|
- Anggota bomba membantu seorang wanita yang cedera di paha akibat tertusuk tongkat motosikal.
[url=]<[/url] 1 / 1 [url=]>[/url]
KUALA KANGSAR - Seorang wanita cedera parah pada bahagian paha kirinya apabila tertusuk tongkat motosikal dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Taiping, di sini, pagi semalam.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.10 pagi itu, turut menyebabkan seorang lelaki cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, anggotanya terpaksa menggunakan alatan khas untuk memotong besi tongkat yang tertusuk pada paha kiri mangsa.
Menurutnya, terdapat dua mangsa di lokasi kejadian dan seorang wanita dilihat berada di motosikal dengan keadaan kakinya melekat pada kenderaan tersebut.
“Setelah diperiksa, tongkat motosikal itu didapati tertusuk ke dalam paha wanita tersebut dan pihak kami terpaksa memotong besi itu.
“Besi itu berjaya dipotong kira-kira jam 7.22 pagi dan mangsa kemudiannya dibawa ke dalam ambulans untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Sementara itu saksi kejadian yang enggan dikenali memaklumkan, dia terdengar dentuman sebelum melihat dua motosikal terjatuh berhampiran lampu isyarat.
Menurutnya, dia cuba membantu mengangkat mangsa namun terkejut apabila melihat seorang mangsa mengalami kecederaan serius.
“Saya lihat besi tertusuk dalam paha seorang mangsa manakala seorang lagi mangsa cedera ringan. Saya segera menghubungi bomba dan ambulans,” katanya.
Sumber:Sinar Harian
|
|