Taib menunjukkan resit dan bubur yang di belinya di sebuah restoran makanan segera, dekat sini.
KUALA PILAH – Seorang suri rumah terkejut apabila bubur nasi yang dibeli di sebuah restoran makanan segera, dekat sini mengandungi ulat, dalam kejadian Sabtu lalu.
Noor Aini Noor Azhar, 33, berkata, dia tergamam apabila melihat seekor ulat berada dalam bubur ketika mahu menyuapkan anaknya berusia tujuh bulan. “Saya pergi ke restoran itu bersama suami, Taib Mohd Zain, 44, dan membungkus bubur itu serta bercadang untuk makan di rumah.
"Saya tidak perasan ada ulat ketika membuka bekas bubur terbabit, namun selepas tiga kali menyuapnya pada anak saya, saya tergamam dan terkejut melihat seekor ulat seakan ulat sayur berada di dalam bubur.
“Saya terus panggil suami dan dia memberitahu ianya memang seekor ulat. Tekak saya mula berasa loya dan hampir muntah kerana ia sangat menjijikkan,” katanya di temui di rumahnya Kampung Talang Tengah, semalam.
Noor Aini yang masih fobia dengan kejadian itu berkata, selepas insiden itu, suaminya telah menghubungi restoran berkenaan, namun tidak pernah diangkat.
“Tiga kali suami saya telefon restoran itu melalui nombor tertera dalam resit, tetapi tidak pernah diangkat.
"Hasrat untuk kembali ke restoran itu terbantut kerana ketika itu Jalan Kuala Pilah-Seremban mengalami kesesakan teruk,” katanya.
Sementara itu menurut Taib, dia turut membeli set bubur nasi yang sama berharga RM6 minggu lalu, namun tidak menemui benda meragukan.
“Tetapi kali ini, nasib kami malang kerana menemui seekor ulat sayur. Kami tidak tahu berapa banyak lagi ulat dalam bubur itu," katanya yang kecewa dengan perkara itu.
Menurut Taib, bukan niat mahu mengaibkan mana-mana pihak, cuma berharap ia dapat dijadikan pengajaran daripada insiden itu.
“Saya berharap pihak terbabit peka kepada aspek kebersihan kerana ianya amat penting untuk mengekalkan kunjungan pelanggan ke restoran itu, sekali gus mengelakkan kejadian seperti ini berulang kepada pelanggan lain,” katanya.
harap bukan restoran yang @tapibukanaku tempek...
u/p : @tapibukanaku
|