CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7216|Reply: 0

[Edisi Sains Am] Sistem Penggalak Padi - Sistem yang menambahkan hasil tanaman padi

[Copy link]
Post time 26-12-2014 07:27 AM | Show all posts |Read mode



Bukan baharu tetapi sudah lama diperkenalkan. Malah kaedah penanaman padi SRI atau System of Rice Intensification dikatakan telah wujud lama dan amalkan di kepulauan Madagascar kira-kira 35 tahun lalu.

Berdasarkan rekod, sehingga kini lebih daripada 500,000 petani di 20 buah negara menggunakan kaedah SRI untuk meningkatkan pengeluaran beras mereka.

Isunya ialah, tidak ramai petani kini bersedia untuk kembali kepada kaedah yang sebelum ini diamalkan.

Sedangkan, kaedah SRI memberi kelebihan kepada petani kerana dapat mengurangkan penggunaan input luar dan kos pengeluaran mereka.



Bagi saintis pertanian pula, mereka tertarik setelah memahami bagaimana SRI boleh membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi.

Sebab itu, ada kewajaran bagi petani untuk kembali memikir bahawa penggunaan bahan kimia bukan sahaja merosakkan alam sekitar, tetapi mengancam kesihatan mereka.

Kaedah penanaman SRI berbeza dengan kaedah konvensional kerana mementingkan pengurusan tanah, air dan zat pemakanan sedia ada dan mesra alam sekitar.


Secara terperincinya, SRI melibatkan persediaan longkang air di sekitar sawah dan di beberapa tempat dalam sawah, penyediaan luas petak seesuai, pemindahan anak benih muda tunggal (antara lima hingga tujuh hari) pada jarak tertentu antara 30 hingga 35 sentimeter (sm).
Anak benih terpilih yang mempunyai ciri tertentu dipindahkan dengan kaedah satu anak benih untuk satu petak.

Pada masa sama, sawah tidak terus dibanjiri air. Persediaan sawah supaya tanah mempunyai bahan organik dengan penyemburan baja organik buatan sendiri dan pengudaraan berkala.


Ini bukti bagaimana amalan tersebut dapat meningkatkan pertumbuhan dan fungsi sistem akar tanaman padi, selain menambah bilangan dan kepelbagaian makhluk tanah yang menyumbang kepada kesihatan dan pengeluaran hasil.

Berdasarkan rekod, inisiatif pengamalan kaedah SRI di Malaysia dimulakan pada tahun 2008 semasa krisis harga beras di negara ini.
Sejak itu, minat kepada kaedah SRI di Malaysia telah berkembang dengan pesat dalam badan kerajaan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.


Kelebihan SRI boleh menyokong kemapanan pertanian padi di Malaysia. Hingga kini produktiviti beras di Malaysia masih belum mencukupi untuk keperluan negara dan masih memerlukan import beras.

Sekumpulan penyelidik di negara ini ketuai oleh pensyarah Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Wan Moktar Wan Yusof memulakan inisiatif tersebut beberapa tahun lepas.

Usaha awal menggerakkan kaedah menanam padi cara SRI di Malaysia dipelopori oleh Prof. Madya Dr. Anizan Isahak dan beberapa pensyarah lain termasuk Prof. Madya Norela Sulaiman sebelum usaha seterusnya melibatkan Dr. Wan Moktar, Febri Doni yang membentuk satu sinergi kepakaran daripada UKM.


Menurut Dr. Wan Moktar, SRI di negara ini telah ungkapkan sebagai Sabar, Reda dan Istiqamah untuk mencerminkan betapa pendekatan sistem penanaman tersebut memerlukan kekuatan dalaman dan niat yang ikhlas.

Katanya, usaha tersebut juga memerlukan ketekunan, tanpa putus asa dan penumpuan kepada hasil akhir yang menjanjikan bukan sahaja pulangan sehektar melebihi 10 tan tetapi juga untuk kesejahteraan diri dan keluarga

“Kami juga mahu merealisasikan aspirasi UKM untuk membawa ilmu kepada masyarakat khususnya pertanian untuk faedah mereka,” ujarnya.

Dr. Wan Mohtar berkata, banyak istilah boleh digunakan untuk mendefinasikan SRI tetapi apa akhirnya maltmatnya ialah mencapai pengeluaran berlipat ganda.

Sebagai contoh, jumlah pengeluaran purata yang mahu dicapai ialah 10 tan sehektar dengan waktu tuaian antara 110 hari hingga 115 hari.
Yang paling menarik kata beliau, konsep SRI memerlukan petani atau penanam terlibat dalam setiap rantaian pengeluaran termasuk penghasilan benih sendiri, pembuatan baja organik, melakukan kerja-kerja melandak atau merumput dan menuai dengan usaha mereka.

“Dengan itu mereka menghasilkan sesuatu daripada hasil tangan sendiri untuk faedah atau kegunaan masing-masing dengan jumlah pengeluaran yang berlipat ganda.

“Kaedah SRI ini memang mesra alam, tanpa semburan kimia dan racun, malah ikan akan kembali ke habitanya di sawah padi,” ujar beliau lagi.
Dr. Wan Mohtar bagaimanapun berkata, dengan penggunaan kaedah tersebut, pihaknya tidak berniat untuk menafikan peranan dan tanggungjawab agensi dan jabatan kerajaan yang selama ini menjalankan tugas masing-masing.


Pada masa sama katanya, meskipun kaedah SRI boleh diperluaskan kepada kawasan lain, namun begitu ia tidak mengganggu kawasan yang diwartakan sebagai jelapang padi yang mempunyai sistem penanaman tersendiri.

Setakat ini, projek SRI dilaksanakan di Ledang Johor, Menanti (Negeri Sembilan), Alab (Keningau, Sabah), Jembal (Kelantan), Kaki Bukit (Pulau Pinang), dan Tedung, Sarawak.

Sehingga kini, petani terlibat berasa gembira dengan kaedah penanaman padi cara SRI dan ada yang enggan kembali kepada kaedah konvensional.


Pengalaman kumpulan pakar UKM tersebut membantu petani turut dikongsi oleh Prof. Dr. Wan Mohtar Wan Yusof.
Beliau menceritakan bagaimana seorang petani, Abdullah Rashidi menemuinya pada tahun lepas sempena Persidangan Kebangsaan ke-2 System of Rice Intensification: An Untapped Potential for Food Security di Lumut Perak.

Petani berkenaan mahu memulakan dan memperkenalkan kaedah tanaman SRI kepada petani di Ledang, Johor.

Untuk tujuan itu, seorang petani, Sulaiman Wagiman pula sanggup menyediakan kawasan seluas satu ekar sawah di Ledang Johor untuk percubaan padi SRI.

Hasrat Abdullah itu kemudiannya disampaikan kepada Dr. Anizan dan satu mesyuarat diadakan melibatkan beberapa penyelidik lain.
Beberapa siri pertemuan kemudiannya diadakan selepas itu termasuk taklimat dan bengkel bagi tujuan perkongsian maklumat mengenai pemilihan, penyemaian dan penanaman benih serta mendapat sumbang saran daripada petani.


Terbukti projek SRI yang diusahakan oleh Sulaiman berjaya dan beliau berpuas hati dengan pencapaian tersebut.
Malah, ketika berumur 60 hari, padi yang Sulaiman tanam dilaporkan mempunyai jumlah rumpun yang begitu banyak, antara 35 hingga 50 perdu daripada setiap satu benih.

Sulaiman ternyata gebiran dan berpuas dengan kaedah SRI, kerana selain menjimatkan kos penanaman, pertumbuhan padi sangat cepat dan subur berbanding kaedah tabur benih dan penggunaan agrokimia.


Sementara itu menurut seorang pembantu penyelidik UKM, Abidah Ashari, kaedah SRI mempunyai banyak perbezaan berbanding kaedah konvensional.

Antaranya, pada setiap perdu, kaedah SRI mengeluarkan lebih anak pokok berbanding oleh konvensional hanya 35 sahaja.
“Akar pokok juga lebih bertahan mencari air dan lebih panjang manakala kerja-kerja melandak yang diamalkan dalam SRI membolehkan pengudaraan ditingkatkan.


“Kerja-kerja melandak dilakukan sekali 10 hari sebanyak empat kali,” ujarnya.
Dalam pada itu, penggunaan baja MOL atau mikrob penggalak tanaman digunakan sebagai bukti padi tidak memerlukan baja kimia dan racun perosak.

Abidah berkata, pada setiap tangkai padi SRI, butir yang dihasilkan boleh mencecah 130 hingga 150 berbanding hanya 80 pada padi konvensional.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sains-t ... thash.JamEEPt2.dpuf
Last edited by Cluster77 on 26-12-2014 07:29 AM

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 08:20 PM GMT+8 , Processed in 0.055718 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list