Seorang pekerja warga asing sanggup bersembunyi dalam tong dram di tapak pembinaan elak ditahan pihak berkuasa.
JOHOR BAHRU - Seramai 185 warga asing diperiksa Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan ops sapu di tapak pembinaan di Jalan Wong Ah Fook, di sini, Sabtu lalu.
Hasilnya, seramai 150 lelaki dan enam wanita warga asing berusia 19 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan sekitar jam 10.50 pagi itu.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen, Masri Adul berkata, kesemua yang ditahan merupakan warganegara Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.
“Operasi diketuai oleh saya ini disertai pegawai dan anggota Imigresen dari Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar sambil dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Johor.
“Ketika serbuan dilakukan, kami didatangi lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pengurus tapak projek. Selepas memperkenalkan diri, kami melakukan pemeriksaan ke atas warga asing dan menahan mereka yang didapati melakukan kesalahan,” katanya, di sini semalam.
Masri berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat segelintir warga asing cuba lari untuk meloloskan diri malah ada yang sanggup terjun dari tingkat dua projek tapak binaan selain bersembunyi di dalam tong dan celah rangka besi namun gagal dan berjaya ditahan pihaknya.
Katanya, warga asing terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/64; Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Taman Setia Tropika,” katanya.
Read here: http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/sembunyi-dalam-tong-elak-dicekup-1.311345
|