Edited by GhostWalking at 11-4-2015 02:01 PM
Anak Diharap Jadi Ustazah Trauma Kena Buli Di Madrasah
Rozana dan Azman menunjukkan keadaan anak mereka sebelum (kiri) dan selepas menuntut di madrasah tersebut.
SHAH ALAM – Impian seorang ibu untuk melihat anaknya bergelar ustazah hancur berkecai apabila anak bongsu daripada empat beradik itu didera mental dan fizikal oleh sekumpulan pelajar senior di sebuah madrasah di Puchong, di sini.
Mangsa yang berusia 8 tahun didakwa dibuli dengan teruk hingga menyebabkannya sering menangis dan trauma sampai ke hari ini.
Dia dikatakan dipukul dengan rotan, ditendang di kepala, diikat di bahagian tangan malah alat sulitnya turut ditumbuk.
Lebih malang lagi, kanak-kanak tersebut dipaksa menelan cicak setiap malam Jumaat selepas pelajar senior melastik haiwan terbabit.
Kejadian dipercayai tidak disedari pihak madrasah kerana pelajar senior memberi amaran kepada mangsa supaya tidak menjerit dan tidak memberitahu kejadian kepada sesiapapun.
Tak dibenarkan jumpa anak 44 hari Ibu mangsa, Rozana (bukan nama sebenar), 43, berkata, pada mulanya dia disyorkan mendaftarkan anaknya ke madrasah itu oleh seorang rakan baik yang turut menghantar anak belajar agama di situ.
“Lagipun anak saya ada beritahu yang dia teringin nak belajar di madrasah macam kakak dan abangnya. Lepas tu saya buat permohonan dan anak saya diterima masuk,” katanya.
Menurut Rozana, ketika mendaftarkan kemasukan anaknya pada 12 Disember tahun lepas, pihak madrasah ada memberitahu ibu bapa tidak boleh bertemu atau menghubungi anak dalam tempoh 44 hari bagi tujuan menyesuaikan diri.
Rozana reda apabila dimaklumkan dia tidak boleh bertemu anaknya meski perasaan rindu menebal ketika menghantar pakaian seminggu selepas pendaftaran.
“Disebabkan tak dibenarkan jumpa, saya selalu hubungi madrasah tanya keadaan anak. Ada satu hari saya cuba saja-saja pergi dengan kawan tapi tetap tak dibenarkan masuk. Kawan saya masuk jumpa anak dia, jadi saya pesan tolong tengok-tengokkan anak saya.
“Tapi bila keluar dari asrama, dia menangis. Dia tak nak cerita apa yang berlaku,” jelas Rozana.
Trauma sampai mengigau Hanya selepas 44 hari tempoh ‘berpantang’ berakhir, pihak madrasah akhirnya menghubungi dan meminta dia mengambil anaknya kerana cuti sekolah selama sembilan hari.
“Hari itulah baru saya tahu anak saya kena buli dengan senior. Masa saya datang ambil dia demam, bibir pula pecah-pecah dan terus menangis bila nampak saya. Dalam kereta barulah anak saya ceritakan bagaimana dia kena buli dengan teruk,” katanya.
Tambah Rozana, apa yang menyedihkan, anaknya diheret dari asrama ke bilik ustazah hingga bercalar di lutut kerana enggan mengurut dan memicit kaki pelajar senior pada waktu malam.
“Anak saya dipukul, ditendang, ditumbuk di perut, ditolak ke dinding dengan keadaan tangan terikat dan kepalanya dihentak. Mereka tanpa belas kasihan turut menyiku bahagian kemaluan anak saya sampai dia mengalami keputihan hingga sekarang,” katanya.
Rozana mendakwa kecewa dengan pengurusan madrasah yang seolah-olah mahu lepas tangan dan tidak mempedulikan apa yang berlaku.
“Saya masukkan anak saya ke madrasah ini agar dididik dengan baik tapi lain pula yang jadi. Anak saya trauma sampai selalu mengigau sambil sebut kakak dan ustazah nak pukul dia. Sekarang dia dah fobia nak pergi sekolah dan akan jadi takut kalau nampak orang bergaduh.
“Memanglah perkara ni tak berlaku depan mata kami tapi berdasarkan cerita anak dan laporan perubatan memang menunjukkan anak saya dikasari,” katanya.
Bapa segera berhentikan anak Dalam pada itu, bapa mangsa, Azman (bukan nama sebenar), 49, pula menggesa supaya anaknya diberi pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, dia dimaklumkan pelajar yang membuli anaknya masih bersekolah seperti biasa di madrasah tersebut meskipun polis sudah mengambil keterangan lima daripada 15 orang yang disyaki terlibat dalam kejadian buli.
“Saya dah berhentikan anak saya daripada terus belajar di situ sebab tak mahu perkara lebih buruk berlaku. Saya memang kesal sebab pengetua seperti mahu tutup kes dan pernah tawarkan sejumlah wang tunai sebagai ganti rugi dan minta kes tersebut tak dipanjangkan.
“Anak saya didera mental dan fizikal, dia perlu jalani rawatan terapi untuk pulihkan tekanannya. Saya mahu pengadilan untuk anak saya dan minta mereka yang membulinya dikenakan hukuman setimpal,” katanya yang membuat empat laporan di Balai Polis Putra Heights berhubung kejadian malang menimpa anaknya itu.
Azman berkata, dia juga mengambil keputusan mendedahkan perkara ini kerana tidak mahu ada kanak-kanak lain yang berniat belajar di madrasah itu menjadi mangsa.
Tambahnya, jika masih tiada apa-apa tindakan, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menuntut keadilan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan daripada ibu bapa mangsa.
Katanya, kertas siasatan sudah dibuka dan kes tersebut masih dalam siasatan pihaknya.
“Kes itu sudah lama berlaku (Januari) namun ibu bapa mangsa ada membuat beberapa penambahan laporan polis beberapa hari lalu,” katanya. – SINAR HARIAN
|