|
Masyarakat Hindu puji Najib kerana sertai sambutan Thaipusam, kata NegarawanBernama |Kemas kini:Februari 06, 2015
(Diterbitkan pada: Februari 06, 2015 07:23 MYT
Masyarakat penganut Hindu memuji Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyertai sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves dekat Kuala Lumpur, Selasa lepas. - Gambar fail
SINGAPURA: Masyarakat penganut Hindu memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyertai sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves dekat Kuala Lumpur, Selasa lepas.
Sambil mengalu-alukan lawatan itu, negarawan Hindu, Rajan Zed, dalam satu kenyataan di Nevada (Amerika Syarikat) hari ini, menyifatkannya sebagai 'langkah ke arah yang betul'.
Kunjungan tersebut menghantar mesej mengenai keterangkuman dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia.
Rajan, yang juga Presiden Persatuan Hindu Sejagat, menaruh harapan agar Najib dapat melakukan lebih lagi untuk masyarakat minoriti India di Malaysia supaya mereka tidak berasa terpinggir dalam kerancakan ekonomi Asia Tenggara dan mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri selama beberapa dekad.
Sambil berkata masyarakat India telah menyumbang besar kepada pembangunan dan membangunkan Malaysia, Rajan menegaskan tentang perlunya memperkasakan masyarakat itu melalui pelbagai cara, termasuk mewujudkan persekitaran perniagaan untuk mereka, melengkapkan usahawan, menyediakan lebih banyak peluang dalam institusi pendidikan tinggi dan lain-lain.
Rajan juga mengalu-alukan gesaan Najib pada masa lalu bagi mengadakan dialog antara agama. Beliau berkata sesi dialog akan membawa manfaat bersama.
Rajan menyarankan supaya semua agama bekerjasama untuk mewujudkan dunia yang adil dan aman.
"Agama adalah komponen kukuh dan kompleks dalam kehidupan manusia, jadi kita mesti memberi perhatian serius. Pemahaman yang lebih inklusif dan luas tentang agama diperlukan, katanya.
Beliau juga berharap Najib dapat menganjurkan dan mempengerusikan sesi dialog tahunan di Kuala Lumpur bersama pemimpin semua agama yang sedia ada di Malaysia dan merangka strategi bagi memperkukuh keeratan dan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia.
Najib yang berpakaian kurta tradisional India diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor semasa lawatan ke Batu Caves dan meluangkan masa kira-kira sejam menyaksikan sambutan Thaipusam kali ke-125 yang dihadiri oleh 1.6 juta orang.
Read more at:http://www.astroawani.com/berita-malaysia/masyarakat-hindu-puji-najib-kerana-sertai-sambutan-thaipusam-kata-negarawan-53459?cp
|
|