|
KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai runcit menerima padah apabila dijel sehari dan denda RM1,700 oleh mahkamah majistret, Bachok, semalam, akibat memiliki rokok seludup bernilai RM163.16.
Hukuman diputuskan Majistret, Mohd Isa Mohamed terhadap tertuduh, Mohd Suhardi Mohd Noor, 37, selepas dia mengaku bersalah.
Mohd Suhardi didakwa memiliki barang larangan import itu di sebuah kedai runcit di Pengkalan Petah, Bachok, pada jam 12.25 tengah hari, 16 Jun 2014.
Antara yang ada dalam milikannya ialah 22 paket Gudang Garam Surya 12; sekarton Gudang Garam Menthol Mild; sembilan paket Gudang Garam Menthol Mild; 11 paket Minna; 49 paket John; 10 paket Premium International; 18 paket Fisher Lights dan dua paket 9’ Century.
Pada prosiding itu, tertuduh merayu hukumannya diringankan kerana menyesal dan masih mempunyai tanggungan.
Mohd Isa kemudian memutuskan hukuman itu dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dalam tempoh empat bulan serta-merta, jika denda gagal dijelaskan.
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.
Kes dikendalikan, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Karthy Gasedev Deva Rajoo, memohon hukuman setimpal dengan hujah kerajaan serius menangani penyeludupan.
|
|