CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 18021|Reply: 81

Novel : Maniskah Derita, Pahitkah Bahagia? #akan menemui anda dalam versi cetak

[Copy link]
Post time 18-4-2014 03:19 PM | Show all posts |Read mode
Sebelum ni, karya saya memang ada disiarkan di sini. Pertama kali menulis, jadi tunggang-langgang semuanya.
Telah saya rombak karya saya ini, sedikit nafas baru diberi. Komen dari anda memang saya nantikan. Jalan ceritanya memang sediikit berlainan dari yang lama.

Last edited by wipers81 on 14-5-2014 10:12 AM

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-4-2014 03:32 PM | Show all posts

Prolog

Hari ini...

               Bunyi hempasan ombak yang memukul di dada pantai itu langsung tidak menganggu tumpuan Lily Dayana yang sedang berjalan mengharunginya. Satu demi satu langkah diatur. Terpapar jelas di belakang, jejak kakinya dilantai pasir pantai itu. Berbekas, berlekuk jejak yang ditinggalkan. Jika diamati jejak itu, jauh juga dia berjalan. Langsung dia tidak sedari. Sedang di dalam kepalanya begitu sarat, memikirkan pelbagai perkara yang kian menyesak. Bertubi-tubi masalah yang menimpa hingga hampir membuatkannya tenggelam punca.

                Langkahnya terhenti dan kini dia sedang berdiri tegak, menghadap lautan yang luas. Lautan luas yang terbentang di depan matanya itu, dipandang. Begitu jauh renungannya, telus hingga tidak perlu menembusi apa-apa pun di hadapan. Hembusan bayu lembut yang menyapa ke seluruh tubuhnya, sedikit menenangkan jiwa. Dia memejamkan mata sebentar. Ketenangan yang ada di sekitarnya cuba diresap ke dalam diri. Kini dia sedang memeluk tubuh.

Dayana menghela nafas. Panjang benar helaan nafasnya itu. Dia benar-benar kepenatan sekarang. Satu demi satu masalah mengejarnya. Mengapa selalu sahaja semua kekusutan itu perlu membayangi dirinya? Mengapa harus kelukaan mengejar? Kenapa, kenapa dan kenapa? Tetapi tiada jawapan. Dia benar-benar nanar. Hampir terumbang-ambing seluruh hidupnya saat ini. Dirinya terus hanyut, tenggelam dalam arus kenangan yang kian terkuak, satu demi satu. Hidupnya kini yang keseorangan kembali, cuba direnung. Kalau dahulunya dia digelar gadis yatim piatu kini dia sudah mendapat gelaran baru pula. Seorang janda! Dalam usia yang muda seperti ini, mengapa harus gelaran itu disandangnya?

                Impiannya untuk membina mahligai bersama-sama lelaki yang dia kasihi hingga ke Jannah, runtuh ketika sedang dalam pembinaan. Tidak tahu yang mana satu tidak kukuh, tiang serinyakah atau konkrit binaan itu? Mengapa harus dirinya sahaja yang diuji dengan nasib malang? Mengapa begitu payah tuah mendekati walau hanya sekadar sebagai bayangan sahaja. Tidak adakah sisa kebahagiaan yang tertinggal untuk dia kecapi? Lily Dayana benar-benar dirundung pilu. Dia terus-terusan meratapi nasib dirinya itu. Meratap dengan begitu hiba sekali nasib malang yang selalu melekat padanya bagaikan pasangan kembar siam.

               “Arghh...!” jeritan yang nyaringkeluar dari mulutnya.

               Lengkingan suaranya itu seolah memantul kembali, tepat mengenainya. Terasa lututnya menjadi lembut dan kini Lily Dayana sudah duduk melutut di gigi air pantai itu. Suasana menjadi pengap seketika. Tiada sesiapa di situ yang boleh memberikan reaksi terkejut. Hanya dirinya sahaja, seolah-olah kini terdampar di sebuah pulau yang tidak berpenghuni. Alangkah bagusnya jika terjadi begitu. Tidak perlu lagi untuk dia menghadapi sesiapa yang boleh menggoreskan hatinya. Tidak perlu lagi untuknya berpenat lelah mahu menjaga hati sesiapa. Dia benar-benar letih! Letih menjadi mangsa keadaan. Letih menjadi insan yang terlalu lembut dan baik hati. Letih, mengorbankan dirinya untuk kegembiraan orang lain.

               “Kenapa mesti aku!” jeritnya lagi. Kedua tangannya, galak memukul ombak yang kian rakus membadai dirinya. Tetapi, cepat-cepat Lily Dayana tersedar akan khilafnya, terang-terangan menyalahkan takdir yang telah tersurat untuknya. Sedangkan masih ramai yang lagi berat musibah menimpa mereka. Mengapa perlu dia mengeluh? Mengapa dia perlu mempertikaikan semua ini? Mengapa dia perlu menyalahkan takdir sedang dirinya yang tidak tahu bersyukur?

               “Astaghfirullahalazim.” Istighfarnya, memohon keampunan. Dia meraup wajah. Sekali lagi nafasnya dihela dengan panjang.

              “Mak, adik rindukan mak. Kalaulahmak masih ada, adik tak jadi macam ni mak. Kenapa mak tinggalkan adik? Kenapa mak tak bawak adik pergi bersama. Adik dah tak larat nak hadapi dunia ni lagi. Semua orang bencikan adik. Adik tak tahu, apa salah adik pada mereka semua. Adik keseorangan mak, benar-benar kesunyian. Tak ada sesiapa yang sudi mendengar keluhan adik mak. Mak,” rintih Lily Dayana. Berjuraian air matanya gugur, bercampur aduk dengan air laut.

            Ombak pantai kian galak memukul dirinya. Lily Dayana menangis sepuas-puasnya di situ. Sedikit-demi sedikit memori silamnya hadir. Ibarat sebuah wayang, tergambar jelas di ruang ingatannya. Kenangan lalu mula mengusik jiwa dukanya. Terkenang kembali masa lampaunya yang penuh dengan suka dan duka. Lily Dayana masih tetap berteleku disitu. Kenangan lalu mula tersingkap. Satu demi satu helaian singkapannya mula terselak.


Last edited by wipers81 on 18-4-2014 03:38 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-4-2014 05:10 PM | Show all posts

BAB 1

Beberapatahun dahulu....

Jam di dinding menunjukkan pukul 6.45 pagi. Sebentar lagi, pasti rakan-rakannya akan sampai dan berkumpul di halaman rumah sebelum mereka pergi ke sekolah bersama-sama. Rutin mereka setiap hari, apabila musim persekolahan tiba. Kelihatan, kakak kembarnya Lily Hasliana turut merapikan tudung. Ramai di kalangan rakan disekolah mereka tidak tahu bahawa dia mempunyai pasangan kembar kerana mereka adalah kembar tak seiras. Mereka juga tidak sekelas.

Lily Dayana duduk di kerusi yang terletak di laman rumah. Tangannya sibuk menyarungkan sarung kaki sambil menunggu kedatangan rakan-rakan yang lain. Itulah sahabat-sahabat yang akrab dengannya sejak dari sekolah rendah lagi. Tanpa berlengah, dia bingkas bangun. Menepuk lembut baju kurungnya yang sedikit renyuk itu. Yana merapati tubuh tua emaknya yang sedang duduk di ambang pintu rumah mereka.

“Mak, adik pegi dulu ya.” Ujar Dayana.

Itulah emak. Seorang ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras mencari duit lebih dengan mengambil upah menjahit bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga setelah kematian suaminya. Walaupun arwah ayahnya merupakan pesara kerajaan, wang pencennya itu tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka anak beranak kerana kos hidup di bandar Johor Bahru itu teramatlah tinggi.

Hamid, meninggal sewaktu usia anak-anaknya baru mencecah lima tahun. Zakiah adalah segala-galanya untuk mereka. Selama beberapa tahun itu, dialah ayah dan ibu kepada mereka berdua. Suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya hampir sepuluh tahun yang lalu. Kini, kedua kembar itu sudah pun berusia lima belas tahun. Sekejap sahaja dirasakan masa berlalu oleh Zakiah dan kedua kembar itu juga adalah antara calon yang akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini.

“Ya Allah, ampukanlah segala dosa ibu bapaku. Berkati dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka memberkati dan mengasihi aku. Semoga roh bapaku dicucuri oleh rahmatNya.” Itulah doa Dayana saban hari.

“Manalah pula bas ni. Dahlah hari ni hari pertama sekolah. Masa ni lah nak buat hal.” Rungutan Fara itu membuatkan mereka kian resah.

Tidak sepatutnya mereka kelewatan pada hari pertama sekolah dibuka setelah hampir sebulan lebih mereka bercuti. Selang beberapa minit kemudian, kelihatan bas bernombor 56 yang amat dinantikan oleh mereka. Apa lagi, setelah bas tersebut berhenti, cepat-cepat mereka menaikinya. Tapi ingat, beratur dahulu. Ini adalah pesanan yang tidak berbayar.

Ketika masa masih berbaki lima minit lagi sebelum loceng menandakan bermulanya waktu sekolah berbunyi. Enam sahabat itu melangkah menuju ke tapak perhimpunan, berkumpul dan bertanya khabar sesama sendiri. Maklumlah hari pertama. Becok mulut masing-masing, menceritakan kenangan cuti sekolah masing-masing.

Kebetulan pula Dayana, Fara, Fiza dan Enab berada di dalam kelas yang sama, kelas 3 Alim. Pastilah lebih meriah kelas mereka tahun ini. Hanya Ecah dan Azreena berada di dalam kelas 3 Arif. Sama seperti tahun lepas juga, dia duduk bersebelahan dengan Sofia. Mereka berdua juga sepakat memilih tempat di bahagian belakang sekali.

‘Ish, apa pasal mamat ni boleh duduk di meja sebelah pula?’ Dayana merungut di dalam hati. Sempat lagi dia mengerling ke arah meja di sebelah kanannya itu.

‘Eh, eh kau ni Yana. Kelas ni bukan hak milik kau. Jadi, kenapa kau nak sibuk sangat dengan mamat yang kat sebelah tu. Suara siapakah itu? Suara siapa lagi kalau bukan suara hati aku…’ Dayana ketawa dalam hati. Jika terhambur gelaknya tadi bimbang pula disedari oleh Sofia, tidak pasal-pasal dia akan ‘dicop’ gila pula.

‘Macam manalah dia boleh sama kelas dengan aku kali ni?  Sudahlah tu, Fara pun sekelas dengan aku juga. Dari tadi dia dah pandang aku semacam je. Janganlah ada apa-apa rancangan bernas Fara nak kenakan aku lagi lepas ni.’ Bisik hati kecil Dayana. Tidak terjangkau oleh akal fikirannya yang biasa itu tentang apa rancangan Fara kelak.

Bila difikirkan kembali, jika tiada Fara bersama mereka boleh mati kutu agaknya mereka berlima kerana dilanda angin bosan. Fara orangnya sangat periang. Mereka semua senang berkawan dengannya. Dia seorang yang gemar mengusik, membangkitkan suasana suram dengan telatah riangnya. Sukar hendak mencari orang seriang Fara. Kadang-kadang terfikir oleh mereka, Fara tidak pernah ada masalahkah di dalam hidupnya?

Zaki Irshad. Ya, mamat itulah yang digossipkan dengan Dayana semasa di darjah enam dulu. Pemukul canangnya siapa lagi kalau bukan Fara. Riuh rendah satu sekolah masa tu hingga malu Dayana dibuatnya. Dia sedar akan kekurangan diri. Mana tidaknya, Zaki jejaka idaman Malayalah katakan. Dayana pula hanyalah seorang budak perempuan yang selekeh, kulitnya pun hitam. Manalah padan. Bak kata Liana, macam Dayang Senandung.

Antara mereka berdua hanya Dayana yang berkulit gelap. Dia lebih banyak mewarisi warna kulit sebelah bapanya yang berkulit gelap. Seringkali dia bagai mahu menangis sahaja apabila terkenangkan sindiran kembarnya itu. Tetapi biasalah, walau besar manapun perkelahian antara mereka, hubungan persaudaraan masih utuh. Ibarat kata pepatah, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum jua.

Tiba-tiba kedengaran satu suara dari belakangnya. Tersentak dan mujur baik tidak melatah Dayana dibuatnya.

‘Kuss semangat.’ Rungutnya dalam hati. Sempat lagi dia mengurut perlahan dadanya. Dayana mengerling pada jejaka yang kini sudah berdiri di sebelah kirinya. Erk alamak! Bulat matanya sebaik melihat siapakah gerangannya dan dengan pantas dia mengalihkan pandangan. Dayana mula menjadi tidak keruan. Dia cuba berlagak biasa. Siapa yang tidak terkejut, kali pertama dia disapa oleh pelajar lelaki yang diintai dalam rahsia selama ini. Kali pertama! Jantungnya berdebar dengan hebat sekali. Dirasakan bagai di alam mimpi pula.

‘Biar betul dia sekelas dengan aku tahun ni? Hai, kelas tak mula lagi dah nak pakai pembaris? Agak musykil aku dengan mamat ni. Untuk apa ya pembaris tu?’ dia berteka-teki dalam hati. Keningnya kelihatan bertaut.

“Boleh ke tak Dayana?” soal pelajar lelaki itu sekali lagi. Soalan itu walaupun lembut nadanya, mampu memecahkan lamunan seketika Dayana tadi.

“Hah? pem..pembaris, sekejap ya.” Balasnya dengan sedikit gagap kerana rasa terkejut yang masih bersisa.

Dia memusingkan badan. Laju tangannya memunggah beg sekolah yang disangkut dikerusi. Dayana menghulurkan pembarisnya. Tanpa disangka pula, jejaka itu menghadiahkan sebuah senyuman yang manis padanya. Terpana seketika Dayana jadinya. Dia merasakan jantungnya mahu terkeluar dek debaran yang sangat laju. Hampir-hampir sahaja mulutnya terlopong tadi. Pelajar lelaki itu kemudiannya terus berlalu. Barulah Dayana tahu, rupa-rupanya dia pengisi kerusi kosong di sebelah Zaki. Tiba-tiba, mereka berdua secara serentak memandang ke arahnya yang sedari tadi merenung mereka.

‘Alamak,’ getus Dayana. Terus sahaja dia memalingkan wajah menghadap papan hitam di hadapan. Cuba berlagak tenang sedangkan dalam hatinya,  gelabah yang amat.

“Assalamua’laikum dan selamat sejahtera semua,” ucap satu suara dan mereka semua bingkas bangun menjawab salam guru yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kelas mereka.

“Kamu semua boleh duduk. Saya Cikgu Saparman yang akan mengajar matapelajaran Bahasa Melayu dan merangkap guru kelas kamu. Baiklah, memandangkan ini hari pertama kita di sekolah jadi saya tak nak buang masa lagi. Sekarang saya nak melantik ketua kelas. Sesiapa yang ada cadangan sila kemukakan sekarang.” sambung Cikgu Saparman.  

Ketua kelas? Ramai juga yang bangun memberi cadangan. Antara nama yang tersenarai ialah Zaki, Baharin dan Nashrin. Setelah undian dibuat, mereka telah sebulat suara memilih Zaki Irshad menjadi ketua kelas. Dia lantas bangun dari kerusi dan menundukkan kepalanya membuat gaya ala-ala menang anugerah. Dayana yang melihat ragam Zaki, mencebikkan mulutnya.

“Eleh, bajet bagus pula mamat ni. Tu baru jadi ketua kelas kalau ketua pengawas, tak tahulah aku macam mana.” Rungutnya perlahan. Mulalah ayat dengki keluar dari lubuk hatinya. Dia perlu menepis perasaan negatif itu, mana boleh dilayankan sangat.

“Okey pelajar, sekarang kita akan memilih jawatan untuk penolong ketua kelas pula. Ada sesiapa yang hendak kamu cadangkan?” soal Cikgu Saparman.

Kelihatan Fara mengangkat tangannya, lalu dia berdiri.

“Saya cadangkan Lily Dayana, cikgu..” ujarnya sambil memandang ke arah sahabatnya itu dengan senyuman sumbing terukir di bibirnya yang agak tebal itu. Besar mata Dayana memandang ke arah Fara yang sedang senyum, senyuman yang terkandung seribu makna itu. Tergamam Dayana.

“Tengok tu. Baru je aku cakap tadi, dia dah mula. Macam nak kenakan aku lagi je Fara? Tak puas lagi ke dia menyakat aku dengan Zaki dulu. Ah, lantaklah, nanti aku pujuk kawan-kawan jangan undi aku,” rungut Dayana. Terkumat-kamit mulutnya. Tersenget sana tersenget sini. Merungutlah apa lagi.

Sofia pula hanya tergelak kecil memerhatikan telatah Dayana di sebelahnya. Lucu barangkali. Sofia nampak betapa kelat muka Dayana sebaik Fara mencadangkan nama sahabatnya itu. Kasihan Yana, nampaknya Fara sudah ada rancangan untuk mengenakannya lagi. Ketika undian terhadap Dayana dijalankan, rakan-rakanyang lain memandang ke arahnya. Beria-ia Dayana memberi isyarat dengan menggelengkan kepala untuk meraih perhatian mereka agar tidak mengundinya.

“Baiklah kelas, nampaknya kamu semua telah sebulat suara memilih Lily Dayana sebagai penolong ketua kelas kamu tahun ini. Tahniah, Lily Dayana.” Keputusan muktamad telah dibuat oleh Cikgu Saparman. Nampaknya terpaksalah Dayana akur sahaja.

“Alahai, sabar ajelah aku dengan Fara. Nasib baiklah kawan aku, kalau tak dah lama kena sembur dengan aku.” rungutnya lagi dalam hati.

“Tahniah Dayana. Nampaknya awak telah dipilih menjadi pembantu saya.” Ucap suara yang  dimiliki oleh siapa lagi kalau bukan Zaki.

‘Eh, bila pula dia berdiri kat belakang aku ni.’ bisik Dayana. Dia menoleh, memandang pemuda itu dan terhala sekali ke arah dia yang turut sama berdiri di sebelah Zaki sambil tersenyum simpul.

‘Dia senyum lagi kat aku.’ desis hati Dayana. Duduknya sudah tidak tentu arah. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan ke arah lain, langsung tidak membalas kata-kata Zaki. Kelu lidah Dayana saat itu. Berdebar rasa di hatinya dengan pandangan jejaka itu. Pandangan yang menusuk ke kalbunya, tertusuk tepat ke hati Dayana. Rasa gugup sudah bertebaran, memenuhi di segenap ruang tubuhnya. Dayana lekas-lekas berpaling, bimbang dianggap perasan lebih pula nanti.

“Ish, dah kenapa dengan kau ni Yana? Semacam je aku tengok kau. Kalau ya pun dia senyum kat kau, janganlah gelabah sampai macam tu.” Tegur Sofia sebaik Zaki beredar menuju ke tempat duduknya. Dari tadi dia memerhatikan tingkah laku Dayana yang tidak tentu arah itu. Hampir tergelak pula dia.

Dayana malu apabila ditegur sebegitu oleh Sofia. Lantas, dia membuka beg sekolahnya, mengeluarkan buku teks Bahasa Melayu. Berpura-pura membaca. Entah apa yang dibaca pun tidak tahulah? Terdengar ketawa halus dari Sofia. Dia menjelirkan sedikit lidahnya. Sofia menyambung tawanya. Sudah macam perangai kanak-kanak ribena pula gelagat Dayana saat itu.

“Sofia, kalau ya pun janganlah gelakkan aku. Nampak dek Fara nanti tak habis-habis aku kena sakat. Mana aku nak letak muka aku ni?” marah Dayana. Dia buat-buat menarik muka masam sambil memberi jelingan yang tajam ke arah sahabatnya itu.  

“Alah kau ni Yana, janganlah marah. Bawa bertenang. Aku seronok sebenarnya bila tengok muka kau yang suka gelabah tu,” seloroh Sofia dan kembali menyudahkan sisa tawanya.

“Ya ke? Ceh hampeh betullah kau ni Sofia.” Balas Dayana yang sedikit geram sambil menampar bahu Sofia. Perlahan saja pun. Sahabatnya itu mengaduh kecil. Gelak mengekek pula Sofia. Bertambah geram Dayana jadinya.

“Gelaklah puas-puas. Tak apa Sofia, hari ni hari aku.” katanya lagi dengan sedikit nada merajuk.

“Alahai, merajuklah pula kawan aku ni. Aku bukan apa, yang kau takut sangat dengan Fara tu kenapa? Janganlah risau, aku kan ada. Apa yang berlaku nanti, aku akan pertahankan kau, hehehe,” Pujuk Sofia sambil menyengih. Dia menepuk lembut bahu temannya itu.

Sofia tergelak pun bukan kerana apa, sebulan lebih dia tidak bertemu dengan Dayana. Baru hari pertama di sekolah, Dayana sudah membuat lawak. Terhibur hatinya. Kebosanan yang melanda diri selama sebulan itu telah pun diubati dengan telatah rakannya. Dia sayangkan Dayana seperti saudara kandungnya. Sofia seorang anak tunggal. Sudah pastilah hidupnya bosan keseorangan.

         “Yalah tu. Alah kau ni Sofia, macamlah teruk sangat aku kena sakat dengan Fara. Ni bukan kat asrama tau, kena buli bagai. Dahlah. malas aku nak layan kau.” Balas Dayana. Dia meneruskan pembacaannya. Sedang Sofia hanya menjungkitkan bahu.
Last edited by wipers81 on 18-4-2014 05:21 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2014 02:41 PM | Show all posts

Bab 2

Terasa begitu lambat masa berputar hari ini, maklumlah baru hari pertamalah katakan. Akhirnya tepat jam 1.15 petang, loceng menandakan tamat waktu persekolahan berbunyi. Riuh kelas mereka waktu itu. Masing-masing sibuk mengemas beg, tidak ketinggalan Dayana. Sebaik begnya telah selamat dizipkan tanpa sengaja dia terpandang ke arah meja di sebelah kanannya itu. Jejaka itu kelihatan sedang menggalas beg sekolahnya ke bahu, tiba-tiba pandangan mereka bersatu. Fahim menguntumkan senyum hingga mampu membuat Dayana terkedu.

Dayana kembali gelabah. Lekas-lekas dia bangun dari kerusinya, beg sekolah diangkat lalu digalas ke bahu kanan dan terus sahaja bergerak menuju ke pintu kelas. Dek kerana kelam kabut tanpa disedari, dia telah terlanggar sesuatu. Elok sahaja dia jatuh terjelepuk ke lantai dengan ayunya. Perasaan malu, mula menguasai Dayana saat itu. Dia merasakan hidung mancungnya sedikit kebas.

‘Apa yang aku langgar? Keras gila! Nasib baik tak patah hidung mancung aku ni,’ getusnya sambil tangan menggosok hidung yang sedang kebas itu.

Gamat bunyi kelasnya. Sah, dia sedang ditertawakan. Dayana mendongakan kepala, memandang ke arah ‘benda’ yang dilanggarnya tadi. Terbesar anak matanya saat ini bagai mahu sahaja terkeluar dari sarung. Mujur masih kuat gam yang melekat di kantung matannya itu. Dayana mengeluh sebaik mengenal pasti ‘benda’ itu yang sedang tersengih memandangnya. Terkial-kial Dayana yang sedang cuba untuk bangun. Dalam keadaan yang agak kelam kabut itu entah bagaimana, dengan selamba dia telah menyambut satu tangan yang dihulurkan kepadanya. Setelah berdiri dengan stabil, dia memandang ke wajah budiman yang sudi menolongnya.

“Awak okey ke Dayana?” soalnya. Wajahnya dimaniskan. Pertama kali tangan gadis itu berada di dalam genggamannya.

“Ya,” jawabnya ringkas. Dayana terkedu seketika. Tangan yang tadiya menyambut huluran jejaka itu kini mencengkam tepi baju kurungnya. Kalau boleh disental bagi menghilangkan dosa yang tercalit tadi, sudah tentu dia lakukan sekarang juga.

‘Haram ni, haram,’ dia membentak dalam hati. Hanya mampu berdoa, semoga kesalahannya diampunkan Allah S.W.T. Bibir bawahnya sudah digigit. Mukanya sudah lain macam sekarang tambahan pula apabila melihat Fahim mempamerkan senyum. Senyum lagi!

“Terima kasih..” ucap Dayana ringkas. Malu, geram... tidak tahu mana yang sepatutnnya mendahului. Ditahan sahaja, jauh ke lubuk hatinya. Dia berpaling dari Fahim, mula bergerak meninggalkan mereka yang lain. Mana tidaknya, semua orang sedang mentertawakannya. Kebas terasa mukanya kerana menahan malu. Tidak sanggup rasanya untuk dia berlama di situ. Sebelum telinganya berasap mendengar sindiran teman yang lain, lebih baik dia angkat kaki. Tambahan pula, melihat aksi Fara yang sedang bergelak sambil menekan perutnya. Lawak sangatlah tu.

“Zaki ni pun satu. Masai nilah dia nak brek mengejut. Kalau tak, sah-sah aku tak jatuh tadi. Sakitnya hati aku dengan perangai Zaki yang tak semenggah tu.” Dayana meneruskan rungutannya. Geramnya dia. Lebih menyakitkan hati, apabila melihat Zaki juga turut seronok menggelakkannya. Sengal sungguh mamat itu.


Dayana mengelap peluh yang mula terbit di dahinya. Hampir kematu punggungnya menunggu. Kini, telah hampir sepuluh minit berlalu. Dari dia berdiri hinggalah melabuhkan duduk di kerusi batu yang ada di situ namun masih lagi tidak kelihatan bayang Azreena.

“Manalah Azreena ni pergi?” Rungut Dayana yang sedang menunggu sahabat bertuahnya.

“Aku tinggal juga minah ni karang.” Rungutnya lagi. Tudung putih yang dipakainya, dikibas-kibaskan. Hampir melekit tubuhnya kini dek peluh yang terbit. Keadaan itu menjadikan dia kurang selesa. Hatinya mula kepanasan seiring dengan cuaca yang sedang panas terik. Benar-benar penantian itu satu penyeksaan.

“Tapi berani ke aku nak marah Azreena? Dahlah boleh tahan juga mulut minah tu.” Sambungnya lagi. Dia tersengih sendirian bila memikirkan semua itu.

“Awak betul-betul okey ke Dayana?” Sapa satu suara. Tegak tubuh Dayana kerana terkejut seperti terkena renjatan arus elektrik pula jadinya dia. Dia menoleh ke arah tuan empunya suara. Tersentak dia! Rupa-rupanya, Fahim. Mukanya kembali terasa panas. Peristiwa sebentar tadi mula bermain di kotak fikirannya.

“Err... saya okey.” Jawabnya sedikit gugup. Dari jauh dia nampak kelibat Zaki sedang tersenyum kepadanya. Dia mengalihkan pandangan sambil menjulingakan mata ke atas. Senyuman Zaki agak menjengkelkannya. Dayana menggigit bibir bawahnya.

“Comel..” desis hati Fahim sambil tersenyum. Matanya masih lagi merenung gadis di hadapan tanpa menyedari akibat dari tenungannya itu.

Dayana menundukkan wajah. Malu kerana ditenung sebegitu. Kalaulah dia ada kuasa magik, sudah lama dighaibkan dirinya. Pandangan lelaki itu membuatkannya tidak tentu arah sekarang. Debar di dadanya sudah kian rancak.

“Yana, lain kali kalau berjalan pandang ke depan bukannya bawah. Nasib baik awak langgar belakang saya yang berlapikkan beg mahal ni tau. Kalau awak langgar dinding tadi, tak ke benjol dahi awak tu?” kata Zaki sebaik tiba di pondok di mana Dayana dan Fahim berdiri. Dia tergelak kecil, menyudahkan tawanya yang masih bersisa. Hampir senak perutnya ketawa hari ini. Ternyata ‘lawak’ gadis yang sangat pendiam dari dahulu hingga sekarang, menjadi.

Terasa seperti berhaba dan meningkat kepada berbahang muka Dayana apabila ditegur oleh Zaki. Siap perli lagi. Kalau ada termometer, mahunya pecah benda alah itu kerana tidak dapat menahan sukatan haba yang terhasil darinya.

“Maaflah Zaki, saya tak perasankan awak tadi.” Balas Dayana ringkas. Acuh tidak acuh sahaja. Sikit pun dia tidak memandang ke arah Zaki. Mana dia nak sorokkan muka, takkan dalam beg sekolahnya pula. Dia cuba berlagak selamba. Cuba menahan getar di dada yang kian menyesak. Dia bukanlah berada di zon yang selesa sekarang dengan kehadiran dua mamat itu. Entah mengapa hari ini, boleh terlebih ramah-tamah pula dua jejaka itu?

‘Manalah kawan aku ni. Lambat lagi ke kau Azreena?’ Dayana merungut lagi. Kali ini rungutannya mengenai Azreena pula. Matanya melirik ke arah dua jejaka di sisi kirinya namun dengan pantas dia melarikan lirikan itu. Hingga kini, dia tidak punyai kekuatan untuk bertentang mata dengan mereka berdua.

Walaupun dia mengenali Zaki sejak dari darjah enam lagi, sangat jarang dia bercakap dengan lelaki itu apatah lagi dengan rakan lelaki yang lain. Rasanya, boleh dibilang dengan jari sekiranya ada perbualan antara mereka. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk menjadi peramah. Seperti ada sesuatu yang menghalangnya untuk jadi begitu. Dayana merasakan seperti dirinya tidak layak untuk bercakap dengan kaum lelaki kerana sedar perwatakannya yang tidak menarik. Disebabkan itu jugalah yang membuatkannya sering merasa tidak yakin dengan diri sendiri. Selama beberapa tahun mengenali Zaki, rasanya itulah dialog yang paling panjang pernah diucapkan oleh jejaka itu kepadanya.

‘Zaki ni pun satu. Tak payahlah nak perli-perli aku. Eh, teremosional pula aku ni.’ Getus Dayana lagi. Sempat lagi menyambung ketidakpuasan hatinya terhadap Zaki. Sekilas dia menjeling lagi ke arah Fahim. Dayana nampak jejaka itu senyum.

‘Ni sorang lagi. Tak habis-habis, asyik senyum je. Ada sawan senyum ke Fahim ni? Mana kau Azreena? Cepatlah, aku dah lemas ada kat sini!’ Jerit hati kecilnya. Meronta-ronta,terasa mahu saja dia lari dari kepungan debaran perasaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

“Maaf aku lambat Yana. Eh, kau Zaki, Fahim. Apa pasal korang ada kat sini? Nak menyakat Yana ya?” ujar Azreena. Pelik pula dia rasakan dengan kehadiran dua makhluk itu yang ada sama dengan sahabatnya, Yana.

“Amboi, salam bagi pun tidak, main serbu je kau Azreena. Jomlah Fahim. Malas aku nak layan Azreena ni. Karang, tak pasal-pasal disemburnya kita lagi. Jom blah…” ajak Zaki sambil menarik lengan Fahim. Mereka terus berlalu meninggalkan Dayana dan Azreena. Terbantut hasrat Zaki mahu mengusik Dayana.

Sempat lagi Fahim memandang Dayana lalu tersengih dan mengenyitkan mata pada gadis itu. Terpana seketika Dayana dengan tindakan Fahim itu. Dengan berbekal sedikit keberanian, dia membalas senyuman Fahim.

Yes...” kata Fahim dalam hati. Berbunga rasa hatinya apabila gadis yang dipuja dalam diam memberi respon sebegitu.

‘Biar betul Fahim ni atau aku yang sedang bermimpi di siang hari?’ bisik Dayana kemudian tertunduk malu. Dia berdoa, moga Azreena tidak perasan akan kejadian tadi.

“Hah, jomlah lekas. Yang kau tercegat kat situ lagi kenapa?” tegur Azreena. Dia sebenarnya menyedari insiden tadi, cuba berlakon berpura-pura tidak tahu. Dia mahu menjaga air muka Dayana kerana dia kenal sangat dengan perangai temannya yang pemalu itu.

Ekeleh, dahlah aku tunggu dia berejam. Boleh pula aku yang dia marah. Hesy, sabar jelah aku dengan kawan baik yang sorang ni.” Gerutunya dengan suara yang perlahan. Berani cakap kuat-kuat? Nak kena laser dengan Azreena?

Last edited by wipers81 on 21-4-2014 02:50 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2014 04:24 PM | Show all posts

BAB 3

Beberapa bulan selepas itu...

Begitu khsuyuknya Dayana yang sedang menyiapkan peralatan makmal untuk eksperimen yang diberikan oleh Cikgu Rashidah. Sedang dia sibuk menyiapkan semuanya, tiba-tiba dia disapa oleh satu suara yang mahu meminjam jam tangannya. Mujur baik tabung uji yang sedang dipegangnya itu tidak terlepas. Tidak tengok muka pun dia sudah tahu siapa gerangannya. Siapa lagi kalau bukan Fahim. Ada sahaja barang kepunyaannya akan dipinjam oleh Fahim sepanjang mereka sekelas. Tanpa banyak soal, Dayana membuka jam tangannya lalu dihulurkan kepada jejaka itu. Fahim menguntum senyum yang sudah tidak mampu untuk dihitung oleh Dayana. Samalah dengan Zaki yang sedang berdiri di belakang Fahim.

“Terima kasih Yana. Sekejap lagi, saya pulangkan jam awak ni.” Ucap Fahim. Dua jejaka itu kemudiannya berlalu menuju ke kumpulan mereka.

‘Alahai. Kenapalah agaknya dengan mamat-mamat tu?’ soal Dayana sendirian sambil mata tertumpu ke arah mereka berdua.

“Apa yang Fahim nak dari kau Yana?” soal Sofia.Sofia telah lama menghidu keanehan perilaku Fahim sejak kebelakangan ini. Hendak diajukan pada Dayana, malas pula. Telahannya hanya tersimpan kemas jauh di lubuk hati mengenai perasaan Fahim terhadap Dayana. Sofia hairan, mengapa Dayana langsung tidak perasan dengan cara Fahim yang mahu menarik perhatiannya? Hati batu ke Dayana? Tak ada perasaan ke?

“Nak pinjam jam tangan aku. Ish, aku peliklah Sofia. Dalam ramai-ramai ahli kumpulan diorang tu, takkanlah seorang pun tak pakai jam. Hairanlah aku..” ujar Dayana. Berkerut lagi keningnya sambil pandangan terhala ke arah Sofia. Bukan Dayana tidak perasan, kebelakangan ini dia rasakan yang Fahim dan Zaki sering mencuri pandang padanya. Apabila dia memandang mereka, cepat-cepat mereka mengalihkan pandangan dan berbisik sesama sendiri. Rimas juga dia dengan kerenah mereka berdua itu.

‘Entah-entah diorang kutuk aku tak?’ teka Dayana sendirian. Dia sudah mula memasang serkap jarangnya terhadap dua jejaka itu.

‘Ish, tak baik pula aku berprasangka buruk pada diorang tu. Aku agaknya yang perasan lebih. Ah lantaklah,’ sambungnya lagi.

“Oi, apa yang kau menungkan tu? Karang meletup pulak bahan eksperimenkita dalam tabung uji tu dek tenungan kau.” Sergah Sofia setelah menyedari kebisuan rakannya itu.

Dayana yang sedikit tersentak dengan teguran Sofia itu menarik nafas lega kemudiannya. Nasib baik tidak terlepas balang kaca yang sedang dipegangnya itu. Dia memandang wajah Sofia yang sedang tersengih itu.

“Bertuah betul kau ni Sofia. Kalau terlepas balang ni tadi, kau nak ganti?” ujar Dayana.

“Tapi tak pecahkan..” dalih Sofia. Mencerlung mata Dayana, kurang berpuas hati dengan jawapan Sofia.

“Amboi, jawapan kau..” balas Dayana. Kini mereka saling menjelirkan lidah sesama sendiri. Mahu mengukur barangkali panjang mana lidah masing-masing.

“Macam-macamlah kau ni Yana,” kata Sofia sambil senyum dileretkan. Mereka berdua tertawa menyudahkan babak akhir cerita mereka saat itu.



Riuh suasana dikantin sekolah mereka. Waktu rehat yang berbaki sepuluh minit itu benar-benar dimanfaatkan oleh Dayana dan rakan-rakannya yang sedang bersantap dengan penuh selera itu. Entah kenapa, sedap pula masakan makcik kantin hari ini. Hari-hari sebelum ni payah nak rasa makanan sesedap itu.

“Yana, petang nanti kitorang ingat nak buat study group. Kau nak join tak?” soal Fara sebaik mereka selesai makan. Kini, mereka sedang duduk bersantai di bangku panjang di kantin sekolah itu sementara menantikan waktu rehat tamat.

Dayana bungkam seketika. Apa yang perlu dia jawab sedangkan dia sudah berjanji dengan emaknya akan pulang awal hari ini. Otaknya ligat berkerja, mencari alasan yang baik untuk mengelak diri.

“Tak apalah Fara. Korang buatlah ya. Rasanya aku tak boleh sertai korang. Aku kena balik awal, dah janji dengan mak aku. Biasalah, aku kena tolong dia Fara. Kaukan tahu mak aku tu macam mana orangnya. Lain kailah ya.” Balas Dayana.

“Yana, aku kenal kau bukan sehari dua tau. Kita besar bersama. Ni, mesti mak kau suruh tolong dia jahit baju, kan? Ala Yana, PMR dah dekat ni. Jomlah, ramai yang ada. Bolehlah Yana, kesian kat kawan-kawan yang lain. Diorang harap sangat kau dapat join sekali.” Rayu Fara lagi. Susah benar sahabatnya yang seorang itu mahu menyertai meraka. Selama ini, memang Dayana sering sahaja mengelak jika dipelawa untuk study group bersama. Ada sahaja alasan yang akan diberi olehnya. Fara masih menanti dengan sabar jawapan dari Dayana. Dia amat berharap agar Dayana akan turut sama kerana dia salah seorang pelajar cemerlang di sekolah mereka.

Kedengaran Dayana mendecit. ‘Lecehlah macam ni. Tapi tak apa kot rasanya. Bukan aku nak pergi berhibur, nak timba ilmu je. Tak apalah, balik karang pandai-pandailah aku bagi alasan kat mak. Mesti mak akan faham punya.’ Dia mula berteka-teki dalam hati. Kemudian,

“Opss, baru aku teringat! Apa guna aku ada kembar?” Ujar Dayana tiba-tiba. Bingkas dia bangun. Nasib baiklah mereka sudah habis makan.

Fara yang sedikit terkejut dengan reaksi spontan Dayana itu, terangkat sedikit kedua bahunya. Nampak jelas keningnya bertaut. Hairan dengan tingkah laku Dayana.

“Fara, kejap ya. Aku nak cari kakak aku dulu. Jumpa kat kelas nanti.” Kata Dayana yang sudah mengatur langkah meninggalkan Fara yang sedang terpinga-pinga dengan reaksinya itu.  

Langkahnya semakin laju. Dari berjalan hinggalah berlari-lari anak. Sesiapa sahaja yang terserempak dengannya akan bertaut kening mereka kerana hairan melihat dia begitu. Tujuan Dayana hanya satu, menuju ke kelas kembarnya. Dari jauh, dia nampak kelibat Liana sedang berdiri di koridor di hadapan kelas mereka.

Serta-merta Dayana teringat akan kata-kata Azreena bahawa Liana boleh menjadi sahabatnya tetapi rakan-rakan Liana belum tentu boleh menjadi sahabatnya. Pada mulanya dia agak hairan dengan maksud ayat Azreena itu. Bila difikirkan kembali, betul juga kata rakannya itu. Siapalah yang sudi berkawan dengan mereka yang berada di kelas pandai. Mereka juga dilabelkan sebagai budak-budak skema. Jika tiada guru di dalam kelas, masing-masing akan menyambung menelaah. Begitu juga dengan kelas Azreena. Selalu, kelas mereka mendapat pujian kerana kurang bising berbanding kelas yang lain.

“Kak, kau boleh tolong aku tak?” soal Dayana sebaik sahaja dia berdiri di hadapan kembarnya itu. Termengah-mengah dia kerana kepenatan berlari. Kembang-kempis hidungnya, cuba bernafas. Oksigen! Dia perlukan oksigen. Dia sudah terbatuk kecil. Sudah lama dia tidak berlari seperti itu sampaikan semput pernafasannya. Tercungap-cungap dia sambil cuba mengatur pernafasan dengan betul. Dia menunduk sambil menekan perutnya yang terasa senak itu. Itulah padahnya apabila berlari selepas makan.

“Kuss semangat kau ni dik. Buat terkejut aku je. Hah kau nak apa!” soal Liana. Terkandung sedikit nada garang pada ayatnya. Atas bawah dia melihat kembarnya yang sedang termengah-mengah itu.

‘Apalah agaknya perkara penting yang dia nak beritahu sampai macam tu sekali adik aku ni berlari?’ soal Liana dalam hati. Liana mengerutkan kening sambil pandangannya masih terhala ke arah Dayana.

“Amboi, garangnya kau kak. Macam ni, aku balik lambat sikit hari ni. Kawan-kawan aku nak buat study group. Aku dah tak upaya nak tolak, kak. Selalu sangat aku mengelat. Beritahu kat mak, aku minta maaf sebab balik lambat sikit hari ni. Aku janji, sebelum pukul lima aku balik.” terang Dayana dengan panjang lebar sambil berperang dengan semputnya itu. Semakin bertambah rasa tercungapnya.

“Hesy, lecehlah kau ni dik. Yalah, nanti aku beritahu mak. Ni betul ke nak study group? Entah-ntah dating dengan sesiapa ke? Kau jangan dik, ingat mak pesan kat kita. Kalaulah mak tahu kau terlibat dalam hal cintan-cintun ni, nahas kau.” Liana cuba memberi peringatan kepada Dayana yang hanya dipanggil adik.

“Eh, eh. Ke situ pula kau merepek kak. Agak-agaklah kau ni. Siapalah yang nak kat aku yang macam Dayang Senandung ni hah. Tak apalah kak, aku pergi dulu. Kau jangan lupa bagitau mak ya.” Balas Dayana yang tanpa berlengah terus mengangkat kaki berlalu. Loceng tamat waktu rehat telah kedengaran.

“Tu ke kembar kau Liana? Lain benar kau dengan dia. Kiranya, korang ni kembar tak seiraslah, ek?” tanya Yati, rakan baik Liana.

“Hmm, tulah Yana kembar aku. Memang kami tak seiras pun. Dia lebih banyak ikut baka belah arwah bapa aku. Aku pula ikut belah mak.” balas Liana sambil tersengih. Sedikit berbangga kerana memiliki kulit yang cerah. Memang dia berbeza dengan Dayana. Sebab itu ramai yang tidak mengecam mereka sebagai pasangan kembar. Tidak seiras langsung.

“Jomlah masuk kelas. Karang tak pasal-pasal kena denda pula kalau lambat.  Dahlah lepas ni kelas Cikgu Natrah. Garang gila cikgu tu.” Ajak Liana. Sedikit gerun bila membayangkan kegarangan cikgu Sejarah mereka itu.


Last edited by wipers81 on 21-4-2014 04:32 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2014 04:48 PM | Show all posts

BAB 4

Kelihatan enam sekawan itu sedang berjalan perlahan menuju ke tempat yang telah dicadangkan oleh mereka. Sebaik sampai, hampir terjegil mata Dayana. Mana tidaknya, turut ada di situ dua jejaka yang sering membuatkannya resah selama beberapa bulan ini. Perangai ‘tok  nenek’ mula menyerang Dayana. Perangai apa lagi kalau bukan kalut. Dayana sudah bertukar menjadi gelabah bukan ‘Incredible Hulk’ ya. Dek kerana terlalu asyik memandang mereka, Dayana tidak sedar ada longkang kecil di hadapan. Apa lagi, terus sahaja dia terpelecok lalu jatuh terduduk ke lantai.

“Aduh...” ayat itu yang terkeluar lantas Dayana memicit buku lalinya.

“Ya Allah, Yana kenapa ni?! Apalah kau ni Yana, mata kau letak kat mana? Tengok, kan dah jatuh. Yana..Yana. Tak habis-habis kau mengundang malapetaka,” bebel Fara lantas menerpa ke arah sahabatnya itu.

Zaki dan Fahim juga turut sama menerpa ke arah Dayana. Raut wajah mereka kelihatan cemas.

“Eh, tak apalah Fara, aku okey. Maaflah aku cuai sangat sampai tak perasan ada longkang kat sini.” balas Dayana cuba menenangkan mereka. Walhal, sedaya upaya dia cuba menutup kegugupan kerana Zaki dan Fahmi sudah berdiri di hadapannya. Kedua-duanya menghulurkan tangan dengan serentak. Semua mata rakan-rakan yang lain kini tertumpu ke arah mereka, silih berganti.

‘Aduh, malunya aku. Kebas dah muka aku ni,’ rintih Dayana. Dia menoleh dan melihat ada tiang di sebelah kanannya. Terus sahaja dia memaut tiang itu, cuba untuk berdiri. Tidak perasan pula Dayana bila tiang itu muncul? Masih sempat lagi dia tersengih walaupun sakit di kakinya kian menyucuk. Dia sempat mengerling ke arah mereka berdua itu, tergambar jelas raut kehampaan di wajah mereka dengan penolakannya  terhadap pertolongan yang ingin mereka hulurkan.

‘Gila! Takkanlah aku nak sambut tangan diorang tu serentak. Ada ke patut? Tak pasal-pasal nanti perkara ni akan jadi bahan usikan pula. Ya Allah, semoga Fara tidak membuka mulutnya, mempersoalkan takdir ini,’ doa Dayana. Sudahlah mereka kini menjadi perhatian.

“Awak okey ke Dayana? Saya tengok muka awak tu berkerut semacam je. Jangan-jangan kaki awak terseliuh tak?” Fahim cuba meneka. Dia resah apabila memerhatikan betapa payahnya gadis itu mahu mengatur langkah, kelihatan pincang benar langkahnya.

Dayana terkejut dengan tekaan dari Fahim, sedangkan tekaannya itu sangatlah tepat. Toing... dia bungkam lalu menundukkan wajah. Tidak mahu Fahim melihat riak wajahnya yang terkejut itu.

“Tak adalah, sikit je.” Balas Dayana. Cuba untuk mengatur langkah semula. Malangnya, sekali lagi dia terpelecok. Auch! Bekerut mukanya menahan kesakitan. Dia menoleh ke kiri apabila terasa lengannya dipaut, rupa-rupanya Fahim. Besar mata Dayana memandang lelaki itu.

‘Ei, kenapalah dia ni suka sangat pegang-pegang aku?’ bentak Dayana. Dia cuba mengawal dirinya supaya bertenang.

“Maaf, saya cuma nak membantu je. Saya rasa, kaki awak tu memang terseliuhlah Dayana. Saya bantu awak duduk ya. Mari...” katanya. Tanpa disuruh, Fahim memapah gadis itu ke pondok di hadapan mereka. Rakan-rakan yang lain hanya memandang sambil menguntum senyum yang penuh makna.

“Terima kasih Mohd. Fahim Hijazi. Saya rasa, awak boleh lepaskan tangan saya sekarang.” Ujar Dayana cuba mengawal nada geramnya. Tidak baik pula marahkan orang yang telah menolongnya tetapi cara jejaka itu yang tidak kena. Hendak ditegur, bimbang kecil hati pula jejaka itu nanti. Tapi apa yang dia buat memang salah dari segi syarak. Dayana membuat isyarat mata pada Fahim yang sedari tadi masih memegang lengannya. Fahim yang sedikit tersentak, lantas meleraikan pegangan tangannya itu.

‘Nasib baiklah berlapik, kalau tak sah-sah tersentuh kulit aku ni.’ Dayana merungut kembali. Dia merasa amat malu. Seumur hidupnya, belum pernah ada lelaki yang memegangnya begitu.

“Maaf, saya tak sengaja Dayana. Saya cuma nak tolong awak je. Tak ada niat lain.” Terang Fahim sekali lagi sambil menahan malu. Dia pun keterlaluan juga kerana tidak hirau akan perasaan gadis itu. Fahim kemudiannya bangun dan mengambil tempat duduk selang beberapa kerusi dari Dayana. Bersebelahannya pula ialah Zaki yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Keruh wajah Zaki ketika itu.

“Ehem! Amboi kau Yana, dalam diam rupanya kau ni ek. Tak sangka aku, ada sang hero datang menyelamatkan kau. Nampaknya cinta sedang berputik ya...” tiba-tiba Fara bersuara mengajuk dengan cara percakapan ala-ala tahun 60-an sambil senyuman yang Dayana anggap senyuman mengejek, terhias manis dibibirnya.

‘Habislah aku macam ni. Kalaulah Fara tercerita pada mak aku, matilah aku. Tak boleh jadi ni. Aku kena cakap dengan Fara ni.’ Omel Dayana sendirian. Dayana menjadi tidak senang duduk dengan usikan Fara itu.

“Memandailah kau ni Fara. Aku mana ada apa-apa dengan Fahim. Ala, dia tolong aku pun sebab kebetulan kan dia berdiri kat sebelah aku. Janganlah kau fikir yang bukan-bukan pula. Jom, kita mulakan study group kita ni. Karang lambat pula habis.” Balas Dayana.

“Pstt... Fara. Aku rasa perkara ni setakat ni ya. Aku tak nak mak aku tahu. Kau faham-faham ajelah mak aku tu, macam mana.” Pinta Dayana dengan nada yang sedikit berbisik.

Fara menganggukkan kepalanya. Walaupun dia sering mengusik Dayana namun dia adalah seorang sahabat yang baik malah rumah mereka pun tidaklah jauh mana. Buka pintu dapur rumahnya maka kelihatanlah pintu dapur rumah Dayana. Sangat dekat dan kalau nak jumpa, hanya panggil sahaja. Selalu mereka bersembang di belakang rumah. Ada kebun kecil di situ milik keluarga masing-masing. Mereka duduk sambil mengambil angin di situ apabila ada waktu lapang di petang hari. Ada ketika, siap berkelah lagi. Kadang-kadang, rakan mereka yang lain pun turut sama menumpang sekaki. Maklumlah, rumah mereka yang lain pun tidaklah jauh sangat. Masih dalam kampung itu juga.

Dayana merasakan denyutan di kakinya kian kuat. Digagahkan dirinya, menyembunyikan kesakitan itu dari pengetahuan rakan yang lain. Tidak mahu tumpuan rakan-rakannya terjejas hanya kerana dia. Setelah hampir sejam setengah, akhirnya perbincangan mereka selesai. Dayana dengan pantas mengemaskan beg sekolah, memasukkan buku ke dalamnya. Sebahagian dari rakannya telah mula meninggalkan pondok tempat mereka berkumpul. Fara dan sahabat yang lain masih menunggu dirinya yang sedang terkial-kial mengatur langkah. Setiap kali melangkah, sakit di kakinya makin rancak berdenyut. Dia cuba juga untuk bertahan.

‘Nampak macam cedera teruk pula kaki Dayana ni?’ bisik Azreena. Masih leka dia memandang ke arah temannya itu yang sedang berjalan terhencut-hencut.

“Kau boleh jalan ke Yana? Risau aku dengan kaki kau. Tulah, tadi berlagak sangat kata sikit je. Ni, macam mana kau nak jalan? Terhencut-hencut dah macam orang OKU je aku tengok kau. Kalau macam ni gayanya, senja pun belum tentu kita sampai.” Bebel Azreena yang bermulut laser itu. Sempat lagi dia memerli rakannya itu.

‘OKU dikatanya aku. Cess, sabar ajelah.’ Gerutu Dayana dalam hati. Walaupun sedikit geram, tetap sahaja dia tersengih. Malas nak bertikam lidah dengan sahabatnya itu kerana yang pasti dia akan kalah juga.

“Boleh kot kalau jalan pelan-pelan. Kalau kau nak balik dulu, pergilah. Janganlah risaukan aku, okey. Takut nanti kena marah dengan mak kau pula sebab tunggu aku yang lambat ni.” Balas Dayana kemudiannya.

Lantas satu cubitan hinggap di lengannya sebaik sahaja habis dia berdialog.

“Adoi, sakitlah mak ketam oi! Ish, dah macam ketam nak salin kulit je aku tengok kau ni Azreena.” Bebelnya sambil mengaduh. Mahunya tidak sakit. Sudahlah kuku Azreena itu panjang. Sabar sajalah Dayana dengan Azreena. Dia menggosok lengannya yang terasa pedih itu.

“Amboi, macamlah kau pernah tengok ketam nak salin kulit. Dah, kau jangan nak mengada. Kau ingat, aku ni jenis pentingkan diri ke? Tak ada maknanya tau mak aku nak marahkan aku. Alah, macamlah kau baru kenal dengan mak aku tu, sayang sangat kat anak angkat dia ni. Kalau dia tau kaki kau tengah sakit macam gini, mahunya dia suruh abang aku jemput kita balik tau.” kata Azreena

“Eleh, cemburulah tu. Yalah, yalah, aku minta maaf. Okeylah, jom kita jalan sama-sama. Tapi, kau jangan marah kalau aku lambat. Fara dengan yang lain dah ke depan. Jomlah, karang lambat pula nak sampai rumah.” Dayana memujuk Azreena sambil memaut lengan rakannya itu.

Anak manja memang begitu. Sudah jadi tabiatnya suka merajuk. Macam mana tidak manja, hanya dia seorang saja anak perempuan dalam keluarganya. Sudahlah tu, anak bongsu pula. Hampir semua yang Dayana kenali berstatus anak bongsu memang begitulah perangainya.

Dayana kemudiannya berjalan perlahan menyaingi Azreena. Sakit di kakinya, hanya Tuhan yang tahu. Dia cuba juga untuk bertahan. Satu peperangan sedang melanda hatinya. Memikirkan apa yang perlu dijawab pada emaknya bila sampai di rumah nanti? Mahunya tiga hari tiga malam dia dibebel oleh emaknya, Zakiah.

Last edited by wipers81 on 21-4-2014 04:57 PM

Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-4-2014 12:09 PM | Show all posts
Nice... sila sambung lg TT
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-4-2014 02:37 PM | Show all posts

BAB 5

            Betul seperti apa yang diteka oleh Dayana tadi. Sampai sahaja di rumah, emaknya amat terkejut melihat dia yang berjalan terhencut-hencut itu. Merah telinga Dayana mendengar bebelan emaknya. Mujur tidak bernanah telinganya itu. Nak buat macam mana, sendiri yang cari sakit. Liana hanya mampu menggeleng. Mujurlah emak mereka tahu juga mengurut sikit-sikit. Bukan kata seribu tetapi rasa macam berjuta kerutan di muka Dayana yang sedang menahan kesakitan ketika kakinya diurut oleh emak.

            “Sebab tulah ada pesanan, berhati-hati di jalan raya! Ni tak, kau main redah je. Apalah nak jadi ngan ko ni dik? Tak habis-habis dengan perangai cuai ko tu. Kalaulah longkang tu besar, ish… ’selisih malaikat 44’. Tak boleh mak nak bayang apa yang jadi kat ko. Mahunya patah kaki kau ni tau tak!” bebel Zakiah. Dia bersyukur tiada kejadian yang lebih buruk menimpa anaknya itu.

            “Alah mak ni, adik bukannya sengaja. Sungguh, adik tak perasan ada longkang kat depan masa jalan tadi. Nasib baik Fara dengan Azreena ada sama. Jangan risaulah, esok baiklah kaki adik ni.” Balas Dayana.

           “Hah menjawab cakap mak! Tulah, kan mak pesan lepas sekolah, balik. Ni, ke mana ko melencong? Hah, itulah berdosa dengan mak lagi. Kan dah dapat balasan. Adik..adik,” kata Zakiah sambil menggelengkan kepalanya.

            Buk! Seperti seketul batu besar telah menghempap Dayana ketika ini. Terasa berbakul dosanya terhadap emak. Dia tidak bermaksud langsung mencipta dosa terhadap emaknya itu. Sempat lagi emak menghadiahkan satu cubitan yang berbisa ke pahanya.

           “Aduh, sakitlah mak. Adik minta maaflah. Mana ada melencong ke mana. Tadi, kami ada buat study group. Kalau tak percaya, tanya Fara tak pun Azreena. Diorang ada samalah dengan adik tadi. Kan adik dah pesan kat kakak, dia beritahu mak tak?” Semput Dayana menerangkan segalanya kepada emak. Satu jelingan diberikan oleh emak kepadanya.

            ‘Amboi tajamnya jelingan mak aku ni. Apalah nasib aku hari ni? Siang tadi kena cubit dengan Azreena, malam ni dengan mak pula. Hai nasib badan.’ keluh Dayana. Dayana melihat muka ketat emaknya semakin kendur.

            “Memanglah dia ada beritahu mak. Hmm, ahlah! Lain kali jangan buat macam ni. Tak apalah, kalau ko balik lambat lepas ni, mak faham. Tapi ingat, jangan nak merepek ke lain pula. Satu lagi, kau kena ingat, jangan nak ambil kesempatan pulak buat benda lain. Kalau mak tahu siap ko! Mak maafkan anak mak ni dan sebagai denda, ko kena tolong mak jahitkan tulang belut baju kawan mak ni. Dia nak sangat ko yang jahit.” Akhirnya Zakiah beralah.

            “Jahit pun jahitlah mak. Orait mem. Sayang mak,” jawab Dayana mengangkat tabik dan kemudian memeluk emaknya. Dengan automatik, sakit di kakinya terasa hilang sedikit.


Keesokan harinya...

             Liana merapati tilam yang terdampar tubuh Dayana di atasnya. Adik kembarnya itu kelihatan masih enak mengerekot, memeluk tubuh di atas katil usang yang menjadi medan peraduan mereka saban malam.

             “Adik, bangunlah. Dah lambat ni. Kau nak pergi sekolah ke tak?” Liana mengejutkan kembarnya. Dia sudah bercekak pinggang sekarang.

             “Apa pasal kau liat sangat nak bangun dik. Cepatlah,” kejut Liana lagi. Bergoyang-goyang tubuh Dayana ditolak lembut oleh Liana. Bengang juga dia dengan perangai kembarnya pagi ini. Selalunya, elok sahaja Dayana bangun. Awal dari dia lagi. Tapi hari ni, lain pula jadinya. Tidak pernah pula Dayana begitu.

            “Adik..” panggil Liana lagi. Lambat-lambat dia melihat Dayana membuka mata dan kini kembarnya sedang bersila sambil menggeliatkan tubuh.

             “Macam mana aku nak pergi sekolah kak? Kaki aku ni, sengal sangat. Kau tengok, bengkak pula tu?” Kata Dayana yang sudah duduk di birai katil. Ditundukkan kepalanya, membelek kaki kanan yang sedang membengkak itu.

             “Entah-entah bentan agaknya kaki kau tu dik? Kalau sakit sangat, cuti ajelah. Lagi pun, hari ni hari Jumaat. Esok, lusa cuti. Rehat ajelah kat rumah. Nanti mak tulis surat kat cikgu ko.” Kata Zakiah yang turut sama membelek kaki Dayana yang kelihatan bengkak itu. Liana meninggalkan emak dan Dayana di situ. Dia mahu bersiap.

            “Yalah mak. Eh, adik tunggu kat luar sekejap ya mak. Karang kawan-kawan adik tertunggu-tunggu pulak. Kesian kat diorang nanti.” Kata Dayana dan dengan perlahan dia bangun dari katil. Dia mengatur langkah dengan berhati-hati. Bimbang jika terpelecok lagi. Liana sedang memakai kasut sekolahnya di muka pintu.

            “Kak, kawan-kawan aku dah sampai ke?” Liana sedang memakai kasut sekolahnya di muka pintu, ditanya. Dayana lantas duduk di kerusi yang berada di sebelah kembarnya itu.

            “Tak apalah, kalau terjumpa diorang nanti aku beritahulah yang kau kena cuti hari ni. Dah, pergi masuk berehat. Nanti, lagi bengkak teruk kaki kau tu. ” balas Liana. Lantas dia bangun dan menepuk-nepuk bajunya yang sedikit renyuk itu. Dia menyalam tangan emak, kemudiannya berlalu pergi.  

            “Mak, bosanlah duduk je kat rumah. Ada apa-apa ke mak nak adik buat?” soal Dayana yang mahu menjadi anak solehah. Dia melihat emak duduk di mesin jahitnya. Tekun dia perhatikan emaknya yang sedang menjahit baju pelanggan. Emak mengangkat muka, memandangnya.

            “Ko buatlah apa yang patut dik tapi janganlah kerja yang berat. Karang bertambah sakit kaki ko tu. Tu kat dapur, mak dah rendam ikan pari. Ko masak asam pedas ye. Sayur kubis yang ada kat dapur tu, ko masaklah apa pun.” Balas Zakiah lalu kembali menyambung kerjanya.

            “Okey.” Dayana berlalu pergi. Niat di hati yang pada awalnya mahu ke dapur dilencongkan ke kamar tidurnya.


            Sementara di sekolah...

              Loceng telah berbunyi menandakan waktu persekolahan bermula. Fahim berasa sedikit resah. Panjang lehernya mengintai ke arah kelompok pelajar perempuan di kanannya. Wajah yang dicari sejak dari tadi langsung tidak kelihatan. Dia memandang lagi ke arah kumpulan pelajar perempuan itu. Entah sudah berapa kali dia menoleh ke sana.

             ‘Tak ada juga. Tak datang ke dia hari ni? Teruk ke seliuh kat kaki dia?’ soal Fahim dalam hati. Dia langsung tidak perasan yang dia sedang diperhatikan oleh seseorang.

             “Amboi-amboi kau Fahim. Terjenguk-jenguk dari tadi aku tengok. Kau cari buah hati kau ke?” soal suara itu.

             ‘Mana pula datangnya suara tu?’ soalnya. Dia menoleh ke belakang. Terbesar biji matanya melihat Sofia sedang tercegat berdiri di belakangya. Terlalu asyik mencari seseorang, langsung dia tidak perasan ada orang di belakangnya.

             “Merepeklah kau ni Sofia. Mana ada, aku saja buat senaman leher hari ni.” balas Fahim kemudian tersengih. Cepat-cepat dia melangkah ke hadapan sedikit kembali bersama kumpulannya.

            “Uish, boleh tahan loyar buruk juga mamat ni.” Bisik Sofia.

            ‘Patutlah Dayana minat kat kau selama ni, Fahim. Nasib baik aku dah ada si jantung hati, kalau tak...’ desis Sofia. Terserlah ketampanan jejaka itu saat dia meraup rambutnya ke belakang. Mata Sofia terhala terus ke arah Fahim. Leka seketika dia. Sebaik melihat jejaka itu terpisah semula dari kumpulannya, Sofia merapati Fahim.

             “Tak payah seganlah dengan aku, Fahim. Dia tak datang hari ni. Azreena kata, kaki Yana bengkak jadi mak dia suruh cuti hari ni. Kalau kau rindu kat Yana, pergilah jenguk dia.”  Cadang Sofia.

             “Ada-ada je kau ni Sofia. Tak apalah, aku gerak dulu.” Pantas Fahim bergerak meniggalkan Sofia yang tersengih macam kerang busuk.

              ‘Fahim, Fahim. Kalau betul kau rindu, luahkan jelah. Tak nak selindung lagi. Jangan kau jadi macam Yana, sampai sekarang dia pendam je perasaan dia pada kau. Hai, nasib korang berdualah.’ Kata Sofia sendirian dan dia kemudiannya mengatur langkah menuju ke kelas bersama dengan yang lain.



Kaki Dayana kian beransur pulih. Teruk juga dia bertarung dengan perasaan bosannya selama tiga hari ketika di rumah. Ternyata, pagi ini girang di hati Dayana kerana dapat juga keluar dari kepungan kebosanan yang melandanya itu.

            “Fara, aku ada bawak karipap pusing hari ni. Kau tolong agihkan ya.” Pinta Dayana. Dihulurkan bekas karipap yang dipegangnya kepada Fara. Dari dalam bas lagi, Azreena sudah membebel padanya kerana sanggup memegang bekas karipap yang agak besar itu. Dia terkenang kembali perbualannya dengan Azreena tadi.

            “Hish, sanggup kau pegang bekas ni. Kalau akulah, kirim salam je. Tak ke seksa diri kau tu Yana? Mana nak naik bas, nak pegang bakul tu lagi. Dahlah hari ini muatan penuh bas yang kita naik.” Rungut Azreena sebaik melihat dengan susah payah temannya itu berdiri sambil memegang bekas besar yang berisi kuih karipap pusing itu.

            “Nak buat macam mana Azreena. Dah berniat nak buat kenduri hari ni. Penat aku buat karipap pusing ni tau.” Balas Dayana. Dalam Azreena membebel padanya, sempat lagi dia menyental dua biji kuih karipap hasil air tangannya itu. Khayalan Dayana pecah apabila,

            “Wah, sedapnya karipap ni. Mak awak buat ke Dayana?” soalnya. Memang sedap!

            “Bukan mak dialah yang buat Fahim. Kalau kau nak tahu, Yana ni pakar buat karipap pusing tau. Ni, dia kelim karipap dengan tangan bukan pakai acuan. Bukan takat karipap je memasak, menjahit, pendek kata macam-macam lagilah yang dia pandai buat. Korang tak pernah lagi rasa asam pedas Yana. Tiba-tiba, lapar pula perut aku ni Yana bila terkenangkan asam pedas kau tu. Untung siapa yang kahwin dengan dia nanti.” Berjela-jela pujian dari Fara.

            ‘Hai, lebih-lebih pula Fara. Nasib baik aku ni jenis yang tak makan pujian. Agak-agaklah kalau nak puji pun.’ Gumam Dayana dalam hati. Disikunya Fara.

            Fara tersentak sedikit, menoleh, memandang wajah temannya dengan senyuman sumbing terukir di bibir. Kedua keningnya terangkat, berkali-kali. Yalah, dah memang betul semua itu kepakaran Dayana. Takkan dia mahu nafikan pula.

            “Ya ke Fara? Bertuahlah siapa yang kahwin Yana, kan? Kalau sudi, esok bawalah lagi. Kalau hari-hari awak buat kenduri macam ni, mesti seronok kan?” suara itu mencelah.

            Mata Dayana sudah dijulingkan ke atas. Wajah masam mencuka ditarik dan mulutnya dicebik. Cukup semua rencah untuk rasa JENGKEL!

            ‘Ekeleh, mamat sengal ni. Kalau ya pun, takkanlah hari-hari nak makan karipap yang aku buat. Agak-agaklah?’ Rungut Dayana perlahan. Malas mahu melayan kerenah Zaki terus sahaja dia mengangkat kaki dan duduk semula di kerusinya.

             ‘Zaki, Zaki. Tak habis-habis nak menyakat Yana.” Gerutu Fahim.

             Dia memandang wajah yang sering membuatkan lenanya terganggu. Seperti ada tarikan pada wajah itu. Memang Dayana berkulit gelap tetapi sangat manis orangnya. Hidungnya yang mancung. Mata yang sedikit bulat dengan alis matanya yang lebat terlindung di sebalik cermin matanya. Apabila dia tersenyum, tersangatlah manis dan dia perasan gadis itu mempunyai lesung pipit di sebelah kiri pipinya. Tapi entah kenapa, sangatlah jarang bagi Dayana menyedekahkan senyuman manisnya. Seolah-olah, ada sesuatu yang menghalang. Fahim juga perasan, sejak akhir-akhir ini, rakannya Zaki juga seolah-olah cuba menarik perhatian Dayana.  

             ‘Hai, nampaknya aku ada persaing sekarang. Tak boleh jadi ni.’ Desis hati Fahim yang masih lagi leka memandang gadis itu.

Last edited by wipers81 on 24-4-2014 03:02 PM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-4-2014 05:33 PM | Show all posts

BAB 6

            “Okey semua. Hari ni Cikgu Zaleha minta kita berkumpul kat depan perpustakaan. Dah jom lekas, beratur kat luar sana.” Selaku ketua kelas, Zaki memberi arahan yang diberi oleh guru Geografi mereka. Apa lagi sudah nama pun arahan, haruslah dipatuhi dan kini mereka sekelas sudah berdiri terpacak di hadapan perpustakaan sekolah.

            “Mesti awak semua terkejutkan kenapa saya suruh ke sini? Sebenarnya, hari ini giliran kelas kamu untuk membuat ‘rondaan’ di sekolah ni.” Katanya sebaik melihat semua pelajar tersebut berdiri di hadapannya.

            Barulah mereka faham akan maksud arahan Cikgu Zaleha. Apa lagi, dengan serentak mereka bersorak. Mana tidaknya, semalam giliran kelas 3 Arif membuat ‘rondaan’ dan hari ini tiba giliran untuk kelas mereka pula. Ia bermaksud program gotong-royong mengutip sampah di sekeliling sekolah. Turut dinamakan, program keceriaan sekolah. Lagipun, sekali-sekala mereka menolong pakcik tukang kebun sekolah, apa salahnya. Mereka semua bergerak mengikut kawasan yang telah ditetapkan.

            “Ish kau ni Yana. Kan cikgu kata kutip sampah yang pergi kau petik bunga tu kenapa? Kalau bunga ros tak apalah juga, ni bunga lalang. Tak faham aku dengan kau ni Yana.” Panjang muncung Sofia.

            “Aku tarik juga muncung kau tu nanti. Memanglah bunga lalang, tapi aku suka. Tengok, bila kena tiup angin, terlentok sana terlentok sini. Cantik je aku tengok,” balas Dayana. Dengan gaya yang sedikit menggedik dibuat untuk menggambarkan rasa terujanya kepada Sofia. Sebuah senyuman manis telah dia kuntumkan kepada Sofia. Tanpa Dayana perasan, sepasang mata sedang memerhatikan gelagatnya itu. Pemilik mata itu kelihatan tersenyum melihat telatah gadis hitam manis yang semakin menarik perhatiannya kebelakangan ini.

            “Ah sudah, jangan kau nak menggoda aku pulak. Tak ada maknanya pada aku tau. Pergi kau goda orang lain,” balas Sofia sambil mencebik sedikit mulutnya. Nadanya pula seolah dalam drama, umpama sedang dalam babak lakonan pula mereka berdua itu.

            “Amboi, kau siap cebik mulut kat aku ya. Alah, memang dah tergodalah tu.” Balas Dayana lalu tertawa kecil. Geli hatinya dengan gelagat Sofia.

            Sofia menjelirkan lidahnya. Tidak mahu terus-terusan melayan Dayana nanti apa kerja pun tidak selesai. Agak terleka seketika Dayana memerhati liuk-lentuk bunga lalang yang dikutipnya itu apabila ditiup angin. Dia sedang tenggelam di dalam dunianya sendiri dengan keasyikan itu. Terlupa seketika Dayana akan tujuan mereka berada di situ.

            “Er, Yana. Nah, ni saya buatkan khas untuk awak. Saya tengok dari tadi seronok awak petik bunga tu.” Tegur jejaka itu. Lantas dihulurkan bunga yang di dalam genggamannya pada Dayana.

            ‘Siapa pula yang berani menganggu mood baik aku waktu ni.’ Bisik Dayana. Dia berpaling. Terkejut bukan kepalang dia apabila melihat Zaki sedang berdiri tegak di belakangnya. Sedang di tangan Zaki pula kelihatan sejambang bungan lalang.

            ‘Nasib baiklah kulit aku ni gelap. Kalau tak, sah-sah nampak merah kulit muka aku ni menahan malu. Dia ni ada kuasa magik ke? Macam mana dia tahu aku sukakan bunga tu?’ soal Dayana dalam hati.

            “Nahlah,” kata Zaki lagi setelah agak lama dia menanti respon dari Dayana. Sekali lagi dihulurkan jambangan bunga itu.

            “Awak ni demam ke Zaki? Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba je bagi saya bunga?” soal Dayana. Sudah kedengaran suara gelakan sumbang dari belakangnya. Dayana sudah disapa rasa malu.

            “Hai malu-malu pula kau ni Yana. Ambil jelah, orang dah nak bagi tu.” Usik suara itu. Siapa lagi kalau bukan Fara. Rakan-rakan yang lain pula sedang tersenyum sumbing dah macam kambing pun ada.

            ‘Sabar, sabar Yana. Ikutkan hati, ada yang kena sekeh dengan aku nanti.’ gerutunya sendirian. Dayana tersenyum kelat.

            “Zaki, saya ni bukan lembu okey. Ingat boleh makan ke bunga-bunga tu?” ujar Dayana setelah keadaan sepi beberapa saat. Bertambah kuat ledakan suara-suara yang sedang menggelakkannya. Dayana semakin kuat menggigit bibir bawahnya. Sudah semakin berani pula dia menuturkan kata-kata itu kepada Zaki. Padahal, dihentam sahaja dialognya. Sebab itulah lembu pun boleh masuk dalam ini cerita. Dia hampir tergelak namun cuba ditahan. Bimbang andai jejaka di depannya itu mengatakan dia sewel pula.

            “Kalau lembu, dah lama saya tolong suapkan dalam mulut lembu tu, senang sikit. Lembu tu kunyah terus je, tak payah nak meragut rumput dah. Dan yang penting sekarang ni, adakah saya suruh awak makan bunga-bunga ni?” balas Zaki sambil tersengih.

            Toing! Kan dah kena sebiji. Padan muka Dayana dan terus sahaja dia menjulingkan matanya ke atas. Konon pandai sangat nak berhujah dengan Zaki, akhirnya dia yang terkena kembali. Dia mengetap giginya pula.

            ‘Nak marah pun, salah aku juga yang keluarkan kenyataan sengal tu dulu. Hah, kan dah kena batang hidung aku sendiri. Memang padan pun dengan muka aku.’ Bisik Dayana geram. Geram dengan dirinya sendiri.

            “Apa-apa jelah,” balasnya setelah agak lama mendiamkan diri. Membiarkan Zaki terpinga-pinga di hadapannya. Rasanya bukan setakat panas sahaja tetapi sudah macam nak jadi bara api wajahnya itu menahan malu. Boleh pula Zaki hanya menyengih, sudah macam kambing da. Dayana mula mengatur langkah untuk berlalu meninggalkan lelaki itu tanpa mengambil jambangan bunga tersebut. Sebaik saja dia berpusing, tengg! Bunyi yang terhasil saat dahinya berlaga dengan tiang.

            ‘Sejak bila pula tiang ni ada kat sini? Aduh, rasa macam nak pitam pula aku. Tahan Dayana, tahan. Kawal sikit keayuan kau tu.’ dia cuba bertenang. Tangan kanannya sedang memegang dahi. Kini, Dayana sedang berperang, melawan kesakitan di dahinya.

             “Ya Allah, Dayana. Tiang pula yang dia langgar! Macam-macamlah buah hati aku yang sorang ni.” Ucap suara itu.

             Walaupun ayat yang di belakang itu perlahan dituturkan, telinga Dayana masih boleh menangkap setiap butir patah perkataan tersebut. Dia menelan air liur. Fahim mendekatinya kemudian tangan kanan lelaki itu cuba menyentuh bahu Dayana.

             “Eh, tak apalah Fahim. Saya okey, boleh bangun sendiri..” tutur Dayana, mengelak sentuhan dari lelaki itu. Dia kemudian meleraikan pautannya pada tiang itu setelah dapat berdiri dengan seimbang.

             ‘Nasib baiklah aku terhantuk perlahan. Kalau tak, mahu benjol kepala aku ni.’ Desis hatinya. Dayana menggosok perlahan dahinya yang terasa kebas itu. Dia terpandangkan Zaki sedang berlari-lari anak menuju ke arahnya.

             “Yana, Yana. Kenapalah sinonim sangat perangai kalut dengan awak? Kalaulah saya bagi sejambak bunga ros kat awak tadi, rasanya dinding pun awak akan langgar. Gelabah tak hengat betullah awak ni.” Boleh pula Zaki ketawa sampai terbahak-bahak. Namun jauh di sudut hati terselit juga rasa bimbang jika gadis itu terhantuk kuat tadi.  Ingin sahaja dia membelek dahi Dayana, memastikan ada bengkak atau tidak yang muncul.

             ‘Kalau bukan kau punya pasal, tak adanya aku langgar tiang ni, Zaki oi,’ gerutu Dayana dalam hati. Rasa geram mula terbit dalam dirinya kali ini geram pada pemuda itu.

             Fahim menjeling sekilas ke arah sahabat baiknya itu. Patutlah gadis pujaan dia terlanggar tiang, rupa-rupanya Zaki yang punya kerja. Entah bila pula Zaki mengutip bunga-bunga itu. Bunga lalang pula tu, tidak pernah dibuat orang. Dia menggelengkan kepala sebaik terpandang jambangan bunga di tangan Zaki. Dengan pantas Zaki melemparkannya ke tanah dan tersengih ke arah Fahim sambil mengangkat jari telunjuk dan jari hantunya membuat tanda ‘peace’.

             ‘Sabar ajelah aku dengan perangai Zaki ni. Apalah agaknya motif dia bagi bunga hati pengarang jantung aku tu. Tak boleh jadi ni! Dia pun nak mengurat Yana ke? Habis aku macam mana? Takkanlah nak berdiam diri je.’ Fahim memulakan sesi soal-menyoal dalam hatinya.

             “Dahlah tu Zaki. Kesian pula aku tengok Yana. Mari Yana, saya bantu awak duduk kat sana.” Ujar Fahim sambil menunjukkan jarinya ke arah kerusi yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Ikutkan hati mahu saja dia memapah gadis itu tetapi sudah pasti gadis itu akan menolak pertolongannya.

              Sofia yang dari tadi hanya diam sahaja mula merapati Dayana lantas menarik lengan sahabatnya itu. Dayana hanya menuruti sahaja. Terasa kebas dahinya saat ini.

              ‘Boleh hilang ingatan tak kalau cedera macam ni? Dah mulalah aku nak merepek. Ish, dah biul ke aku ni? Ya Allah, aku muda lagi. Masih banyak perkara yang belum tertunai lagi.’ Dayana yang bermonolog itu mula merapu yang bukan-bukan. Dalam pada dia yang sedang menahan kesakitan itu sempat lagi menyengih.

              “Eh, eh kau ni Yana. Siap sengih lagi kau dalam sakit macam ni. Nasib baik tak benjol dahi kau tu. Kau ni Yana, kalauya pun kau teruja sebab dapat bunga, janganlah kau pergi cium tiang tu. Tak habis-habis kau ni Yana. Kaki kau tu, baru je nak baik ni kau tambah pula kat dahi. Esok-esok ni, kat mana pula tak taulah aku,” Sofia mula membebel sambil menelek dahi temannya itu.

              Boleh tahan juga apabila Sofia mula berleter. Dayana hanya mampu menadah telinga sahaja. Sepatah pun dia tidak menjawab kata-kata Sofia. Melarat nanti, susah dia. Bimbang pula jika Sofia menjadi seperti ‘jenis’ emaknya yang berleter hingga susah mahu berhenti.

            Sepanjang hari fikiran Dayana asyik teringat akan peristiwa tadi. Gelagat Zaki sedikit sebanyak meresahkan dan merimaskannya. Tambahan pula, sepanjang berada di dalam kelas hari ini, Dayana dapat rasakan Zaki dan Fahim sering mencuri pandang padanya. Rimas pula dia dengan mereka berdua itu. Kegelisahannya semakin berganda dengan ayat yang terkeluar dari mulut Fahim tadi. Masih terngiang-ngiang di telinga Dayana hingga kini.


Last edited by wipers81 on 24-4-2014 05:42 PM

Reply

Use magic Report

Post time 24-4-2014 06:29 PM | Show all posts
menarik jugak... saya hanya suka baca karya orang sbb saya tak pandai nak menulis novel atau cerpen mcm ni...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-4-2014 08:33 AM | Show all posts
Zamzam2013 posted on 24-4-2014 06:29 PM
menarik jugak... saya hanya suka baca karya orang sbb saya tak pandai nak menulis novel atau cerpen  ...

Terima Zamzam2013 sebab sudi baca karya saya ni. Yalah, saya pun dulu suka baca novel orang. Tapi sekarang aktiviti membaca karya orang agak terhad sikit. Gigih nak siapkan manuskrip saya.

Reply

Use magic Report

Post time 25-4-2014 08:38 AM | Show all posts
wipers81 posted on 25-4-2014 08:33 AM
Terima Zamzam2013 sebab sudi baca karya saya ni. Yalah, saya pun dulu suka baca novel orang. Tapi  ...

good luck for u... keep up the good work
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-4-2014 09:13 AM | Show all posts

BAB 7

            “Hai, menung panjang nampak anak aku ni?” suara itu menyentakkan Dayana. Pantas dia menoleh ke arah empunya suara itu.

            “Makcik. Terkejut Yana.” Ujarnya sambil tangan melekap di dada. Mujur baik dia tidak meloncat tadi kerana terkejut.

            “Apa kau buat kat sini sorang-sorang Yana?” soal Hasnah. Duduknya sudah dilabuhkan di sisi gadis itu.

            “Saja ambil angin,” jawab Dayana kemudian menyambung

            “Azreena mana?’ soalnya pula.

            “Ada kat rumah. Masa makcik keluar tadi, dia ada kat dalam bilik. Asyik terperap je hari ni.” Balas Halijah, matanya memandang kebun kecil milik Zakiah di hadapan.

            “La, Kak Jah ke. Dah lama sampai? Apa pasal hari ni duduk kat belakang pula? Jomlah kita lepak kat depan sana. Sini kan tempat anak-anak muda lepak.” Tegur Zakiah sebaik menjengulkan wajah di sebalik pintu dapur rumahnya.

            “Aku pun macam anak kau juga, saja ambil angin kat sini.” Hasnah memandang wajah anak angkatnya. Mereka saling berbalas senyuman pula. Belakang kepala Dayana, diusap.

            “Makcik nak minum?” soal Dayana. Pandangan mereka bersatu. Dayana mengerutkan kening.

            ‘Lain benar pandangan Makcik Jah hari ini.’ desisnya. Jelas kelihatan riak sayu tergambar di wajah wanita itu.

            “Biasa ya Yana, kopi. Makcik kalau sehari tak kena kopi yang kau buat, tak boleh duduk aku. Tak tahulah apa yang kau taruk dalam kopi tu sampai aku ketagih.” Dayana hanya tergelak kecil. Sudah lali telinganya mendengar kata-kata itu. Dia bangun, wanita itu ditinggalkan bersama emaknya.

            “Kenapa ni Kak Jah?” soal Zakiah sebaik melihat jirannya itu seperti kemurungan.

            “Entahlah Yah. Seminggu dua ni, aku rasa semacam je. Sayu sangat-sangat hati aku ni. Aku ada benda nak cakap kat kau ni Yah.” Zakiah mula mengerutkan keningnya.

            “Apa dia kak?” wajah Halijah kini menjadi tatapannya. Dia mendengar wanita itu mengeluh panjang.

            “Aku rasa hidup aku ni tak lama dah. Aku nak kau tengokkan Ina bila aku dah tak ada nanti. Dahlah dia sorang je anak perempuan yang aku ada.” Air matanya kelihatan bergenang. Nada suaranya juga sedikit sebak.

            “Apa Kak Jah merepek ni?” dahi Zakiah semakin berganda lipatannya.

            “Mati tu pasti Yah.” Mendatar nada dari Halijah.

            “Yalah, semua orang tahu tu kak tapi,”

            “Yah, tolong akak ya. Jangan lupa pesan akak tu.” Hasnah memotong percakapan Zakiah. Dia tahu Zakiah mahu mengatakan sesuatu tetapi dia tidak mampu untuk mendengarnya lagi. Masa terasa semakin suntuk, baginya.

            “Insya Allah kak. Yah akan buat.” Zakiah juga malas mahu memanjangkan isu itu. Senyuman kelihatan terleret di bibir tua Hasnah. Dia tahu, Zakiah memang boleh diharapkan.

            “Airnya makcik. Jemput minum..” pelawa Dayana. Slurp... bunyi hirupan yang terhasil oleh wanita itu. Dayana hanya melebarkan senyuman dengan telatah emak angkatnya itu.

            “Nilah air kopi kau yang terakhir makcik rasa Yana.” Keluar kata-kata itu dari mulutnya. Dayana pantas sahaja memalingkan wajah.

            “Kenapa cakap macam tu makcik?” soal Dayana.

            “Saja. Dahlah Yah, aku balik dulu. Ingat pesan aku tu.” sedikit bersusah payah Halijah cuba berdiri. Dia hanya melangkah pergi sebaik melihat anggukkan dari Zakiah. Dayana hanya memandang gelagat dua orang dewasa itu, silih berganti. Akhirnya, bahu dijongketkan.
           


Dayana telah dikejutkan dengan berita yang sangat menyedihkan. Makcik Halijah, merangkap emak angkatnya telah kembali ke rahmatullah. Innalillahiwainnailaihirojiun. Pilu hatinya saat melihat Azreena yang sedu-sedan menangis. Kasihan Azreena. Baru beberapa hari lepas emak Azreena bertandang ke rumahnya.

             “Mak ingat, Makcik Jah kau cuma bergurau je hari tu,”

             “Apa mak cakap ni?” Dayana menyoal kehairanan tanpa sempat emaknya habis bercakap.

             “Hari tu, dia ada pesan kat mak suruh tengokkan Azreena kalau dia dah tak ada. Memang dia merepek sangat kebelakangan ni. Macam tak percaya, Makcik Jah ko dah tinggalkan kita.” Dengan hujung jari, Zakiah mengesat air mata yang terbit dari tubir matanya. Dayana juga turut ditempias dengan rasa sebak.

             “Malam ni mak izinkan adik tido kat rumah Azreena. Kesian mak tengok dia.  Ko pujuklah dia dik. Mak tengok dari tadi dia tak nak makan.” Ujar Zakiah. Dia baru sahaja pulang setelah selesai semua urusan berkaitan jenazah emak gadis malang itu. Zakiah melihat anaknya mengangguk. Tidak pernah sekali dia menyekat hubungan antara mereka berdua. Zakiah kenal akan Azreena yang sangat akrab dengan Dayana sejak dari sekolah rendah lagi. Sudah seperti saudara kandung mereka berdua itu.

             “Yalah mak. Nanti adik pujuk dia.” Balasnya. Dayana memahami akan keadaan Azreena. Sedangkan kepiluan semasa bapanya meninggal dulu pun masih terasa hingga kini. Nampaknya, dia perlu menjadi tunjang kepada Azreena.

             Dayana kini telah berada di rumah Azreena. Betapa lemah dia melihat Azreena yang sedang berada di dalam kemurungan itu. Asyik sahaja sahabatnya itu dengan tangisannya. Dari dia sampai hingga sekarang, air mata tidak pernah lekang darinya. Gadis malang itu, benar-benar diruntun pilu. Jiwa dukanya terus dilayan. Dayana mendekati Azreena sedang di tangan menatang sepinggan nasi dan sebelah tangan lagi memegang gelas berisi air masak. Dia sudah duduk di sebelah sahabatnya itu. Bahu sahabatnya disentuh.

             “Azreena, marilah makan. Jom, aku temankan kau.” ujarnya.

             “Aku tak lapar Yana.” Jawab Azreena.

             “Janganlah macam ni. Makanlah, sikit pun tak apa.” Pujuknya lagi.

             “Aku tak selera. Tak tertelan nasi tu bila muka mak aku asyik terbayang je kat mata ni.” Balas Azreena. Air mata sudah berjuraian, mengalir deras membasahi kedua pipinya.

             “Sabarlah. Mak kau mesti sedih tengok kau meratap sampai macam ni. Aku kan ada. Aku janji, aku akan selalu kat sisi kau selagi hayat aku dikandung badan,” kata Dayana sambil menyuakan sepinggan nasi kepada sahabatnya yang kelihatan sangat lesu. Sedikit sebak nadanya saat menuturkan ayat yang terakhir itu. Lagi deras dia mendengar raungan Azreena. Sudahlah kawannya itu sedang bersedih, boleh pula dia menambah lagi kesedihannya tanpa disengajakan. Azreena merebahkan badan, kepalanya pula dilentokkan ke riba Dayana.

             “Entahlah Yana. Aku tak tahu macam mana hidup aku lepas ni. Aku sedih sangat. Tak sangka, secepat ni mak pergi tinggalkan aku.” Dia kembali menangis, teresak-esak di ribaan Dayana.

             Dayana hanya mampu mendengar luahan hati sahabatnya itu. Dia mengusap kepala sahabatnya dengan lembut. Semalam, elok sahaja dia tengok Makcik Halijah tu. Tup tup, pagi ni dapat berita yang emak angkatnya itu telah meninggal dunia. Sesungguhnya ajal dan maut itu adalah urusan Allah S.W.T. Mati itu pasti buat semua makhluk ciptaanNya. Tiada hidup kekal abadi di dunia nan fana ini. Apabila kita dikehendaki pulang ke pangkuanNya, tiada siapa yang dapat mengelak.

             “Sabarlah Azreena. Kau kena ingat, kau masih ada aku. Kita sama-sama harungi hidup ini.” Pujuk Dayana. Semoga apa yang dikatakannya dapat memberi sedikit kekuatan buat sahabat yang disayanginya itu. Azreena mengenggam kemas tangan Dayana. Dia menganggukkan kepalanya. Tiba-tiba sahaja, dada Dayana terasa sebak lalu mengalirlah air matanya tatkala mengenangkan emak. Rindu pula dia pada emak sedangkan rumahnya dengan rumah Azreena bukanlah jauh mana pun. Hanya berselangkan beberapa rumah sahaja. Akhirnya Dayana terlena di sisi Azreena.

             Pemergian ibu Azreena banyak membuka matanya. Terasa seperti banyak dosanya pada emak. Dayana mula menginsafi diri yang serba kekurangan itu. Dia berazam untuk menjadi anak yang solehah. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah dia akan berbakti kepada emaknya yang banyak berkorban untuk mereka berdua. Dia berazamakan belajar bersungguh-sungguh demi emak. Ya, demi membalas jasa emaknya. Dayanatidak dapat membayangkan jika dia yang berada di tempat Azreena sekarang. Mampukah dia mengahrungi semuanya sedangkan Azreena masih mempunyai ayah dan abang-abang yang telah dewasa dan bekerja tetapi bagi dirinya pula hanya ada Liana.

             Entahlah semua itu bukanlah urusan manusia biasa. Hanya Dia yang tahu segala ‘rahsia’ tentang kehidupan hambaNya. Yang pastinya, apa jua dugaan perlulah dihadapi dan ditempuhi dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Janganlah sesekali melupakan doa kerana ia adalah kekuatan bagi seseorang muslim.


Last edited by wipers81 on 28-4-2014 11:58 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-4-2014 11:05 AM | Show all posts

BAB 8

Perjalanan meloyakan selama hampir dua jam yang terpaksa Dayana tempuhi akhirnya tiba di penghujung juga. Kini, mereka tiga beranak kelihatan sedang berdiri di hadapan pintu sebuah rumah kampung yang amat mereka rindui. Sepanjang berjalan kaki masuk ke perkarangan rumah kampung itu, terasa tenang jiwa masing-masing apabila menghirup udara kampung yang segar. Rumah kampung yang mendamaikan jiwa. Hiruk-pikuk suasana kota benar-benar meletihkan mereka. Ketenangan yang ada di sini, tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata. Setiap kali musim cuti sekolah tiba, di sinilah mereka tiga beranak akan kembali.

“Senyap sunyi je mak rumah ni. Ade ke atuk kat rumah?” tanya Dayana sebaik berdiri di hadapan pintu dapur rumah kampung itu. Panjang leher Dayana meninjau dari celah tingkap cuba mencari kelibat atuknya.

“Mesti ada kat dalam tu. Cuba ko bagi salam.” Arah Zakiah pula. Dia sudah melabuhkan duduk di atas sebuah kerusi usang yang diltak di tepi dinding. Di situlah emaknya, Zainab akan duduk saban pagi dan petang. Menabur biji jagung sambil riuh mulut memanggil ayam belaannya.

“Assalamua’laikum. Atuk..oo atuk.” Panggil Dayana. Lehernya dipanjangkan lagi.

“Wa’laikumussalam. Kejap, datang ni.” Sahut satu suara dari dalam.

“Lah korang ke? Aku ingatkan siapalah tadi. Kejap, atuk buka pintu.” Balas Zainab yang menjeguk dari tingkap.

Dari celahan tingkap itu, Dayana nampak dengan jelas tubuh tua atuknya merapati pintu. Lambat-lambat dia mengatur langkah. Nampak benar keuzuran atuknya itu. Bersusah payah mahu membuka pintu dapur rumahnya. Apa yang Dayana tahu, sejak akhir-akhir ini, sering sahaja atuknya mengadu sakit di kaki. Ada masanya, atuk hanya mampu mengesot sahaja. Menurut doktor yang merawat atuk, semua itu adalah akibat daripada kekurangan kalsium. Masalah yang sering dihadapi oleh wanita di Malaysia, kurangnya pengambilan kalsium. Di negara barat, susu adalah sumber protein utama dalam membekalkan kalsium pada tubuh. Eh, ada ceramah kesihatan pula. Dayana tersengih sendirian.

“Mak sihat ke?” soal Zakiah melangkah masuk sebaik daun pintu itu terkuak luas. Dia meraih tangan tua itu lalu menciumnya. Tubuh tua itu diraih pula di dalam dakapan. Kanan dan kiri pipi yang sudah jelas kedutannya itu, dicium. Sebak sedikit hati Zakiah melihat keuzuran emaknya itu. Dipelawa tinggal dengannya di Johor Bahru, emaknya enggan. Lebih selesa tinggal di rumah kampung katanya.

“Alhamdulillah Yah. Mehlah masuk.” pelawa Zainab.

Zakiah melangkah masuk sedang pasangan kembarnya pula masih berdiri tercegat di luar. Belum puas agaknya menikmati panorama menghijau di luar sana.

“Mana budak berdua tu?” soal Zainab apabila hanya susuk tubuh Zakiah sahaja yang dia nampak.

“Tu, kat luar.” Balas Zakiah sambil memuncungkan mulut.

“Apa pula yang diorang buat kat luar tu? Bukan reti nak masuk dulu.” Rungutnya.

“Entah.” Balas Zakiah, mengangkat kedua bahu.

“Ada Kak Leha datang jenguk mak?” soal Zakiah pula setelah sejenak sepi suasana. Membongkok sedikit tubuhnya untuk meletakkan beg yang sedang digalas ke lantai. Dia berjalan merapati tubuh tua emaknya dan melabuh duduk di kerusi kosong yang ada berdekatan emaknya. Terdengar emaknya mengeluh.

“Ada. Tapi tulah, kalau datang tak adanya nak tunggu lama-lama. Panas katanya kalau lama-lama kat rumah aku ni.” Hambar balasan dari Zainab. Malas mahu memikirkan tentang hal anak sulungnya itu. Banyak benar berubah sejak senang-lenang sekarang.

“Tak apalah mak. Sekurang-kurangnya dia datang juga jenguk mak.” Balas Zakiah ringkas cuba memujuk hati tua emaknya itu.

“Entahlah Yah. Tak tahulah aku kenapa sampai macam tu dia berubah sejak senang ni. Mak pun dah tak tau nak kata apa-apa lagi.” Keluh Zainab. Sudah malas dia mahu berbicara mengenai anak sulungnya itu. Tidak habis-habis mahumemberontak. Mujurlah anak-anak Zaleha tidak mewarisi perangai itu. Suka benar mengungkit perihal lama. Bab berkira duit ringgit tak payah nak diceritakan lagi. Kalau mahu berkecil hati rasanya dah hilang hati Zainab sekarang. Yalah kalau dah selalu sangat kecil.

“Sabarlah mak. Lama-lama nanti dia berubah juga.” Pujuk Zakiah lagi.

“Yalah tu Yah. Dekat dua puluh lima tahun dah benda tu berlalu, tak tahulah mak kena tunggu berapa puluh tahun lagi nak tengok dia berubah. Takut kalau aku mati nanti macam tu juga dia. Asyik nak menyalahkan orang lain. Tak faham aku dengan perangai kakak kau tu.” Lagi panjang keluhan Zainab.

“Dahlah mak. Tak payah fikirlah pasal Kak Leha tu. Yah masuk dululah, nak letak beg-beg ni.” Terus sahaja dia bangun, meninggalkan emaknya yang masih berdiri di muka pintu dapur itu. Bukan sengaja Zakiah mahu mengecilkan hati tua emak dengan soalan mengenai kakaknya itu. Dia pun bersalah juga. Baru sahajasampai terus saja menanyakan tentang kakak sulungnya, Zaleha. Itulah, terlajak perahu boleh saja diundur, terlajak kata... pandai-pandailah.

“Mari masuk, adik kakak. Apa yang korang tercegat kat luar sana tu?” soal Zainab setelah melihat kembar itu hanya tercongok sahaja di luar rumahnya. Mereka berdua menyengih, memandangnya.

“Lah, kan atuk dengan mak tengah sembang tadi kat pintu. Manalah elok kami yang muda ni dengar” balas Dayana.

“Yalah tu. Ada je jawapan ko. Dah mari masuk...” tingkah Zainab.

Mereka berdua lekas-lekas menapak masuk, meraih tangannya untuk disalam. Zainab meraih cucunya Liana ke dalam dakapan. Melepaskan rindu dendam yang beberapa bulan terpendam terhadap cucu kesayangannya itu.

‘Rindulah tu. Maklumlah dah lama tak berjumpa.’ bisik hati kecil Dayana. Pernah juga terbit rasa cemburu di hatinya mengenai kelebihan layanan atuk terhadap Liana. Namun dengan pantas dia menepis semua itu. Tidak mahu ia nya berlarutan, buruk padahnya kelak.


“Abang Iman tak datang ke tok?” soal Liana ketika sedang membantu atuknya menhidang makanan. Terpaksa juga meluahkan soalan itu. Liana memang sudah lama meminati abang sepupunya itu dalam diam.

“Ada, minggu lepas. Kenapa tanya? Rindu ke?” Zainab sengaja memasang serkap jarang. Bukan dia tidak tahu lagak orang yang menyukai seseorang.

“Ish atuk ni, akak tanya je.” Wajahnya sudah mahu menampakkan rona-rona merah. Dia tertunduk malu tetapi mahu.

“Bila dia nak datang lagi atuk?” Liana meyoal semula setelah sepi seketika suasana.

“Hah, kan betul atuk kata. Ada orang tu tengah rindu. Entahlah kak, katanya dia ada periksa. Habis nanti dia datanglah sini. Atuk ada cakap yang korang nak datang sini.” Terang Zainab. Wajah cucu kesayangannya dipandang, kelihatan sedikit riak kehampaan di wajah itu. Zainab tersenyum.

“Hmm..” balas Liana. Walaupun sedikit hampa, tak mengapalah. Kesabaran perlu ditingkatkan, menanti kedatangan lelaki itu.

Dayana yang sedang berdiri di sebelah, menyiku lengan kembarnya. Liana pantas berpaling.

“Sakitlah dik.” Liana mengaduh sambil tangan menggosok lengan yang menjadi mangsa Dayana itu.

“Alah kau kak, nanti abang sepupu kesayangan kau tu muncul. Kau jangan risaulah.” Sampuk Dayana yang dari tadi hanya memicingkan telinganya. Dalam hati Dayana kalau abang sepupunya itu tidak muncul lagi bagus.

“Banyaklah kau. Sibuk je.” Sedikit marah nada Liana. Dijelingnya Dayana yang sedang menyegih itu.

Walaupun mereka pasangan kembar, dia dan Dayana tidak begitu rapat. Masing-masing selalu dengan hal sendiri sahaja. Dayana dengan rakan-rakannya manakala dia dengan halnya. Payah jika mahu melihat mereka berkongsi cerita sesama mereka. Dalam bab kerja rumah juga selalu sahaja mereka berdua bertelingkah. Ada sahaja yang tidak kena hingga kadangkala Zakiah terpaksa masuk campur. Kebanyakkan masa, Dayana yang sering mengalah tetapi ketegasan adik kembarnya itu kadangkala menggerunkan Liana. Jangan sesekali dibangkang apa yang telah diputuskan oleh Dayana kalau tidak mahu diceramah dengan pandang lebar. Emak mereka selalu mendengar apa yang dicadang oleh Dayana. Liana akui, peranan sebagai kakak banyak digalas oleh Dayana yang kelihatan sedikit matang darinya.

“Eh, eh ko ni dik. Menyibuk aje. Dah, pergi ambil nasi kat dapur tu. Panggil mak ko sekali. Jom kita makan.” Gesa Zainab. Kurang berkenan dia dengan perangai cucu yang seorang itu. Suka benar menyampuk. Dia hanya melihat gadis itu berlalu. Tidak tahulah di mana silapnya, dari dulu lagi hubungannya dengan Dayana tidak begitu rapat. Zainab sendiri tidak tahu kenapa?

Last edited by wipers81 on 25-4-2014 11:24 AM

Reply

Use magic Report

Post time 25-4-2014 12:13 PM | Show all posts
kenapa mesti ada perbezaan...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-4-2014 12:20 PM | Show all posts
Zamzam2013 posted on 25-4-2014 12:13 PM
kenapa mesti ada perbezaan...

Itulah hakikat kehidupan Zamzam2013. Yang cantik selalu sahaja dijulang, dipuji berbanding yang kurang.

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 25-4-2014 12:24 PM | Show all posts
wipers81 posted on 25-4-2014 12:20 PM
Itulah hakikat kehidupan Zamzam2013. Yang cantik selalu sahaja dijulang, dipuji berbanding yang ku ...

yup! hakikat kehidupan... nak atau tak memang kena terima...
Reply

Use magic Report

Post time 25-4-2014 12:24 PM | Show all posts
TT... sila sambung lagi ya... hehehe...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-4-2014 12:36 PM | Show all posts

BAB 9

Adik, ko buat karipap pusing dalam dua ratus biji ya. Mak ingat petang ni, nak sedekah kat surau hujung kampung tu. Kebetulan, orang kampung ni pakat-pakat kongsi nak buat kenduri arwah kat surau tu. Kita pun dah nak balik JB minggu depan.” Pinta Zakiah pada anak gadisnya yang sedang menyapu sampah itu.

“Ha ah, dah lama kita tak buat kenduri arwah abah, kan mak. Bagus juga bila ada peluang macam ni.” Ujar Dayana. Terhenti seketika acara sapuannya dan kini matanya menatap emak yang sedang duduk di kerusi.

“Tulah pasal. Semalam Pakcik Buang datang beritahu pasal majlis tu. Sebab tu mak setuju nak tumpang sama. Ni, duit nak beli barang.” Kata Zakiah dengan beberapa keping not berwarna merah di genggamnya.

“Kejap lagi adik pergi beli. Mak letak duit atas meja tu, karang adik ambil.” Balasnya. Dayana menyambung kembali tugasnya sambil mata menyoroti tubuh emak yang sedang berlalu meninggalkannya. Mana mungkin mereka mampu mengadakan kenduri selama ini. Kekangan kewangan sering sahaja membantutkan niat mereka. Masa tersangatlah pantas berlalu hingga enggan memperlahankan detiknya. Menjeling pun enggan sang masa itu. Sudah hampir sebulan mereka di kampung. Langsung tidak menyedari betapa cepatnya masa menghambat mereka.

“Ini cucu Nab ke?” soalan yang biasa akan ditanyakan oleh Ah Chew apabila setiap kali dia melihat Dayana dan juga Liana.

“Ya,” jawab Dayana ringkas sambil melingas matanya ke sana sini mencari apa yang mahu dibeli.

“Atuk ko sihat?” tanyanya lagi.

“Sihat uncle.” Balas Dayana.

“Baguslah kalau macam tu. Dekat sebulan uncle tak jenguk atuk ko tu.” ujar Ah Chew.

“Oh,” jawab Dayana ringkas. Masih tercari-cari dia dua barang yang mahu dibelinya. Terlebih ramah pula Ah Chew hari ini. Apa yang dia tahu, Ah Chew baik dengan atuknya. Setiap tahun, lelaki itu tidak pernah lupa memberi atuknya sedikit buah tangan apabila menjelangnya hari raya.

“Terima kasih ya dik. Nah, yang ni ko bagi kat atuk ko ya.” Dia menghulurkan satu plastik yang berisi sedikit barang keperluan dapur kepada Dayana.

“Terima kasih uncle. Jumpa lagi,” ujar Dayana, menyambutnya. Dia melangkah keluar dari kedai itu setelah selesai membeli segala yang dia perlukan.

Dia mula menghayun langkah untuk pulang. Kiri kanan, beg plastik dijinjitnya. Langkah diatur dengan kemas di bahu jalan raya yang lengang itu. Seboleh-boleh dia cuba mengelak semak samun yang kadangkala agak meninggi daun-daunnya itu. Bimbang jika bersembunyi haiwan berbisa di celahannya. Sedang Dayana asyik berlenggang-lenggok, tiba-tiba kedengaran bunyi horn kereta yang agak kuat. Oleh kerana rasa terkejut yang amat sangat, lantas dia melompat sedikit ke semak yang tadinya digeruni.

‘Siapalah yang horn ni? Macam nak gugur jantung aku. Aku ada silap jalan ke? Memang cari nahas betullah kereta ni... eh silap, pemandunya. Kalau kereta tu boleh horn sendiri, aku yang lari dulu. Seram,’ masih sempat Dayana berseloroh. Dia menoleh ke arah kereta tersebut. Kelihatan sesusuk tubuh keluar dari kereta itu sambil tersengih padanya. Dayana mencebik mulutnya sambil mata dijulingkan ke atas sebaik mengenali siapa dia.

“Amboi, siap melompat lagi kau dik. Bilalah kau nak berubah? Asyik dengan perangai kalut kau tu. Terkejut sikit, kau dah gelabah.” Kata suara itu sambil menayangkan senyuman menggoda.

‘Sedapnya mulut dia ni kalau bercakap.’ desis hati Dayana. Kecil sahaja dia melihat lelaki itu.

“Apalah Abang Iman ni! Siapa yang tak terkejut kalau dah bunyi horn tu mengalahkan horn lori. Boleh luruh jantung adik ni, tau tak?!” terkeluar hamburan yang masih terkawal nadanya.

“Nasib baik adik tak ada sakit jantung tau. Kalau tak, dah lama masuk hospital. Silap haribulan, boleh ‘jalan’ terus. Nanti masuk suratkhabar... ‘seorang gadis mati kerana terkejut dengan bunyi horn kereta’. Boleh macam tu?” sambungnya lagi. Jejaka itu ketawa.

“Merepeklah kau dik. Pagi-pagi dah buat abang ketawa. Dah jom, balik sekali. Dapat tau je korang balik, tu yang abang pecut ke mari. Lama tak jumpa korang. Rindu tau, tambah-tambah dekat sayang abang ni.” Kata Iman. Sempat lagi dia mengenyitkan mata kepada sepupunya itu. Terubat sedikit rindunya terhadap gadis berkulit hitam manis itu.

‘Rindulah sangat. Yalah tu. Gatal.’ Monolog Dayana.

“Mata Abang Iman tu dah kenapa? Masuk habuk ke? Terkenyit-kenyit dari tadi.” ujar Dayana. Menyampah pula dia rasakan saat itu.

Iman hanya tergelak besar sahaja dengan ayat berbaur sindiran dari gadis itu. Biarlah, asalkan Dayana mahu berbicara dengannya, sudah memadai.

“Lah ko ke Iman? Mak ngah ingatkan siapalah tadi. Mak dengan abah ko sihat ke? Apa pasal diorang tak datang sama?” soal Zakiah bertalu-talu. Iman hanya tersengih.

‘Amboi banyaknya soalan emak aku ni.’ bisik hati kecil Dayana.

“Abah keje mak ngah. Mak kirim salam kat semua.” Jawab Iman, dia merapati mak ngah dan atuknya, menyalam tangan mereka.

“Dah makan ke belum? Tu, bawah tudung saji ada nasi lemak. Kejap atuk panggilkan Liana. Liana! Meh sini. Tolong hidang makanan kat Abang Iman ko ni hah. Dari tadi apa ko buat kat atas tu?” laung atuk.

Kedengaran bunyi lantai papan yang berkeriut dari atas. Terjengul muka Liana di ambang pintu. Pintu yang memisahkan antara dapur dan ruang tengah rumah atuk. Dia tersenyum sebaik melihat jejaka itu yang sedang duduk di sebelah atuk.

“Dah lama sampai ke Abang Iman?” soal Liana. Demi sahaja mendengar atuk menyebut nama sepupunya itu, bergegas Liana turun tadi.

Ko tunggu apa lagi. Pergi ajak Abang  Iman ko ni makan.” Suruh Zainab lagi.

“Jomlah Abang Iman.” Ajak Liana. Iman mengekori dari belakang. Sebaik terangkatnya tudung saji,

“Wah asam pedas!” kata Iman dengan penuh rasa teruja terhadap lauk asam pedas itu. Dia menggosok-gosok kedua tangannya sebaik ternampak lauk itu.

“Tu baki lauk semalamlah bang. Ni, nasi lemak pagi tadi ada lagi, abang nak tak?” soal Liana. Nasi lemak yang berbaki dua bungkus di dalam pinggan disuakan kepada sepupunya. Iman menahan pinggan tersebut.

“Tak apalah kak. Abang nak makan nasi dengan lauk asam pedas ni. Adik yang masak, kan?” soalnya dengan nadateruja sambil menggosok kedua belah tangannya. Dia melihat Liana mengangguk. Mesti sedap. Sudah lama dia tidak merasa masakan Dayana. Tiba-tiba lapar pula perutnya padahal sebelum ke mari dia sudah pun makan.

“Nah air.” Liana menghulurkan segelas air. Berselera sungguh dia melihat abang sepupunya itu menikmanti makanan di dalam pinggannya.

“Ko tak nak makan sama dik?” pelawa Iman sebaik melihat Dayana melintasi meja makan itu. Sempat dia mengenyitkan mata saat bersatunya pandangan mereka tadi.

“Dah kenyang.” Balas Dayana. Satu jelingan yang tajam umpama belati dihadiahkan kepada sepupunya itu.

‘Rasakan! Agaknya bapak segala habuk dalam mata dia tu tak hilang lagi kot. Menyampah!‘ Gerutu Dayana. Dia memalingkan wajah, malas mahu melayan kerenah merenyam sepupunya itu. Sejak kebelakangan ini dia meresakan seperti sedikit melampau pula usikan sepupunya itu. Rimas dia! Pernah juga beberapa kali gurauan sepupunya itu melibatkan hati dan perasaan. Sebab itulah Dayana merasa agak janggal apabila setiap kali Iman ada.

Peristiwa beberapa bulan yang lalu, masihsegar dalam ingatannya.

“Mak ngah, Iman ingat nak tumpang tidur kat sini barang semalam dua. Iman nak tengok kawan-kawan main kayak kat JB tu. Teringin nak main kayak semula tapi tak boleh pula. Tahu dek abah dengan mak, jenuh Iman tadah telinga ni. Dengar ceramah percuma diorang tu.” ujarnya. Kecederaan di bahunya beberapa bulan lepas akibat kemlangan, membataskannya untuk aktiviti yang dia minati itu.

Zakiah menggosok lembut bahu anak muda itu yang sedang duduk di sebelahnya sambil menonton televisyen.

“Kalau dah tahu nak kena marah, jangan buat. Tinggallah lama mana yang ko nak Iman. Mak ngah tak kisah pun.” Balas Zakiah.
Iman sudah seperti anaknya sendiri. Sebab itu dia tidak kisah.

Liana pula, semakin melebarkan senyuman. Seronok dengan kehadiran abang sepupunya itu. Dayana yang duduk tidak jauh dari situ hanya memicingkan telinga sahaja. Sedikit pun dia tidak mahu menyampuk perbualan dua beranak ‘saudara’ itu. Dia agak segan dengan kehadiran lelaki di dalam rumahnya. Tidak bebas mahu melakukan apa-apa. Batasan tetap perlu dijaga walaupun mereka bersaudara. Malas mahu berlama di situ, Dayana berlalu. Lebih baik dia menyudahkan bacaan buku yang dipinjam dari perpustakaan sekolahnya. Lagi bagus.

“Kuss semangat! Adik ingat apalah tadi? Apa ni Abang Iman? Nak bagi orang putus nyawa cepat ke! Ei, tak senonohlah abang ni.” Bentak Dayana. Bengang dia dengan lelaki itu.

Terkejut Dayana. Mujur tidak disilatkan sepupunya itu walaupun dia tidak pernah menuntut sebarang ilmu persilatan. Ada juga yang akan didaftarkan masuk ke wad nanti. Mana tidaknya, tiba-tiba sahaja dia terasa hembusan angin yang suam-suam kuku menyentuh telinga kanannya. Apabila dia menoleh, mak ai wajah lelaki itu begitu hampir sekali dengan wajahnya hanya dipisahkan beberapa inci sahaja. Kalau terlajak sikit, mahunya... ah, tidak dapat Dayana bayangkan. Seram juga Dayana pada mulanya hinggakan meremang bulu roma kerana menyangkakan apalah tadi. Manalah tahu kalau-kalau ‘makhluk’dari alam lain ke?

“Opss, maaf dik. Tak sangka pula adik terkejut sampai macam tu.”  Jawab Iman. Mata Dayana membesar.

‘Ya Allah. Mengapa itu jawapan dia. Rasa macam nak hadiahkan penampar je ka tmuka mamat ni. Ei geramnya aku.’ Marah Dayana tetapi hanya dalam hati. Dia memandang wajah lelaki itu dengan pandangan yang tidak puas hati. Naik turun nafasnya menahan geram. Bibir bawahnya digigit.

“Amboi, wanginya sayang abang ni. Baru mandi ek?” Kata Iman lagi yang hanya buat tidak tahu akan reaksi Dayana yang memang terang dan nyata marahkannya.

“Apa ni Abang Iman? Tak boleh ke tak kacau adik? Orang tak sukalah,” Dayana membentak lagi. Memang dia tidak berapa berkenan dengan perangai ulat bulu sepupunya itu. Lain macam sahaja kebelakangan ini. Wayar dalam kepalanya sudah putus barangkali.

“Lah, betul apa yang abang cakap dik. Apa pasal abang tengok kau ni makin lawalah sekarang. Nasib baik kau sekolah lagi, dik. Kalau tak, hari ni juga abang suruh mak dengan abah pinang kau.” Ujarnya lagi. Masih buat tidak faham bahasa tubuh Dayana yang sedang kemarahan itu. Jawapannya itu membuatkan Dayana berfikir, makhluk ciptaan Allah S.W.T di hadapan sekarang ini sedang buang tabiat agaknya. Dayana sudah tidak dapat menyabarkan hatinya lagi.

“Agak-agaklah Abang Iman ni! Janganlah sesuka suki je nak perli-perli orang. Mana ada lawa-lawa. Adik tetap Dayang Senandunglah. Kalau ya pun, tu kakak kan ada. Pergilah kat dia. Jangan kacau orang, boleh tak?!” balas Dayana dengan nada yang sedikit tinggi. Geram bercampur marah, mujur nada suara masih boleh dikawal. Ada juga yang kena jerkah dengan lantunan suara tahap maksima nanti.

“Dayang Senandung pun kalau lawa macam ni, abang pun nak.” Balas Iman selamba.

Dayana menjulingkan matanya ke atas. Memang sah, fius dalam kepala mamat itu sudah terbakar. Boleh pula Iman tersengih, sedangkan meter marah Dayana sudah berada di paras maksima sekarang ni. Tunggu hendak meletup sahaja. Lagi kuat bibir bawahnya digigit. Kecil sahaja Dayana melihat makhluk di depannya itu.

‘Kenapalah dia perlu ada dalam rumah aku sekarang? Ei, tak kuasanya aku nak melayan perangai gatal dia ni.’ Bentak Dayana sendiri. Dia bermonolog lagi kerana tidak mampu menukarnya menjadi sebuah dialog. Itulah dirinya yang sebenar.

“Hai dik, siap nak pass abang kat akak pula. Mana boleh dik perasaan abang ni ditukar ganti. Bukan pakai bateri tau hati abang ni. Bila dah lemah kena tukar. Takkanlah kau tak sudi dengan abang. Lama tau abang simpan perasaan ni. Tak kesian ke kat abang?” luah Iman. Senyap sahaja gadis itu dari tadi. Pasti sedang membebel dalam hati. Teka Iman sendirian. Iman suka melihat wajah Dayana dalam keadaan sekarang. Comel!

‘Ei mamat nilah. Ni yang aku malas nak layan mamat sengal @ jiwang karat. Siap buka falsafah yang entah apa-apa lagi. Tahulah pelajar kursus Elektrikal, siap masuk perkataan bateri bagai. Karang, entah litar apa pula yang dia nak sebut. Huh boleh sakit jiwa aku kalau lama-lama mengadap muka dia ni.’ Rungut Dayana lagi itu pun masih dalam hati.

“Apa-apa ajelah Encik Amzar Shahiman ya. Abang Iman simpanlah hati dan perasaan abang tu pada orang yang sudi. Ramai lagi yang kat luar sana tu beratur untuk Abang Iman. Adik tak layak untuk tu okey. Selamat malam.” Balas Dayana. Malas mahu menunggu lama, Dayana bingkas bangun masuk ke dalam biliknya. Lagi cepat sepupunya itu pulang, lagi bagus. Barulah dia boleh rasa bebas dan aman makmur di dalam rumahnya ini. Sesak, semak, lemas dan entah apa lagi yang diarasa, semuanya bercampur baur selagi lelaki itu berada di dalam rumahnya.

Iman hanya melihat sahaja gadis itu melangkah pergi. Sabar, kata hatinya. Apabila tibanya hari itu, Dayana akan menjadi miliknya. Dia tetapkan hatinya, Dayana tercipta untuknya. Kuntuman kasih di hatinya hanya mekar untuk gadis itu. Akan dipetik tangkai hatinya untuk dihulurkan kepada Dayana apabila tibanya waktu itu.

Last edited by wipers81 on 25-4-2014 12:57 PM

Reply

Use magic Report

Post time 25-4-2014 02:16 PM | Show all posts
plot yg bakal mengundang bencana pd adik...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 08:00 AM GMT+8 , Processed in 0.721668 second(s), 51 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list