Main ‘game online’ hingga mati depan komputerOrang ramai dinasihati supaya bangun dan melakukan pergerakan setiap dua jam ketika menghadap permainan komputer. - Foto Reuters
[size=100%]TAIPEI, 18 Januari: Seorang lelaki yang bermain permainan komputer dalam talian (online) selama empat hari di sebuah kafe internet yang disangka tertidur rupa-rupanya sudah tidak bernyawa.
Lelaki berusia 32 tahun itu yang hanya dikenali dengan nama keluarganya Hsieh, ditemui kaku di atas kerusi dalam kafe internet di daerah Hunei, di bandar Kaohsiung, Taiwan.
Seorang pengunjung kafe itu dilaporkan berkata, dia menyangka Hsieh tertidur kerana kepenatan melayan permainan dalam talian berkenaan.
“Kemudian pekerja kafe menyedari tubuh Hsieh tidak bergerak-gerak.
“Apabila diperiksa, dia didapati sudah tidak bernafas,” katanya dilaporkan portal berita tempatan Taipei Times, yang turut dipetik beberapa agensi berita antarabangsa termasuk AFP dan Reuters.
Hsieh kemudian dibawa ke hospital dan doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia akibat mengalami serangan jantung dipercayai berpunca daripada terlalu lama melayan permainan komputer dalam talian.
Menurut pekerja kafe berkenaan, Hsieh adalah pelanggan tetap di situ dan biasanya menghabiskan masa melayari internet atau bermain permainan dalam talian di premis berkenaan sehingga berhari-hari tanpa rehat.
“Apabila penat, dia tidur di atas kerusi saja,” kata pekerja berkenaan kepada wartawan Taipei Times.
Tidak diketahui apa permainan dalam talian yang sedang dilayannya ketika mati, namun lelaki itu dikenali sebagai penggemar permainan perang.
Mengulas mengenai kes itu, Ketua Polis Hunei, Weng Chun-neng berkata, suhu sejuk dan terlalu keletihan melayan permainan dalam talian yang sengit mungkin menyumbang kepada kegagalan jantung Hsieh.
“Kami menasihatkan orang ramai supaya bangun dan bergerak selepas setiap dua jam menghadap permainan komputer.
“Polis akan menjalankan lebih banyak rondaan untuk mengingatkan penduduk mengenai bahaya duduk terlalu lama ketika bermain permainan komputer,” kata Weng.
Terdahulu pada 1 Januari lalu, seorang lelaki berusia 38 tahun ditemui mati di sebuah kafe internet di New Taipei City selepas melayan permainan dalam talian selama lima hari berturut-turut.
Namun menurut polis, ketika anggota pihak berkuasa sedang sibuk menyiasat dan mengumpul bukti berkaitan kematian mangsa di situ, pengunjung kafe yang lain begitu khusyuk bermain hingga langsung tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.
Sumber:TRP |