CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1321|Reply: 0

‘Tindakan Faizal bersebab’

[Copy link]
Post time 3-3-2015 09:45 AM | Show all posts |Read mode


                            SEBELUM ini, penyerang hoki kebangsaan, Faizal Saari, memberi jaminan akan tampil dalam sesi latihan skuad The Speedy Tigers, Rabu lalu.
       
        Namun, hari yang ditunggu-tunggu, kelibat anak kelahiran Kelantan ini tetap tidak kunjung tiba.
       
        Penyerang  Kelab Hoki Terengganu (THT) itu sebelum ini gagal hadir sesi latihan selepas berakhirnya Kejohanan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (HWL).
       
        Impaknya, nama Faizal digugurkan daripada senarai 20 pemain dalam jelajah ke Australia, bermula hari ini hingga 17 Mac depan.
       
        Berkongsi cerita mengenai nasib yang menimpa Faizal, bekas Pengurus THT musim lalu, Mohamad Saberi Salleh menegaskan, tindakan pemain berusia 24 tahun itu bersebab.
       
        Mohamad Saberi yang sebelum ini pernah menjawat jawatan pengurus pasukan kebangsaan juga berkata, semua pihak tidak seharusnya terus menyalahkan Faizal di atas kemelut yang berlaku.
       
        “Faizal ibarat anak saya dan kami sentiasa berhubung. Semalam (kelmarin) saya ada berjumpa dengannya.
       
        “Apa yang dia lakukan mempunyai sebab tersendiri. Dia memperjuangkan nasib terhadap janji-janji manis yang ditaburkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC),” dakwanya.
       
        Menurut Mohamad Saberi, dia yang mengenali Faizal bermula 2008 berkata, Faizal adalah seorang pemain yang berjiwa besar dan akan memberikan sepenuh tenaga terhadap pasukan yang diwakilinya.
       
        “Dia sangat cintakan hoki. Menjadi seorang pemain hoki yang berjaya di pentas antarabangsa adalah cita-citanya.
       
        “Namun jika kemelut antara Faizal  dengan  MHC terus berlanjutan, tidak mustahil Faizal akan bersara,” katanya.
       
        Mohamad Saberi menjelaskan, jika situasi itu berlaku, negara sudah pasti berdepan kehilangan besar kerana Faizal pemain yang mempunyai kemahiran tersendiri.
       
        Masih berpeluang tetapi bersyarat
       
        Biarpun tidak disenaraikan dalam jelajah ke Australia, Faizal masih berpeluang merebut tempat dalam skuad kebangsaan pada kejohanan akan datang.
       
        Skuad negara akan berdepan lapan aksi pemanas badan termasuk tiga pertemuan menentang pasukan kebangsaan Australia.
       
        Jelajah itu adalah persiapan sebelum menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2015 di Perak dari 5 hingga 12 April, serta Pusingan Ketiga Liga Hoki Dunia di Belgium pada Jun, yang merupakan kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Brazil.
       
        Bagi pengendali sementara skuad hoki negara, Tai Beng Hai, Faizal masih berpeluang untuk menyarung jersi kebangsaan dengan syarat perlu menjalani ujian kecergasan setelah lama menghilangkan diri.
       
        “Dia perlu melalui proses sama seperti pemain lain. Saya rasa semua pemain kena faham apabila mewakili negara, mereka perlu letakkan maruah negara pada satu tahap tertinggi.
       
        “Pemain tidak boleh keluar masuk ikut sesuka hati dan saya harap ia  pengajaran kepada mana-mana pemain. Semua pemain kena faham, apabila mewakili negara, ia satu penghormatan,” katanya.
       
        Dalam pada itu, Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Johari Abdul Aziz menyatakan kesediaan badan induk hoki negara itu bertemu dengan Faizal bagi mengetahui gambaran sebenar masalah dihadapi pemain berkenaan.
       
        “Kita tidak mahu halang dia daripada bermain hoki. Kalau kita halang dia, mana dia hendak pergi, jadi kita kena tengok kehidupan beliau yang bergantung pada hoki,” katanya.
               
                                                                                                                                                                                                                                                         
sumber:sinar harian

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 05:06 AM GMT+8 , Processed in 0.488784 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list