|
Jika anda salah seorang yang gemar memakai seluar pasti mempunyai koleksi tali pinggang dari pelbagai bentuk dan jenama. Namun begitu, ianya bukan sahaja berfungsi sebagai mengetatkan lilitan seluar.
Malah ianya merangkumi aspek fesyen dan juga penampilan seseorang.
Maksud lain bagi si pemakai tali pinggang adalah, jika anda memakai baju tshirt dipadankan dengan seluar jeans, apabila anda mengenakan tali pinggang kulit, secara tidak langsung ia akan menjadi satu gaya ataupun fesyen yang 'versatile'.
Umumnya, tali pinggang lelaki lebih sederhana dari segi reka bentuk, fabrik dan warna. Berbanding tali pinggang wanita, rekaan tali pinggang lelaki cenderung bersifat klasik. Ini dapat dilihat melalui bentuk kepala tali pinggang, warna material serta jenis bahan yang digunakan untuk tali lilitan.
Pemilihan tali pinggang untuk digayakan ke pejabat atau acara rasmi harus menepati tema dan kesesuaiannya. Kesalahan ketara dari segi pemilihan tali pinggang sering dilihat pada kepala tali pinggang.
Bagi majlis rasmi, tali pinggang harus menampakkan kedewasaan pemakai melalui reka bentuk kepala yang tidak terlalu menonjol dan besar. Reka bentuk segi empat mahupun bulat yang selari dengan tali adalah ciri-ciri sempurna tali pinggang.
Tali kulit dilihat paling selamat untuk digayakan ke pejabat dengan disesuaikan pula dengan kasut kulit rona sama. Tali pinggang yang digayakan ke majlis rasmi haruslah padan dengan aksesori seperti jam tangan dan kasut.
Usah ragu-ragu memilih reka bentuk kepala tali pinggang besar. Pemilihan tali pinggang untuk ke acara santai harus lebih menyerlah. Tali lilitan berjalur dan bahan material seperti kulit, plastik, PVC dan getah adalah pilihan terbaik. Lelaki moden juga haruslah berani berfantasi dengan warna asalkan tali pinggang diikat sesuai dengan tema majlis.
Bagi yang kurang arif, tali pinggang mempunyai pelbagai saiz yang sesuai mengikut saiz pinggang. Jika pinggang berukuran sederhana, pilihlah tali pinggang dengan ukuran saiz beberapa inci lebih besar untuk pemakaian selesa.
|
|