|
Danica tidak bersedia untuk memberitahu kehilangan suaminya, Paul Weeks kepada dua orang anak mereka Lincoln, 4 dan Jack, 2 tahun. -Foto Daily Mail Australia
AUSTRALIA , 8 Mac:
Genap setahun kehilangan pesawat MH370, dua kanak-kanak yang kehilangan ayah mereka masih belum mengetahui berita itu kerana ibunya, Danica Weeks belum bersedia menyampaikan berita sedih tersebut.
Daily Mail Australia melaporkan, Danica tidak bersedia untuk memberitahu kehilangan suaminya, Paul Weeks kepada dua orang anak mereka Lincoln, 4 dan Jack, 2 tahun.
Danica dilaporkan enggan berbohong kepada kedua-dua anaknya itu dan akan memberitahu apabila kebenaran sebenar ditemui.
“Ada yang menyuruh saya untuk memberitahu perkara sebenar kepada anak-anak dan saya hanya menyoal mereka kembali dengan adakah anda mahu?
“Ini kerana saya tidak mahu meletakkan mereka dengan keadaan saya (sekarang) dan menjadi sesuatu yang berbeza. Saya memilih untuk memberitahu mereka nanti,” katanya.
Katanya, setahun kehilangan suaminya itu membuatkan kehidupannya pudar kerana tidak dapat melihat ataupun mengucapkan selamat tinggal kepada suami yang dianggap sebagai kawan baik.
“Saya hanya seorang suri rumah yang mahukan suaminya yang hebat untuk pulang. Dia banyak membantu dalam keluarga dan saya percaya dia juga akan melakukan perkara yang sama jika berada dalam situasi saya ini.
“Dia akan membawa kami pulang dan saya akan lakukan untuknya, dia berhak untuk semua itu,” katanya
Paul Weeks, 39, rakyat New Zealand yang menetap di sini dan merupakan seorang jurutera mekanikal.
Beliau dalam perjalanan ke Mongolia apabila pesawat yang dinaikinya itu hilang secara misteri.
Danica berkata, suaminya sempat memberikan cincin perkahwinan pada hari terakhir mereka berjumpa sebelum pesawat yang dinaiki suaminya hilang.
Katanya, dengan sokongan daripada sebuah komuniti Australia Barat, dia dapat menjalani hidup daripada trauma dengan kehilangan suaminya.
Dia berkata, susah untuk menghadapi situasi ini dan pernah berfikir untuk pindah.
“Bagi anak-anak, mereka tidak sempat mengucapkan selamat tinggal dan kenangan bersama bapa mereka,” katanya.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac tahun lalu, dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China selatan.
Pesawat itu dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Perjalanan pesawat tersebut dipercayai telah berakhir di Lautan Hindi.
Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Jan lalu mengumumkan penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan semua 239 penumpang dan anak kapal telah dianggap kehilangan nyawa mereka.
Sumber: http://bm.therakyatpost.com/glob ... lang/#ixzz3TnlYQUJp
|
|