|
2014/07/23 - 02:26:02 AM
Kuantan: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan memerintahkan melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam ke atas wanita yang merosakkan kereta seorang lelaki warga tua yang melanggar keretanya minggu lalu.
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, 30, atau dikenali sebagai Kiki mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Dia didakwa dengan sengaja melakukan khianat terhadap kereta jenis Toyota milik warga tua, Sim Siak Hong, 68, pada 14 Julai lalu.
Kiki didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.10 tengah hari di kawasan letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, Jalan Sekilau, dekat sini, pada tarikh berkenaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Farahah Mohd Nazari, manakala tertuduh diwakili peguam, Rosli Yusuf.
Janji tak ulangi kesilapan
Kiki yang ditemani ibu dan bapanya sepanjang prosiding itu turut menyatakan kekesalan kepada mahkamah serta memberitahu menerima pelbagai ugutan, maki dan cacian serta gambarnya dimanipulasi dengan diletakkan pelbagai keterangan dengan tujuan memalukannya.
Dia yang mengalirkan air mata ketika mengemukakan rayuan supaya hukuman terhadapnya diringankan, turut berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu.
Zainal Abidin berkata, tertuduh bernasib baik kerana mangsa dalam kes itu tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang, termasuk tidak mengemukakan tuntutan ganti rugi.
Sebagai usahawan, kamu sepatutnya tidak bertindak mengikut emosi dan menyedari kepentingan menjaga nama baik untuk maju dalam bidang perniagaan, kata hakim. - Berita Harian
Last edited by cecite on 23-7-2014 08:55 AM
|
|