Teclast Memasuki Pasaran Malaysia – Melancarkan Tablet Berasaskan Intel Dengan Sokongan Dwi-Boot Android Dan Windows 8.1
Terdapat beberapa tablet di pasaran hari ini daripada pelbagai pengeluar, dan terkini sebuah lagi pengeluar baru memasuki pasaran tempatan iaitu Teclast. Ia merupakan syarikat yang beroperasi di China, dan kini dengan penyertaan mereka di Malaysia, Teclast turut membawa masuk beberapa tablet baru mereka untuk pasaran tempatan. Dan seperti biasa, salah satu perkara yang menjadi tarikan utama daripada penawaran Teclast adalah tablet dengan sokongan dwi-sistem operasi, iaitu Android dan juga Windows. Menjadi fokus utama penawaran Teclast di Malaysia adalah tablet Teclast X98 yang hadir dengan skrin bersaiz 9.7-inci. Ia menjalankan sistem operasi Android 4.4 Kitkat, dan Windows 8.1. Pihak Teclast juga turut mengatakan ia bakal menyokong sistem operasi Windows 10 kelak. Teclast X98 Air 3G ini membawakan saiz paparan resolusi pada kadar 2048×1536 pixel, menjalankan cip pemprosesan Intel Bay-Trail-T 64-bit, ruangan storan 32GB, serta membawakan sokongan kad-SIM 3G dan ruangan mikro-SD. Melalui percubaan ringkas kami, sistem operasi Windows 8.1 berjalan dengan lancar, dan sistem operasi Android 4.4 KitKat memperlihatkan sedikit lengah masa ketika beberapa ketika. Namun, set yang kami uji hadir dengan antaramuka Teclast untuk Android, sementara set yang akan dijual untuk pasaran tempatan adalah set dengan stock Android. Pengguna juga boleh menikmati sokongan panggilan telefoni ketika menggunakan sistem operasi Android, sementara tidak hanya menggunakan akses data internet ketika pada Windows. Skrin paparan IGZO yang digunakan juga amat terang, dan agak mengejutkan tablet dengan harga rendah ini membawakan paparan resolusi pada kadar yang tinggi seperti ini. Dari segi rekaan tablet, secara kasar ia menyerupai tablet Apple iPad. Untuk memilih sistem operasi, pengguna perlu melakukannya ketika boot. Untuk mengakses menu pilihan sistem operasi, anda perlu menekan butang Volume Up dan juga butang kuasa serentak, dan ia akan memaparkan sebuah menu dengan pilihan Android dan Windows. Pengguna boleh memilihnya, dan ia akan menjalankan sistem operasi berkenaan pada tablet berkenaan.
Selain X98 yang menjadi fokus utama, pihak Teclast turut memperkenalkan Teclast X80H yang bersaiz 8-inci, hadir dengan sokongan WiFi sahaja, serta turut menyertakan sokongan dwi-boot Android dan Windows. Selain itu, pihak Teclast Malaysia turut memperkenalkan tablet P70 yang berasaskan kepada cip pemprosesan MediaTek dan hanya menyokong sistem operasi Android 4.4 KitKat sahaja. Ia hadir dengan skrin bersaiz 7-inci, kamera belakang 2-megapixel, serta bateri berkapasiti 3200mAh. Teclast Malaysia akan menjual X98 Air 3G Retina pada harga RM899, Teclast X80 pula berharga RM599, sementara Teclast P70 berharga RM399.
|