|
PEKAN 10 Mei - Umat Islam diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej umrah yang murah terutama di bawah RM4,000 bagi mengelak menjadi mangsa penipuan seperti dilaporkan kebelakangan ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, jika mengikut kos operasi semasa adalah mustahil untuk mana-mana agensi pelancongan dapat menawarkan pakej umrah pada harga tersebut.
Katanya, oleh itu, jika didatangi pihak yang menawarkan pakej umrah yang jauh lebih murah berbanding harga pakej semasa, orang ramai perlu berwaspada dengan menyiasat secara terperinci menerusi agensi kerajaan berkaitan termasuk Tabung Haji bagi mengelakkan daripada ditipu.
“Rakyat mesti sedar, boleh tanya kepada Tabung Haji sebelum menunaikan ibadat umrah. Pakej RM3,000 atau RM4,000 kena siasat betul-betul. Setahu saya dah tak wujud lagi, apatah lagi kalau RM3,000.
“Tiket kapal terbang pun sudah RM2,000, itu belum termasuk kos hotel, makanan dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Sambutan 40 Tahun Pemerintahan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini
Tambah Abdul Azeez, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu menggembleng tenaga menjadi badan kawal selia dalam isu ini kerana hanya mereka boleh menyenaraihitam mana-mana agensi pelancongan yang menipu.
“Dalam konteks Tabung Haji, kita ada Tabung Haji Travel yang tidak pernah timbul isu terkandas dan penipuan. Malah, banyak lagi agensi pelancongan yang diketahui mempunyai keupayaan menepati segala janji mereka.
“Namun pada masa sama, hari ini banyak agensi pelancongan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ini yang kita kena hati-hati, kementerian terlibat perlu ambil tindakan tegas bagi meletakkan titik noktah kepada kejadian jemaah umrah ditipu.
“Tabung Haji pula kita tidak akan mampu menjadi agensi tunggal menguruskan umrah dan adalah lebih baik buka peluang kepada lebih ramai untuk terlibat dalam bidang ini bagi menjana ekonomi," tegasnya.
|
|