|
KUALA LUMPUR: Penyanyi yang membina kemasyhuran di China, Shila Amzah, 24, dan pelumba basikal negara Fatehah Mustafa, 25, merupakan antara empat penerima anugerah Ikon Wanita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Anugerah itu disampaikan selepas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin selesai membentangkan ucapan dasar beliau di hadapan ribuan ahli Puteri sempena berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.
Dua lagi ikon wanita muda yang menerima anugerah tersebut ialah pendebat Maizura Mokhsein, 23, dan Pengarah Urusan FashionValet.net, Vivy Sofinas Yusof, 27.
Anugerah tersebut disampaika kepada tokoh-tokoh wanita muda sebagai menghargai sumbangan mereka yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang seperti akademik, perniagaan, seni dan sukan.
Penyanyi Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah dipilih kerana kecemerlangannya dalam bidang seni suara dan mula membina nama di negara luar terutamanya di China selepas menjuarai pertandingan Asian Wave di Shanghai.
“Saya terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh Puteri UMNO ini yang mengenal pasti bakat anak muda khususnya wanita di negara ini. Terima kasih kerana menyokong saya dan saya berharap Puteri UMNO akan terus memberikan khidmatnya untuk masyarakat,” ujar Shila melalui tayangan rakaman video.
Anugerah tersebut diterima oleh bapanya, Amir Hamzah atau ND Lala bagi pihaknya yang tidak dapat hadir.
Pelumba trek wanita, Fatehah pula dilihat sebagai srikandi sukan yang menyerlah lebih-lebih lagi setelah menceriakan kem negara kerana menyumbang pingat perak Sukan Asia ke-17 dalam acara keirin individu di Incheon, Korea Selatan September lalu.
Sementara itu, Maizura yang memiliki portfolio menyerlah sebagai jaguh pengucapan awam dan debat serta pernah mendapat gelaran pendebat nombor satu Asia apabila menjuarai Kejohanan Debat Asia Bersatu (UADC) di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura
Vivy pula dikenali kerana kesungguhannya menceburi bidang perniagaan dalam talian sejak berusia 23 tahun dan kini rangkaian bisnes berasaskan fesyen dan gaya hidup itu mencatat rekod yang membanggakan.
|
|