkan bekalan air bersih untuk memandikan jenazah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dengan keadaan air perigi yang hampir keseluruhannya kering akibat kemarau manakala jarak sungai yang jauh dari rumah Allahyarham telah menimbulkan kesulitan untuk menyempurnakan jenazah.

“Saya terpaksa menghubungi bomba dan penyelamat Bachok dan memohon mereka menghan-tar bekalan air bagi urusan me-nyem-purnakan jenazah.

“Alhamdulillah pasukan bomba bersama jenteranya yang tiba pada pukul 6 petang berjaya meleraikan kebuntuan semua pihak termasuk ahli keluarga Zakari mendapatkan bekalan air," katanya.

Tambahnya, jenazah yang dimandikan itu kemudian disema-dikan di tanah perkuburan Islam berhampiran kira- kira pukul 10 malam tadi.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Fakaruddin Berahim berkata, ia adalah kes pertama pada tahun ini dalam urusan memandikan jenazah.

“Keadaan bekalan air sejak kebelakangan ini semakin kritikal. Kami banyak dapatkan sumber air terbuka (sungai dan parit) berbanding pili bomba yang ketiadaan," katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... bantu-mandi-jenazah
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-4-2014 11:32 AM | Show all posts
Sekeluarga nyaris tinggal sehelai sepinggang


PASUKAN bomba dan penyelamat memadam kebakaran kediaman penduduk di Kampung Berembang, Mukim Gua, Kuala Lipis, Pahang, kelmarin.

KUALA LIPIS 13 April - Sebuah keluarga nyaris tinggal sehelai sepinggang apabila sebahagian rumah mereka musnah dalam kebakaran, di Kampung Berembang, Mukim Gua dekat sini, petang semalam.

Mangsa, Mazlan Mohamad, 50, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, dia yang berada di tempat kerja bergegas pulang sebaik dimaklumkan oleh ahli keluarganya.

Dia yang bekerja sebagai tukang masak berkata, apabila sampai di rumah, anggota bomba telah tiba dan tindakan pantas mereka membolehkan api dikawal daripada merebak ke seluruh rumah.

“Walaupun sedih dengan musibah yang menimpa, namun bersyukur kerana dua orang anak dan dua cucu yang tinggal bersama saya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di Kampung Gua, dekat sini semalam.

Yang hadir sama menziarahi mangsa, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Seorang ahli keluarga mangsa, Norfatihah Mazlan, 26, berkata, ketika kejadian, dia tinggal bersama-sama dengan adik perempuan serta dua orang anak lelakinya yang masing-masing berusia lima dan enam tahun.

“Apabila melihat api yang kian marak, saya menjerit meminta adik menyelamatkan dua orang anaknya dengan segera keluar dari rumah. Dalam keadaan cemas itu, saya hanya sempat mencapai beberapa helai pakaian dan peralatan elektrik," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada pukul 5.03 petang dan tiba di tempat kejadian 12 minit kemudian.

“Dua buah jentera bersama-sama 12 anggota bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengawal api supaya tidak merebak ke bahagian lain rumah berkenaan. Kebakaran bermula di bilik belakang dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," ujarnya.

Sementara itu, Mustapa berkata, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Padang Tengku menyumbangkan bantuan kecemasan bernilai RM500 untuk mangsa membeli keperluan makanan dan kebajikan lain.

“Keluarga mangsa sudah ditempatkan buat sementara di Kem Biro Tata Negara (BTN) Bukit Sarang, di sini sebelum kerja membaik pulih kediaman mereka dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan dan memberi jaminan untuk mendapatkan bantuan untuk keluarga mangsa khususnya membaik pulih segera kediaman mereka.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... -sehelai-sepinggang
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-4-2014 11:33 AM | Show all posts
Kereta bawa empat tong minyak diesel terbakar


Anggota bomba berusaha memadamkan api yang memusnahkan kereta Proton Iswara yang dipercayai membawa muatan minyak diesel di Jalan Dusun, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 13 April - Sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai membawa empat tong minyak diesel musnah terbakar di Jalan Dusun Muda di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, pemandu kereta terbabit bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Azlan Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.33 malam.

Menurutnya, sebuah jentera bersama sejumlah anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.

&#147unca kejadian masih dalam siasatan dan hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan membawa empat tong minyak dipercayai diesel," katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/ ... yak-diesel-terbakar
Reply

Use magic Report

12Next
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 08:14 PM GMT+8 , Processed in 0.615838 second(s), 43 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list