CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 14452|Reply: 2

Menguatkan Perjuangan Menentang Diabetes

[Copy link]
Post time 10-2-2015 11:05 AM | Show all posts |Read mode


Kuala Lumpur, 9 Februari 2015 – Rakyat Malaysia datang berduyun-duyun ke Lembah Kiara di Taman Tun Dr Ismail, semuanya bersedia mencergaskan badan demi perjuangan menentang diabetes. Acara pendidikan awam yang bertemakan ‘Perlumbaan Ke Sasaran’ ini dianjurkan bersama oleh syarikat pemberi khidmat kesihatan, MSD, dan Diabetes Malaysia (DM) (sebelum ini bernama Persatuan Diabetes Malaysia) sebagai sebahagian daripada Kempen Living Well with Diabetes (Hidup Sihat Dengan Diabetes), atau LWWD, yang menekankan keperluan menambahkan usaha membawa kesedaran, pendidikan dan pencegahan diabetes kepada rakyat Malaysia.


Kempen yang dianjurkan sempena Hari Diabetes Sedunia pada 14 November 2014 yang akan datang ini bukan perlumbaan untuk menjadi juara, tetapi suatu perlumbaan untuk menggalakkan pesakit diabetes agar meneruskan perjalanan dan mencapai sasaran gula darah masing-masing. Acara ini juga bertujuan menambahkan kesedaran tentang Diabetes Melitus Jenis 2 (T2DM) dan cara menguruskan penyakit ini melalui beberapa aktiviti pendidikan yang menyeronokkan dan menyihatkan badan di luar bangunan. Semasa acara tersebut, MSD juga menghadiahkan cek bernilai RM3,000 kepada DM sebagai sumbangan kempen pengutipan wang T2DM yang diadakan secara dalaman oleh MSD dalam kalangan pakar kesihatan.

Encik Tee Loong Tek, Pengarah Unit Perniagaan MSD, yang telah sudi hadir untuk melancarkan acara ini, berkata, “Kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes kami yang dianjurkan dengan kerjasama DM setiap tahun sejak tahun 2007 ini adalah sebahagian daripada usaha kami yang berterusan untuk menggalakkan dan membolehkan pesakit diabetes menjalani, menikmati dan meraikan kehidupan. Kali terakhir kami mengadakan acara ‘Perlumbaan Ke Sasaran’ ialah pada tahun 2009 dan 2010. Acara tersebut mendapat sambutan yang begitu hangat sehingga kami mengambil keputusan untuk mengadakannya lagi tahun ini untuk menekankan betapa pentingnya gaya hidup yang sihat dan cergas dalam perjuangan menjauhi daripada diabetes. Kami juga ingin menekankan mesej kepada pesakit diabetes bahawa Diabetes Melitus Jenis 2 boleh diuruskan dengan baik melalui beberapa perubahan gaya hidup.”


Kajian terbaharu menunjukkan bahawa bilangan pesakit diabetes terus meningkat pada kadar yang membimbangkan. Melalui National Health & Morbidity Survey (Kaji Selidik Kesihatan Dan Morbiditi Kebangsaan) atau NHMS tahun 2011, dilaporkan bahawa kadar kejadian diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas meningkat kepada 15.2% berbanding dengan kadar yang melebihi 11.6% dengan sedikit pada tahun 20061a. Kaji selidik yang sama juga menganggarkan bahawa menjelang tahun 2020, lebih daripada 4 juta penduduk Malaysia akan menghidap diabetes1b. Kira-kira 90% pesakit diabetes menghidap T2DM, yang berkait rapat dengan pola gaya hidup dan kelakuan yang tidak sihat2.


Turut hadir semasa acara tersebut ialah Encik Jong Koi Chong, Naib Presiden DM, yang berkata, “Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan peningkatan yang membimbangkan pada beberapa jenis Penyakit Tidak Berjangkit, seperti Diabetes Melitus Jenis 2, disebabkan gaya hidup kita yang semakin kurang cergas di samping sajian makanan yang tidak berkhasiat dan tabiat makan kita yang tidak betul. Diabetes Melitus Jenis 2 ialah jenis diabetes yang paling lazim berlaku dan disebabkan oleh penggunaan insulin secara tidak berkesan oleh badan, yang berakibat terutamanya daripada berat badan yang berlebihan dan kekurangan gerak kerja jasmani2b.”

“Mujurlah T2DM boleh dikawal dengan beberapa perubahan pada pola gaya hidup dan kelakuan, serta pengesanan dan diagnosis yang awal2c. Inilah antara sebabnya kami berusaha seiring dengan MSD sejak tahun 2007 untuk meningkatkan kesedaran tentang diabetes serta mendidik pesakit diabetes tentang cara berkesan menguruskan diabetes dan mengawal aras gula mereka,” tambah beliau.


Acara ‘Perlumbaan Ke Sasaran’ melibatkan para peserta dalam pelbagai kegiatan, termasuk senaman, sukaneka dan kuiz kesihatan tentang diabetes. Ceramah kesihatan yang bertajuk ‘Perubahan Gaya Hidup’ juga disampaikan oleh seorang doktor, dan pemeriksaan kesihatan dilakukan secara percuma oleh DM sepanjang pagi tersebut.


Turut hadir memberikan sokongan kepada inisiatif ini ialah pihak penaja, antaranya Celebrity Fitness, Kenny Rogers Roasters,  Gardenia, Dutch Lady dan F&N Beverages.


Kempen LWWD diatur oleh MSD dan dilancarkan pada tahun 2007 untuk menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa diabetes boleh diuruskan dengan sajian makanan yang sesuai, senaman yang tetap dan penjagaan yang betul untuk mengekalkan aras glukosa darah yang sihat. Antara inisiatif yang lepas ialah pelancaran kempen teh tarik kurang gula pada tahun 2007, pelancaran Bengkel Media dan pameran Memasak Cara Sihat LWWD pada tahun 2008, pameran dan jerayawara kesihatan ‘Perlumbaan Ke Sasaran’ pada tahun 2009 dan 2010, pelancaran Raikan – Buku Masakan Gaya Hidup pada tahun 2011 dan susulannya Raikan – Buku Masakan Pencuci Mulut pada tahun 2012, dan pengedaran risalah pendidikan Hidup Sihat Dengan Diabetes di seluruh negara tahun lepas.


“Angka pada peringkat antarabangsa dan tempatan yang dinyatakan oleh organisasi kesihatan agak mengejutkan. Setiap 10 saat, seorang manusia mati akibat punca yang berkait dengan diabetes3. Kami harap kempen ini akan menggalakkan dan menggesa rakyat Malaysia supaya bersikap lebih peka tentang diabetes dan dengan itu mengambil peranan untuk mengurangkan kadar kejadian dan beban diabetes hari ini dan juga pada masa hadapan dengan acara ‘Perlumbaan Ke Sasaran’ kami yang menyampaikan mesej bahawa kehidupan yang sihat dengan diabetes bukan sesuatu yang mustahil jika kita mengambil sikap yang betul dan pendekatan gaya hidup yang sihat,” kata Encik Tee.


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 25-3-2015 05:02 PM | Show all posts
Apa pendapat TT tentang STEVIA? Boleh kurangkan risiko diabetes tak?
Reply

Use magic Report

Post time 15-1-2016 05:26 AM | Show all posts
lama dah aku peram gambar nie   


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-12-2024 05:14 AM GMT+8 , Processed in 0.117373 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list