|
‘Ini ujian daripada Allah’
MARHALIM menunjukkan gambar terakhir dua anaknya.
Banting: “Tidak dapat saya gambarkan kesedihan sejurus melihat dua anak saudara saya itu tidak bernyawa selepas tenggelam ke dalam parit bersama kenderaan dinaiki,” kata Mohd Nor Radiman, 50.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, mangsa adik-beradik, Atma Raifana Marhalim, 21, dan adiknya, Sarah Khalis Marhalim, 18, maut selepas kenderaan model Nissan Grand Livina dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Aman, Kampung Seri Cheeding, di sini.
Dia yang juga bapa saudara kedua-dua mangsa mendakwa menitiskan air mata sebaik melihat mayat Atma dan Sarah dikeluarkan anggota bomba dari dalam kenderaan yang terbalik itu.
“Sebaik pintu kenderaan dibuka, saya turut mengangkat tubuh mereka yang ketika itu sudah kaku tidak bernyawa. Hancur luluh hati saya kerana dua beradik itu bagaikan anak kandung saya sendiri,” katanya.
Menurutnya, dia mengetahui kemalangan yang berlaku selepas dimaklumkan seorang rakan yang kebetulan melalui lokasi kemalangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya terus masuk ke dalam parit bagi mendapatkan anak saudara saya itu. Saya menaruh harapan kedua-dua mereka masih terselamat.
“Bagaimanapun, Atma dan Sarah gagal menyelamatkan diri dan lemas di dalam kenderaan dinaiki,” katanya sebak.
|
|