|
Petaling Jaya: Besar kemungkinan nama Jermain Jackson agak asing bagi generasi muda, berbanding adiknya Raja Pop mendiang Michael Jackson.
Sama ada beliau dikenali atau tidak bukanlah persoalan bagi penghibur ini kerana niat melawat golongan insan yang kurang bernasib baik adalah lebih utama.
Dalam kesibukan membuat persembahan, masih ada ruang untuk Jermain luangkan bagi melawat rumah kebajikan Orphan Care, di sini, Sabtu.
Jermaine, 61, yang melawat ke rumah kebajikan tersebut telah ditemani Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom yang juga penaung Orphan Care.
Jermaine berkata, ahli keluarga The Jackson lain pernah membantu anak terbiar di beberapa negara lain sebelum ini.
“Usaha dilakukan Orphan Care adalah sesuatu yang murni.
“Sebagai orang Islam, saya melihat usaha ini sebagai sesuatu dituntut Allah,” katanya, lapor myMetro Online .
Pada majlis serba ringkas, Jermaine sempat menyanyikan sebuah lagu secara acapella berjudul Daddy’s Coming Home menghiburkan tetamu yang hadir.
Kedatangan Jermaine ke Malaysia buat kali kedua susulan persembahan The Jackson sempena Gala Formula 1 Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. |
|